Bab 1 - 3

326 12 4
                                    

Bab 1

Seisi kota sedang merayakan tahun baharu. Bunga api berkerlipan di udara. Sementara aku berdiri di hujung belebas, di puncak apartmenku. Angin sedang ramah berpuput, mengusik rambutku yang panjang mencecah bahu, hingga ia kusut masai. Tubuhku merinding kedinginan. Mataku memandang bunga api yang mewarnai langit, diikuti bunyi letusan kecil.

Tiada lagi keindahan yang dapat kulihat. Semuanya sudah sirna. Orang lain menyambut tahun baharu dengan ucapan selamat itu dan selamat ini... tapi aku ingin semuanya berakhir di sini. Tiada ucapan selamat lagi.

Aku terasa hidupku begitu kosong, tiada apa-apa, melainkan jantung yang masih berdegup. Mungkin sebentar lagi jantung ini akan berhenti berdegup. Ia akan pecah dan hancur bersama tubuh yang kaku. Aku memandang langit malam yang kelam, yang akan dikoyak sinar fajar. Detik-detik awal tahun baharu pun bermula. Tiada lagi bunga api yang memancar di udara.

Inilah masanya... saat yang tepat untuk ucapkan selamat tinggal, dunia!

Tiba-tiba mataku terpandang sekujur tubuh yang berdiri di hujung belebas sana. Aku tidak sedar bila lelaki itu muncul. Dia memandang wajahku tepat dan seakan-akan telus ke hati. Walaupun dari jauh tetapi aku dapat rasakan sinar matanya sedang menikam ke dalam mataku. Wajahnya ditutupi bayang-bayang. Dahiku berkerut.

"Hei!" dia memanggil sambil mengangkat salah satu tangannya.

Aku tidak membalas tetapi mataku masih mengawasi langkahnya. Dia berjalan mendekatiku. Begitu cepat dia berjalan di tepi belebas itu.

Aku kagum. Siapakah dia? Dia seperti boleh berjalan di atas angin. Dia sudah pun berdiri dekat denganku, berjarak hanya sekitar dua meter.

"Kau nak terjun?"

Apa kau peduli? Ini hidup dan matiku! Berambus saja!

"Aku tak peduli pun kalau kau nak terjun. Tapi apa kata kita berborak sekejap," katanya sambil terus duduk di tepi belebas, kakinya berjuntai ke bawah.

Aku masih berdiri kaku. Diam.

"Duduklah sekejap. Lebih kurang lima minit saja aku curi masa kau yang dah tak berharga tu," katanya lagi seperti menyindir pula.

"Kau nak borak apa? Cepat sikit! Aku tak mood nak layan."

"Aku tahu mood kau tengah merudum. Tak sabar nak mati, ya?" dia mengejek.

"Kau siapa?"

Aku tak peduli ejekannya itu. Tapi aku lebih tertarik hendak tahu siapa dirinya. Dia menoleh padaku sambil tersenyum. Wajahnya kian jelas dapat kulihat. Ada cahaya yang terbias dari lampu-lampu di sekeliling bangunan apartmen ini.

"Aku Eblys."

Aku ingin buka mulut tapi tidak sempat apabila dia terus bercakap macam bertih digoreng.

"Eblys, ejaannya mula dengan huruf E bukan I. Biasanya orang akan kagum bila pertama kali dengar nama aku. Mereka nak tahu asal-usul aku. Kau pernah dengar nama aku sebelum ni?"

Tanpa sedar, aku duduk di hujung belebas dengan kaki berjuntai ke bawah. Terasa angin menyentuh telapak kakiku yang telanjang tidak berkasut. Sejuk.

"Eblys atau Iblis, aku rasa sama je kut?" jawabku tanpa menoleh ke arahnya.

Kalau Iblis yang disebut-sebut dalam al-Quran itu tentulah aku pernah dengar. Aku pun mengaji juga masa aku kecil-kecil dahulu. Kalau tak mengaji, nanti kena balun dengan rotan. Tetapi apabila semakin meningkat remaja, semua aku lupa. Semua ajaran masa kecil itu aku sudah tidak amalkan. Remaja sinonim dengan kebebasan.

Eblys ketawa sahaja. Aku menoleh, memerhatinya yang memakai suit lengkap. Wajahnya bujur, rambut lurus panjang mencecah bahu. Raut wajahnya kacak, matanya berkilau. Dan bola matanya berwarna emas. Aku merenungnya bersama rasa kagum.

(preview) EBLYS - sebuah novel Fatinilam Sari AhmadWhere stories live. Discover now