PROLOG

20.5K 870 20
                                    

LELAKI itu berdiri betul-betul di hadapannya. Setelah empat tahun mereka terpisah Allah takdirkan untuk mereka bertemu empat mata pada saat ini. Jantung mulai berdetak laju. Terkejut melihat siapa yang berada di hadapannya ketika ini.  Sangkaannya mereka tidak akan bersua di majlis kahwin rakan sekolah mereka ini kerana lelaki itu dikhabarkan sedang menjalankan amanahnya terhadap tanah air. Ternyata sangkaannya itu meleset.

Auliya Lufyaa berdeham cuba menghilangkan rasa janggal yang bertandang. Pandangan mata yang tadi bersabung laju dilarikan. Tangannya lincah mengambil makanan yang sedia terhidang. Mahu cepat-cepat berlalu dari meja hidangan tersebut ke meja makan yang sudah tersedia.

Laju langkah kakinya ditala ke arah meja bulat yang masih kosong. Doa ditadah kemudian makanan mulai disuap ke dalam mulut. Hati masih gelisah berharap dia tidak akan bersua kembali dengan lelaki itu. Empat tahun dia pergi meninggalkan lelaki itu. Rasanya sudah cukup lama untuk membuatkan kebencian lelaki itu bertunas buat dirinya.

“Auliya…” Dia sedang menikmati makannya terganggu apabila suara itu menyapa koklea telinganya. Auliya palingkan wajahnya ke arah sahabatnya Haura. Setia menanti Haura untuk menyambung semula bicaranya.

“Aku terserempak dengan Lut tadi. Bukan dia patutnya tengah bertugas ke?” Nada Haura jelas terkejut. Auliya sekadar mengangguk. Kalau Haura terkejut, dia sendiri juga turut terkejut saat melihat Hafiy Lutfan berdiri di hadapan meja hidangan tadi. Kalau dia tahu mereka akan bertemu empat mata di majlis ini, pasti dia tidak akan hadirkan diri.

“Kau.. kau ada terserempak dengan dia ke?” Auliya mengangguk lagi. Hati yang gelisah cuba disorokkan dengan menyambung menjamah hidangan yang masih tersisa di pinggan . Dia mahu habiskan makan dan angkat kaki dari hotel ini. Lagi lama dia berada di hotel ini, lagi besar peluang dia akan terserempak dengan Hafiy Lutfan.

Sisi mulut dilap dengan sekeping tisu. Auliya sudah berura-ura ingin meninggalkan majlis perkahwinan itu. Dia tidak kisah jika ada mulut yang bakal mengata tentang dirinya. Dia perlu pergi. Mereka tidak berada di tempatnya dan tidak pernah lalui apa yang dilalui oleh dirinya selama ini dan dia ada sebab kenapa seboleh-bolehnya ingin mengelak dari bertemu dengan Hafiy Lutfan.

“Haura, aku gerak pulang dulu tau.” Auliya sudah berdiri dari duduknya. Tinggal membuka langkah meninggalkan ballroom hotel itu sahaja. Haura melihat ke arah Auliya. Jelas terpamer kerutan di dahinya.

“Awalnya kau nak pulang? Acara tak habis lagi ni. Lepas ni kita ada photo session dengan pengantin.” Bukan Auliya tidak mahu langsung menanti hingga akhir acara majlis itu, tetapi keadaan tidak mengizinkan. Dia perlu pulang segera.

“Tak apalah. Sampaikan salam aku dekat semua. Cakap aku terpaksa minta diri. Urgent.” Haura faham mengapa Auliya ingin mengangkat kaki terlebih dahulu. Tiga tahun sahabatnya itu mengelak dari menghadiri sebarang majlis yang melibatkan pertemuan bersama dengan rakan-rakan lama hanya kerana tidak mahu berjumpa dengan Hafiy Lutfan. Auliya bersetuju untuk hadir ke majlis perkahwinan ini pun apabila dikhabarkan lelaki itu sedang bertugas. Ternyata, lain aturan yang Maha Esa buat mereka berdua.

“Baiklah. Elok-elok drive. Dah lewat ni.” Haura titipkan pesan. Tidak mahu terus-menerus menghalang Auliya daripada pulang. Kalau itu yang dikehendakinya, dia turutkan sahaja. Dia tahu bukan mudah untuk Auliya lalui semua ini.

Auliya membuka langkah menuju ke pintu ballroom. Sebaik melangkah keluar, nafas lega dihela. Tiada yang menyedari kehilangan dirinya dari majlis tersebut. Langkah kaki dibuka ke lobi hotel seterusnya ke tempat letak kereta. Hari juga sudah semakin lewat. Ke mana lagi dia harus pergi, kalau bukan pulang ke rumah? Tidak elok buat dirinya yang berstatus isteri orang berkeliaran seorang diri lewat malam begini.

“Auliya Lufyaa!” Kakinya terpasak ke bumi saat suara garau menyapa koklea telinganya. Dia kenal pemilik suara itu. Nafas ditarik dalam-dalam bagi menyalurkan sedikit kekuatan buat dirinya. Kenapa mereka harus dipertemukan dalam keadaan begini? Jujur dia tidak kuat.

“Auliya. We need to talk.” Jarak suara itu semakin hampir daripada tadi. Bermakna jarak dirinya dan Hafiy Lutfan hanya terpisah beberapa langkah sahaja. Auliya berpaling ke belakang. Jelas lelaki itu sedang merenungnya dalam-dalam.

“Bercakap tentang apa? There’s nothing to talk about anymore.” Dia tidak kuat untuk berhadapan dengan lelaki ini. Dirinya saat ini terlalu rapuh. Cukuplah dia ingin lelaki itu membenci dirinya. Tiada apa yang perlu mereka perbaiki lagi. Ini adalah jalan yang terbaik buat mereka berdua.

There is a lot to talk about. Enough running. Aren’t you tired? Tegas nada yang dilontarkan oleh Hafiy Lutfan. Cukuplah empat tahun dia dibiarkan bergantung dengan tanda tanya. Cukuplah empat tahun dia makan hati ditinggalkan tanpa sebab. Hafiy Lutfan mahu semuanya diselesaikan hari ini dan saat ini.

Kapten Hafiy Lutfan | SUWhere stories live. Discover now