Ada juga dia berpesan kepada seorang Bard untuk tengok-tengokkan sup yang dia masak. Harapnya apa yang dia pesan itu tak diambil ringan.

Pintu dapur dibuka luas setelah kedengaran suara seseorang sedang bercakap.

"Ahmed? Aku fikir kau cakap dengan siapalah tadi." tegur Aria spontan. Dia mula berdiri di sebelah lelaki itu untuk melihat sup yang dimasaknya.

"Aku dah selesai solat, jadi boleh lah buat kerja kau semula. Maaf susahkan."

"Hal kecil, Aria. Lagipun aku bukan buat apa pun sekarang ni. Kerja aku semua dah siap."

Aria toleh sekilas dan kembali melihat sup panas di atas periuk kayu. Sesekali dia mengacau sup dengan senduk di tangan lalu bergerak menyusun bungkusan roti di atas meja sebelum dihidangkan kepada Bard.

"Kau tak takut mengembara sorang-sorang?" Ahmed menyoal sekadar untuk menghilangkan kejanggalan antara mereka.

"Tak. Niat aku nak cari penawar untuk sembuhkan orang, jadi serta-merta perasaan takut dalam hati hilang."

"Kau tak takut jadi apa-apa dengan diri kau? Kau perempuan, Aria."

"Selagi aku berdoa untuk dilindungi. Aku sentiasa rasa selamat." Badan ditundukkan sedikit, kemudian nafas dihembuskan untuk mematikan api.

"Sini aku tolong," ujar sang jejaka apabila melihat Aria bersungguh mematikan api dapur.

Sekali hembus saja api terus terpadam.

"HAA!"

Serentak mereka berdua memandang satu sama lain dengan raut wajah bingung. Kekecohan di atas kapal sedikit sebanyak membuatkan mereka curiga dengan keadaan di atas sana.

"Apa jadi di atas sana?" tanya Aria dengan perasaan takut di lubuk hati. Semua perasaan bercampur-baur ketika ini setelah mendengar bunyi bising para Bard.

"Tunggu sini."

"Aku... nak ikut!" Dia tak mahu ditinggalkan di sini sendirian.

Tindakan Ahmed yang berhenti secara mengejut menyebabkan wajah Aria menyembam di belakang tubuh jejaka itu.

"Apa berlaku di atas?"

"Kapal kita kena ceroboh dengan lanun."

Lanun? Jelas menunjukkan Aria terkejut dengan keadaan sekarang.

"Ahmed, kau bawa Aria ke bilik. Jangan bagi lanun ceroboh bilik Aria!" tegas William memberi arahan kepada anak buahnya.

"Takkan aku kena jaga dia?" Nada suaranya berubah tidak puas hati. Dia juga ingin menentang lanun-lanun yang ada bersama para Bard.

"Jadi siapa nak jaga Aria kalau bukan kau—" William terdorong ke depan akibat disepak dari arah belakang. Terkejut bukan kepalang Aria melihat situasi ini. Dia turut berundur ke belakang beberapa tapak agar tidak dibunuh oleh sang lanun. Tubuh dikecilkan di ruang sudut dapur supaya tidak diapa-apakan.

Perwatakan mereka ganas dan tubuh mereka juga besar mengalahkan manusia biasa.

"Lama aku dendam dengan bangsa kau!"

"Ahmed, bawa Aria keluar sekarang!" lantang William bersuara sebelum tubuhnya dihempap oleh lanun.

Mereka tahu mereka tiada kuasa di atas laut kerana kuasa mutlak terletak di atas tangan lanun dan sekarang ini mereka diserang segerombolan lanun.

"Aria!" Tanpa banyak bicara, Ahmed menarik kasar lengan Aria supaya keluar dari kawasan dapur.

"Kita nak ke mana?"

BOM!

Aria bangun dari jatuhnya apabila tekanan kuat mengena bahagian kapal sehingga menyebabkan dia hilang imbangan. Kakinya mulai menggeletar kecil kerana ketakutan.

UNTOLD SECRETWhere stories live. Discover now