BAB 17

3.9K 143 0
                                    

PINGGULKU terhentak kuat ke atas lantai yang keras tanpa sebarang lapik itu. Berkerut seribu dahiku dek kerana kesakitan yang dirasakan. Degup jantung juga kian laju. Seday upaya aku cuba bangkit untuk berdiri semula.

"Kau buat apa ni, Faahad? 23 tahun kau hidup, abah tak pernah ajar langsung kau jadi lelaki liar, Faahad Haedar! Siapa yang bawa pengaruh tak elok pada kau ni? Kau beritahu abah sekarang!"

Kepala aku memanggung ke arah abah yang berdiri sambil bercekak pinggang itu.

"Abah, abah dengar dulu apa yang Faahad nak jelaskan."

"Kau nak jelas apa? Pensyarah kau sendiri datang jumpa aku beri bukti. Kau nak nafikan apa lagi?"

Gaya bahasa abah sudah berubah menjadi semakin kasar. Terpegun aku mendengarnya. Jarang sekali aku melihat sisi abah yang ini.

Umi di dapur hanya diam memerhati sambil melakukan kerjanya. Tiada niat hendak mencelah. Takut barangkali.

"Kau pergi balik Kedah sana! Kau jangan balik sini lagi! Aku tak ada anak yang hidup berlandaskan nafsu macam kau, Faahad Haedar!! "

"Itu.. itu isteri Faahad. Tapi Faahad tak nikah disebabkan nafsu, abah. Faahad cuma nak tanggung dia. Bukankah sunnah nabi juga bernikah dengan seorang perempuan atas niat untuk menanggungnya? "

Dada abah mula berombak ganas. Abah jarang marah. Tapi sekali dirinya diamuk amarah, memang terkaku semua yang melihat.

"Kalau tentang perempuan, tahu saja kau nak bangkitkan dengan sunnah nabi. Nak bernikah, sebab sunnah nabi. Nak tambah isteri lagi, sebab sunnah nabi. Habis itu, aku yang tanggung kau selama ni? Ada kau fikir, Faahad? Tanggugjawab kau sebagai anak abah masih belum tamat selagi tak ada segulung ijazah di genggaman kau, Faahad."

Aku kemam bibir. Tidak tahu hendak membidas apa lagi.

Tuhan, bantuilah aku lembutkan hati seorang bapa ini untuk memahami aku.

"Faahad minta maaf, abah. Tapi Faahad janji tak akan libatkan abah pun dengan rumah tangga kami," uarku.

Abah melabuhkan punggung di sofa dengan wajah yang jelas terpapar riak kesalnya terhadap aku.

"Abah nak kau ceraikan dia. Abah tak nak kau malukan abah dan umi. "

Terpempan aku sebaik mendengar sebaris ayat itu. Semudah itu abah mahu aku ceraikan wanita yang sudah aku jaga dengan penuh kasih sayang selama ini?

"Abah, abah tak boleh-"

"Ceraikan dia atau abah tak akan mengaku kau anak abah dah, Faahad. Kakak-kakak kau dulu abah didik, elok saja. Dah ada kerja, dah mampu tanggung hidup sendiri. Baru kahwin. Kau masih nak bantah suruhan abah?"

Kolam mataku mula dibanjiri dengan cecair jernih. Sungguh hati aku bagai tersiat tatkala abah meminta aku untuk menceraikan Evelyn. Mana mungkin itu akan terjadi.

Perasaan ini buat wanita itu sudah terlalu berat dan dalam hingga tak mampu dilepaskan dan dibuang lagi. Kian banyak air mata aku yang mengalir deras.

"Abah.." rintihku perlahan. Memohon simpati abah untuk memahami.

"Dia dibuang keluarga dia sendiri, abah. Dia juga pernah jadi mangsa pemuas lelaki durjana sampai ada anak, abah. Dia cuma ada Faahad. Hanya Faahad tempat dia bergantung. Faahad tak boleh tinggalkan dia, abah. Tolonglah, abah. Ada belas kasihan pada dia." Teresak-esak aku menangis.

Abah menggeleng dan mendengus kuat.

"Boleh saja hantar dia ke rumah yang menempatkan perempuan seperti dia tu. Tempat khas untuk perempuan yang pernah jadi mangsa dirogol dan dibuang keluarga. Kenapa perlu sampai nikahi dia? "

"Sebab Faahad tak sampai hati, abah. "

"Ini bukan soal tak sampai hati ke apa. Tapi sebab kau yang gatal sangat nak beristeri kan?" tuduhnya.

Laju aku menggeleng tanda menafikan.

Semestinya tidak. Cuma hati aku yang tidak betah membiarkan dia berada di tempat sebegitu. Seolah dia bersalah sedangkan dia hanya mangsa.

"Tak ada. Kau boleh saja hantar dia ke situ. Sementara anak dia dibawah jagaan orang di tempat khas itu, dia boleh cari kerja. Dah cukup duit, dia boleh sara hidup dia dengan anak dia sendiri." Mudah saja abah memberi cadangan.

"Abah nak kau ceraikan dia. Fokuskan pada pelajaran kau dulu, Faahad. Kau tak kesiankan abah dan umi ke? Bertahun abah dan umi dah habiskan duit untuk kau. Ini yang kau nak balas kami? Bukan pencapaian dalam pelajaran? Kau tak malu ke dengan kawan-kawan kau nanti?"

Abah sudah bangun berdiri lalu bercekak pinggang. Pandangannya terhadapku masih sama. Penuh dengan amarah.

"Keputusan abah muktamad. Ceraikan perempuan itu. Dia kena belajar hidup  bergantung pada Allah saja."

Sebaris ayat yang menusuk tajam ke dalam hati itu berjaya menyentakkan aku. Benarlah kata abah itu. Manusia tidak sepatutnya terlalu bergantung pada insan yang lain. Sebaiknya, bergantung pada Dia yang satu. Kerana Dia sebaik-baik pelindung untuk umat-Nya.

"Assalamualaikum.."

Sipi-sipi kedengaran suara lunak seseorang memberi salam.

Lantas, aku menoleh ke arah pintu utama rumah.

Kak ngah dan suaminya. Riak wajah mereka nampak terpinga-pinga akan perkara yang baru saja terjadi.

Lekas aku bangun dan terus melarikan diri ke bilik. Air mata di pipi, di kesat kasar dengan belakang tapak tangan. Mereka tidak sepatutnya lihat segala yang baru terjadi tadi.

Pintu ditutup rapat. Disebabkan bilik aku di tingkat bawah, dapat didengar perbualan kecil antara kak ngah dan umi di ruang tamu.

"Umi, kenapa dengan Faahad?" Soal wanita itu.

"Kalau umi cerita, jangan terkejut pula. Umi pun tak tahulah apa yang kemaruk perempuan sangat adik bongsu Rin seorang tu."

Prasangka mereka berdua tentang aku yang kemaruk perempuan itu semestinya tidak benar!

Sanggup mereka memfitnah aku hingga sebegitu rupa? Bercinta pun aku tidak pernah. Dengan wanita pun aku sangat segan.

"Kemaruk perempuan?"

"Entahlah. Tadi tiba-tiba saja umi dan abah terima maklumat tentang Faahad dengan seorang perempuan kami tak kenal. Berpelukan sampai menangis teruk. Bila ditanya, dia kata itu isteri dia. Allahu akbar. Rasa nak gugur jantung umi. Diam-diam dah beristeri tanpa pengetahuan kami."

"Padahal, habis belajar pun tak lagi. Pelajaran, dia semua umi abah yang tanggung." Sambung umi lagi.

"Tapi Faahad tu bukan budak sekolah lagi, umi. Dah 23 tahun. Tak ada masalah dia berkahwin. Cara umi cakap macam dia tu kahwin bawah 18 tahun pula." Bicara kak ngah seolah ingin menyebelahi aku.

Dan aku setuju tentang itu. Cumanya, pembelajaran aku dan segala keperluan aku memang sepenuhnya ditanggung oleh abah dan umi. Jadi, mungkin disebabkan itulah mereka sangat kecewa denganku.

Paling teruk, aku rahsiakan. Tak pernah dibuat orang lain dalam keturunan mereka berdua. Hanya aku seorang saja.

"Memanglah. Tapi boleh saja kahwin selepas tamat belajar. Umi, abah ni takut dia terganggu. Rin pun tahu adakalanya perempuan boleh jadi penyebab rosaknya masa depan seorang lelaki itu. Umi tak nak itu terjadi pada Faahad," bidas umi pula.



Perasaan Yang Terlarang | E-BOOK Where stories live. Discover now