Andi dan Dika pula tiba di dapur lalu berdiri tegak buat beberapa saat. Kemudian, mereka berdua hanya menahan tawa dan menarik kerusi di sebelah Dayu, menarik pinggan untuk makan.

"Arjuna ngendi? (Mana Arjuna?)"

"Itu dia." Andi memuncung bibir pada Arjuna yang melangkah masuk dan menarik kerusi di sebelah Putera Ibhar. Matanya sempat memandang sekilas ke arah Dayu, namun wajahnya kekal tanpa perasaan. Dia langsung tidak menyapa atau mengendahkan Dayu yang memandangnya.

Dayu menundukkan wajah. Menyedari kehadiran Arjuna, hatinya makin terhiris. Perasaan bersalah dan sedih terus menghimpit, menyedari bahawa dia masih belum dapat menghilangkan kekecewaan dan kemarahan Arjuna terhadap dirinya.

Dayu menelan suapan terakhir nasi yang disuapkan Putera, masih terasa pelik namun bersyukur atas perhatian yang diberikan kepadanya. Setelah itu, Putera meletakkan sudu, matanya masih menatap Dayu dengan wajah penuh perhatian.

"Dayu, kau tahu kan semua orang buat silap, termasuk aku," kata Putera perlahan. "Kau tak perlu terus rasa bersalah. Kita semua di sini untuk saling menyokong."

Dayu hanya mengangguk, tapi dalam hatinya masih ada beban yang berat. Tutur tidak berlapik yang diluahnya semasa pertarungan lalu masih segar dalam ingatan, lebih-lebih lagi apabila dia terkenang wajah Arjuna yang dilukai kerana kekhilafannya. Dan kini, Arjuna, sahabat paling akrabnya, masih belum sudi memaafkannya.

Andi mengangguk setuju. "Kau ingat Dayu, tak ada seorang pun antara kita yang sempurna."

Dika turut menyampuk, "Betul tu. Apa yang dah lepas, biarlah lepas. Yang penting sekarang, kau perlu jaga diri dan fokus untuk kembali sembuh."

Dayu tersenyum sedikit mendengar kata-kata semangat mereka, namun ketika dia melirik ke arah Arjuna, hatinya kembali terasa sendu. Arjuna masih senyap, wajahnya tanpa riak dan pandangannya terus ke arah hidangan di hadapannya. Dia kelihatan tenang, namun ada bayangan dingin yang tak dapat disembunyikan dari pandangan matanya.

"Kita semua belajar daripada pengalaman. Apa yang penting sekarang adalah kita saling memaafkan dan meneruskan perjalanan kita bersama. Kan, Arjuna?" Putera Ibhar menepuk bahu Arjuna.

Arjuna hanya mengangguk dan menggumam perlahan.

Andi dan Dika mengangguk setuju. Mereka semua tahu betapa akrabnya persahabatan antara Dayu dan Arjuna sebelum kejadian itu, dan mereka berharap hubungan itu dapat kembali pulih.

Namun, Arjuna masih belum tergerak untuk memaafkan. Dia menghela nafas perlahan, sebelum bangun dari tempat duduknya. Tanpa menoleh lagi, dia keluar dari dapur, meninggalkan suasana hening dan sunyi di belakangnya.

Dayu menggigit bibirnya, menahan air mata yang hampir tumpah. Dia tahu kesilapannya besar, dan kesedaran bahawa Arjuna mungkin tidak akan memaafkannya begitu sahaja semakin meresahkan hatinya.

Setelah selesai makan, Dayu bangun dengan perlahan dan mengucapkan terima kasih kepada Karti dan Putera yang telah memberikan sokongan kepadanya. Namun, hatinya masih terasa berat. Dia tahu bahawa selagi Arjuna belum memaafkannya, beban di hatinya tak akan hilang.

Tanpa berlengah, Dayu melangkah keluar dari dapur, bertekad untuk mencari Arjuna dan berbicara dengannya.

Dia berjalan dengan langkah sedikit tergesa-gesa menuju ke belakang istana; tempat biasa mereka bertemu dan meluangkan masa. Tempat itu sudah seperti ruang lepak mereka, kawasan sunyi yang dikelilingi pohon-pohon tinggi dan bunga liar yang tumbuh liar di sepanjang pagar batu.

Sebaik tiba di situ, Dayu melihat Arjuna sedang berdiri membelakanginya, memandang jauh ke arah hutan di kejauhan. Wajah Arjuna tampak kosong.

"Arjuna," panggil Dayu, perlahan.

Arjuna tak berpaling. Dia tetap berdiri teguh, menghadap ke arah yang sama seolah-olah suara Dayu tidak cukup untuk mengubah pendiriannya.

"Arjuna, aku tahu kau marah. Tapi, aku betul-betul minta maaf. Waktu itu... aku tak maksudkan apa yang aku cakap," suara Dayu sedikit bergetar. Perasaan bersalahnya semakin berat, dan dia cuba menahan air mata yang sudah berkumpul di kolam mata.

Arjuna akhirnya berpaling, wajahnya dingin yang jarang dilihat Dayu sebelum ini. Matanya redup, namun kekecewaan yang terpendam jelas terpancar di dalamnya.

"Tak maksudkan, Dayu? Kau sendiri cakap, 'kematian adik kau tak penting.' Adik aku, Dayu! Dia satu-satunya keluarga yang aku ada. Kau rasa apa yang aku rasa sekarang?" Suara Arjuna bergetar, menahan kemarahan dan kesedihan.

Dayu tertunduk, tak sanggup memandang wajah Arjuna yang penuh dengan kecewa itu. "Aku... Aku menyesal, Arjuna. Aku tak tahu kenapa aku boleh keluarkan kata-kata macam tu. Aku cuma... waktu itu, aku terlalu tertekan dan mungkin aku tak fikir sebelum bercakap."

Arjuna mendengus kecil, senyuman pahit terbit di bibirnya. "Terlalu tertekan? Jadi kau boleh cakap macam itu tentang arwah adik aku walaupun kau sedang tertekan, macam itu?"

Dayu menggeleng pantas, rasa bersalah makin menggigit hatinya. "Bukan, bukan macam tu! Kau tahu aku tak pernah maksudkan macam irtu. Aku cuma... aku buat silap, Arjuna. Aku betul-betul menyesal. Tolong, jangan biarkan kesilapan aku ni rosakkan persahabatan kita."

Arjuna terdiam seketika, matanya memandang tajam ke arah Dayu. Dia menggenggam tangannya, cuba mengawal perasaan yang berkecamuk di dalam dada.

"Dayu, kau tahu tak? Adik aku adalah sebab aku jadi siapa aku hari ini. Setiap langkah aku, setiap perjuangan aku... semuanya untuk dia. Dan bila kau cakap macam tu, kau tak cuma sakitkan hati aku. Kau buat aku rasa seolah-olah perjuangan aku ni tak bermakna langsung."

Mata Dayu mula berkaca, air matanya akhirnya jatuh. Dia tahu dia telah melukakan Arjuna di tempat yang paling dalam, tempat yang paling rapuh.

"Aku faham... aku faham sekarang, Arjuna. Aku mungkin tak boleh padamkan kesilapan aku, tapi tolong beri aku peluang untuk tebus balik semua."

Arjuna mengeluh dan meraup rambut.

"Pergilah rehat." Dan akhirnya, Arjuna terus berlalu dari situ meninggalkan Dayu seorang diri.

Irama Kirana [ايرام كيران] ✓Where stories live. Discover now