Anastasia memerhatikan anak muda yang sedang duduk bertentangan dengannya di ruang tamu. Suit grey sedondon dengan tali lehernya kelihatan bodoh dipakai di dalam cuaca panas berjerebu KL seperti sekarang. 'Eh, dia yang pakai kenapa aku pulak yang panas?' Bisiknya sambil membetulkan postur badannya di atas sofa kulit bertona krim keju itu.
"Ada apa-apa lagi soalan, Kris?"
Anak muda itu sibuk menyelak-nyelak buku catatannya, mencari-cari kalau ada soalan yang belum ditanya atau jawapan yang masih boleh diperincikan. Perakam suara di atas coffee table dimatikan, tanda temuramah itu sudah tamat.
"Tadi Cik Anastasia kata inspirasi koleksi skaf terbaru yang bakal dilancarkan bulan depan bertemakan HEMOGLOBIN. Boleh terangkan?""Oh ya, saya lupa nak elaborate. Bila kita sebut hemoglobin, kita ingat darah kan? The colour red fascinates me. To me, red connotes pain and pleasure."
Anak muda di hadapannya membetulkan posisi duduknya, ternyata seluar ketatnya menimbulkan masalah. Anastasia hanya tersenyum sambil terus berbicara, sekali-sekala mata berlensa coklat madu menjeling paha anak muda yang tak senang duduk itu.
"Let me explain that pain and pleasure part. It's not what you think Kris. Definitely no BDSM. Cinta yang membara selalu digambarkan dengan lambang hati yang merah. Dan mereka yang putus cinta sanggup melakukan apa saja untuk membalas dendam, ada kalanya melibatkan pertumpahan darah. Berkahwin atas dasar suka sama suka tapi akhirnya isteri menjadi objek deraan suami sehingga dicederakan. Tapi bukan semua pertumpahan darah itu tak baik. Ada yang sanggup menumpahkan darah demi negara."
Anak muda itu mendengar dengan penuh taat dan teliti. Tangannya sibuk mencatat butir-butir percakapan Anastasia.
"And to me, red is not just red, Kris. Red has its own shades - tons of them. I'm just gonna mention you a few: rose, cherry, brick, sangria, crimson, currant. Semua warna merah ini saya suka dan saya cuba terapkan warna-warna ini di dalam koleksi skaf HEMOGLOBIN saya. Kris, awak tak rasa ke warna merah tu cantik?"
Anak muda itu mengangguk.
"If you don't have any more questions, I would like to get ready for my lunch appointment.""Oh okay... okay... . Tapi boleh tak saya nak guna toilet sebelum saya balik, Cik Anastasia?"
Anastasia tersenyum.
"Of course Kris. Jalan terus di koridor tu, lepas bilik nombor dua, masuk kiri. Ada toilet tetamu kat situ."
Kris tersenyum dan beredar. Anastasia hanya memerhatikan anak muda itu berlalu dengan ekor matanya sambil memperkemaskan tudung oren tangerinenya.
**********
Seandainya tak ditunjukkan jalan, Kris yakin dia pasti tersesat di penthouse Anastasia Mahaleel. Dinding kiri dan kanan koridor digantung dengan foto keluarga. Kris hanya sempat menjeling foto-foto itu kerana dia pasti Anastasia masih memerhatikan tingkah lakunya.
Lepas bilik nombor dua, masuk kiri.
Pintu toilet yang sengaja dicat kuning jagung menarik perhatiannya. Anastasia gemar bermain dengan nuansa warna. Namun ada yang lebih menarik perhatian Kris. Sebuah pintu berwarna hitam yang dibiarkan sedikit terbuka. Di dalam sebuah penthouse pancawarna, apakah keistimewaan pintu berwarna hitam ini?
Kris menolak pintu itu dan tersenyum melihat keindahan isi kandungannya.
Sebuah atelier dengan mannequin dan fabrik pelbagai warna yang rapi disusun di atas rak dan ada juga perca yang bersepah di atas lantai. Di sini lah tempat Anastasia mencurahkan kreativitinya.Di satu sudut, tergantung rapi tidak kurang 20 helai skaf berwarna merah pelbagai nuansa. Kris yakin ini lah koleksi HEMOGLOBIN yang bakal dilancarkan. Tangannya menyeluk poket dalam baju suit greynya dan mengeluarkan iPhone 6s. Paling tidak, bernilai RM50,000 sekiranya foto dijual kepada pesaing terdekat.
Klik! Klik!
Selesai klik kedua, nafasnya tersekat dan tangannya menggapai-gapai ke udara, meronta-ronta mencari nafas yang semakin berkurangan masuk ke paru-parunya. Nafasnya makin tersekat. Dan tangan yang menggapai-gapai itu semakin lemah sebelum dia jatuh terjelepuk di atas lantai berkarpet biru langit.
"Kris, awak tak rasa ke warna merah tu cantik?" Kata Anastasia sambil melemparkan sehelai fabrik merah hati ke muka Kris yang terjelir lidahnya. Modus operandi Anastasia masih sama - menjerut leher lelaki dengan kain skaf.
Nota: Lima Puluh Nuansa pernah disiarkan di akaun Creepyposta.
Jeffrey Zain
Lima Puluh Nuansa
Start from the beginning