Bab 1

3.5K 144 12
                                    

SEMENTARA menunggu keputusan SPM diumumkan, aku memutuskan untuk mengikut Su Liya bekerja di ladang sayur milik Tauke Wan. Selain mengisi masa senggang, dapatlah aku membantu kewangan keluarga yang ditanggung sepenuhnya oleh Su Liya sejak ibu kehilangan keupayaan sepasang kaki.

Hari pertama, aku diperkenalkan kepada kerani Tauke Wan.

"Tauke Wan tak sampai lagi. Nur tulis dulu details yang diperlukan kat buku ni."

Pantas aku menyambut sebuah buku berkulit keras yang diunjuk Kak Anis. Ramah dia bercerita itu ini sementara aku mengisi maklumat yang diperlukan.

"Sementara tunggu Tauke Wan datang, Anis rasa Nur boleh ikut Kak Liya ke ladang. Bolehlah Kak Liya tunjukkan apa yang patut."

Pantas aku bersetuju dengan usul Kak Anis. Itu lebih baik daripada aku duduk melangut di dalam pejabat menanti Tauke Wan yang entah bagaimanalah sifat dan perangainya.

"Sepatutnya Nur kena dengar penerangan dari Tauke Wan sendiri pasal ladang ni sebelum mula kerja." Serius nada Su Liya masuk ke telingaku.

Aku tercengang-cengang. Bingung! Setakat hendak bekerja di ladang rasanya tidak perlulah beriya-iya benar sampai perlu diberi penerangan terperinci. Bukannya aku pegawai pertanian yang berminat mengetahui tentang ladang sayur-sayuran.

"Ladang ni lain sikit Nur."

Sejenak aku menggumam.

"Ladang yang lain atau Tauke Wan yang cerewet?" Aku mencemik. Tak kuhiraukan Su Liya yang mencerlang memberi amaran agar aku tidak berbicara seperti itu lebih-lebih lagi ketika berada di ladang Tauke Wan.

Aku hanya mengangkat bahu, mempamer riak tidak bersalah.

"Tauke Wan tu tak cerewet tapi dia dah laburkan duit beribu-ribu ringgit untuk ladang ni, tentulah dia nak yang terbaik. Kita sebagai pekerja kenalah bekerja ikut kehendak dia."

Lambat-lambat aku mengangguk. Kalau sudah begitu kata Su Liya, tak perlulah dipertikaikan lagi.

"Menariknya sebab Tauke Wan nak ladang ni diusahakan secara organik."

Pandangan kutebar ke sekitar kawasan ladang yang luas terbentang. Tiada lagi pokok kelapa sawit walau sebatang. Semuanya habis ditebang menjadikan tanah ladang lapang seperti baru lepas digondol.

Tiba-tiba aku terdengar Su Liya mengaduh. Aku terpempan apabila melihat Su Liya jatuh terjelepok di atas tanah. Seketika aku terkaku sebelum cepat-cepat meluru ke arahnya yang menyeringai kesakitan. Terketar-ketar jemariku tatkala terpandangkan kayu reja sebesar tapak tangan melekat di tapak selipar yang Su Liya pakai.

"Err...Su...err.." Menggigil bibirku gagal meluah kata.

Aku hendak membantu Su Liya tetapi membayangkan paku terbenam di telapak kakinya merencatkan pergerakan. Tanpa bertangguh Su Liya mencabut sendiri kayu reja di kakinya.

Segera kubantu Su Liya bangkit. Dia kupapah dengan bersusah-payah. Tak sampai sepuluh langkah, sebuah lori berhenti di pinggir laluan. Deruman enjin dibiarkan hidup ketika pemandunya keluar dari perut lori.

"Kenapa ni?" Seorang lelaki berbadan tegap berdiri di hadapan kami. Merumus dari cara pemakaian menghantar makna kepadaku akan status lelaki ini. Pastilah salah satu pekerja di ladang sama seperti Su Liya juga.

"Err...mak cik saya terpijak paku." Aku menjawab bagi pihak Su Liya.

Sejenak aku terpaku ketika bola mata lelaki itu menujah wajahku. Telingaku menangkap suara dia berdecit sebelum mengarahku membawa Su Liya menaikki lori. Bersusah-payah aku dan dia memapah Su Liya.

Dia Dambaan Hati [TERBIT]Where stories live. Discover now