bab 7

2.1K 60 0
                                    

Tiba tahun terakhir aku di SR Bukit Zaiton iaitu kelas 6. Azim juga akhirnya lulus peperiksaan, dan dinaikkan kelas 6. Bahkan kesemua kami satu kelas lulus dan dinaikkan ke kelas 6. Semua atas usaha gigih Cikgu Hidayah. Kan lagi bagus kalau Azim gagal saja peperiksaan akhir tahun, tak lah kucar kacir kehidupanku.

Kejadian buli yang paling teruk pernah aku terima adalah semasa aku di kelas 6. Semuanya bermula dari Azim. Seperti biasa dia dengan rutin hariannya mengacau aku. Namun pada hari tersebut dia berpakat dengan semua murid lelaki dalam kelas 6 untuk membuliku. Tidak kesemua murid lelaki. Cuma 3 orang murid lelaki yang tidak masuk campur iaitu Jonas, Hamid budak paling pendiam dan Sudin kawan baik Azim.

Kesemua pembuli mengelilingiku di dalam kelas dan aku sedang duduk di kerusiku. Mereka semua tertawa dan mengejek aku. Aku tidak ingat apa kata- kata yang dilontarkan. Aku cuma ingat tawa mereka yang menyakitkan hatiku, dan sekali sekala ada tangan yang menyentuhku namun aku tepis dengan beg pensil di genggaman. Mereka seolah- olah terhibur melihat aku menepis dan menampar tangan yang hinggap di tanganku. Tiada siapa yang dapat menolongku ketika itu, kerana mereka terlalu ramai. Jonas memang mencuba untuk menolongku.

"Azim! Jangan kacau dia!" Jonas mengherdik namun tak diendahkan. Aku kasihan melihat usaha Jonas yang sia- sia. Aku tahu jauh di sudut hatinya merasa kesal kerana tidak dapat melindungi aku. Apakan daya, tubuh Jonas kecil sekali berbanding tubuh Azim yang tinggi dan tegap.

Aku masih lagi diketawakan dan diolok- olok. Tiada suara lain yang kudengar cuma hilai tawa mereka. Fikiranku jadi celaru. Hatiku menjadi sakit. Sampai satu saat, Freddie mengambil garisan panjang yang berukuran 1 meter yang terletak di atas meja cikgu, lalu dia mencucuk- cucuk tepi perutku sambil ketawa. Perbuatannya itu membuatkan aku meradang. Aku tepis namun dia kembali mencucuk tepi perutku. Sehinggalah aku mengalah, dan akhirnya aku menekupkan mukaku dan menangis sekuat hati. Hanya itu saja senjataku terakhir. Aku hanya menangis kerana tidak mampu berbuat apa- apa untuk melindungi diriku.

Akhirnya mereka pun berhenti setelah melihat aku menangis. Di sebabkan kejadian inilah aku tidak mempunyai kawan lelaki. Bermula dari aku masuk tingkatan 1 sehingga tamat tingkatan 6, tidak seorang lelakipun menjadi kawanku. Bukan kerana aku benci makhluk bernama lelaki, tetapi hatiku memang ditutup rapat untuk merapatkan diri dengan sebarang lelaki.

Aku berasa was- was dengan mana- mana lelaki. Ada perasaan takut yang sering menyelinap di dalam diriku apabila berhampiran dengan lelaki. Semua adalah kerana suatu peristiwa yang kurahsiakan dari siapa- siapa. Peristiwa yang membuatkan aku hilang rasa hormat kepada lelaki yang bernama Tahir.

Jurnal: Makhluk bernama LelakiWhere stories live. Discover now