"Kalau itu yang awak mahu tahu, kita boleh sahaja berhubung melalui emel atau telefon"
"Begini lebih puas. Sekurang-kurangnya saya tahu jawapan semua dari awak. Mungkin kalau emel atau telefon, orang lain yang tulis atau jawabkan panggilan untuk awak."
"Ya! Memang logik. Tetapi saya belum jumpa lagi orang yang bersuara seperti saya," Diana tertawa mendengar jawapan yang aku berikan.
Aku cuba untuk tidak melayannya seperti satu karakter dan cuba seboleh mungkin melupakan yang dia adalah seorang yang dikenali ramai.
"Jawapan-jawapan itu awak boleh dapat dalam mana-mana majalah yang lain," kata Diana.
"Jadi, berikan saya sesuatu yang berbeza."
"Okey, kalau itu yang awak mahu. Saya akan beritahu awak jawapan-jawapan itu nanti. Tetapi awak lapang malam ini?"
"Malam ini memang dikhususkan untuk awak Diana."
"Betul? Tidak ada apa-apa rancangan lain?"
"Ya!" Aku mengangguk-anggukan kepalaku. Teruja dan tertanya-tanya akan permainan yang sedang dimainkan oleh Diana.
"Okey. Kalau begitu, jom ikut saya jalan-jalan."
"Ke mana?"
"Sekitar sini sahaja. Bosan kalau hanya duduk-duduk berbual bukan?"
"Okey. Tiada masalah. Saya jadi pemandu pelancong awak malam ini."
"Tidak perlu. Saya yang akan jadi pemandu pelancong awak malam ini. Dan apabila saya kata jalan-jalan. Saya benar-benar maksudkannya. Jalan."
"Dengan kaki?" Aku mula terbayang bagaimana kami akan menempuh jalanan kota Kuala Lumpur pada malam itu. Aku sangkakan Diana mahu berjalan di taman yang berdekatan dengan KLCC. Namun, sangkaanku silap.
"Ya."
"Awak tahu selok belok bandaraya ini?"
"Awak serius bertanyakan soalan itu kepada saya? Bertahun saya tinggal di Lembah Klang sebelum saya berhijrah ke Amerika."
"Okey. Ke mana kita mahu pergi?"
"Awak ikut saya jalan-jalan, selepas itu ikut saya memanah pula."
"Memanah?"
"Ya. Seronok. Awak mesti cuba"
Diana membawa aku berjalan dari KLCC ke Jalan Imbi. Bukan satu jarak yang dekat. Nasib baiklah aku tidak memakai kasut tumit tinggi. Walaupun begitu, kakiku tetap berasa lenguh. Namun, aku tidak menunjukkannya kepada Diana yang kelihatan begitu bertenaga.
'Apa yang perempuan ini makan agaknya?' Hati kecilku berkata.
Dalam perjalanan, aku berbual-bual dengan Diana. Aku berusaha untuk mengawal rentak perbualan kami. Aku tidak mahu tergesa-gesa membawanya ke topik yang panas. Aku tidak mahu mengulangi kesilapanku yang lalu. Sepanjang perjalanan, kami bercakap tentang perubahan Lembah Klang dan hal-hal wanita.
Apabila tiba sahaja di pusat permainan memanah yang hendak ditujui oleh Diana, kami berhenti bercakap. Tumpuan diberikan seratus peratus kepada panahan yang dibuat. Namun, Diana masih lagi menjadi prioritiku. Aku memerhatikan gerak-gerinya. Bertanya bagaimana gadis Kota Tinggi itu boleh menjadi satu fenomena dan berkuasa. Dia mengepalai Babylon Cat Inc. Aku banyak membaca tentang syarikat itu. Aku tahu potensinya dan cara syarikat itu beroperasi. Perkembangan yang ditunjukkan oleh Babylon Cat menarik perhatian ramai. Masing-masing tertanya-tanya bagaimana Babylon Cat boleh menjadi begitu dominan dalam masa kurang dari sepuluh tahun. Masing-masing mahu tahu rahsia Si Kucing dari Babylon itu. Diana tidak mengurus syarikat itu secara harian seperti mana yang dilakukan oleh Ketua Operasi yang lain. Dia pemegang saham terbesar dan dia memberi arahan dari jauh. Aku pasti, untuk memastikan operasi berjalan lancar, ada banyak mata-mata yang 'dipasang' di Babylon Cat yang memberi laporan kepadanya dari hari ke hari.
YOU ARE READING
Sfera
General FictionJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!
Bab 35: Kucing Babylon
Start from the beginning