Remy8 - Bab 1

228 28 14
                                    

"Remy, kau nak minum?" tanya seorang gadis berambut pendek yang lebih tinggi daripadanya.

Tengah hari yang panas itu sudah mula menyakitkan kulit dan kepala Remy. Bukan mudah nak berlatih menjadi pelari pecut. Acara 100 meter, memang sudah dalam tangan. Yang sukar, acara 200 meter. Terpaksalah Remy, 11 tahun, terus berlatih.

"Terima kasih Riz, kau dah minum ke?" tanyanya sambil menyambut air isotonik yang dihulurkan.

Riz mengangguk. "Kau habiskan pun tak apa."

Setiap tegukan rezeki buat Remi. Anak yatim piatu, Remy tidak punya memori seorang ayah, cuma cerita allahyarhamah ibunya. Ibunya meninggal dunia akibat kanser tahun lepas, dan sejak itu dia dibela ibu saudaranya, Mak Ngah.

Remy pelajar bijak, tidak punya masalah di sekolah dan seorang atlet yang agak bagus, dikasihi guru. Wajahnya menarik, walaupun bukanlah paling kacak di sekolah. Hidungnya tidak terlalu mancung. Matanya tajam. Dagunya terbentuk. Dia diminati beberapa orang gadis, tapi tak ramai yang mampu dekat kerana Remy agak pendiam.

Riz, yang dikenali sejak dua tahun lepas, merupakan satu-satunya manusia yang dianggap sahabat. Tapi Riz sudah Darjah Enam. Tahun depan, mereka takkan sama sekolah lagi. Remy sudah mula murung memikirkan ini biarpun sekarang masih bulan Febuari, tahun persekolahan baru sangat bermula.

Riz tak pernah memaksa dia menerima surat permohonan jadi adik angkat, menyorongkan makanan yang tidak perlu di depan hidungnya atau menyelitkan hadiah di dalam begnya. Remy tak mahu itu semua. Dia cuma perlu teman bersembang sahaja.

Dan dengan Riz, dia boleh mengomel tentang apa sahaja. Riz akan dengar, sekali-sekala mengetawakannya tapi tidak pernah memperkecilkannya.

Seperti Remy, Riz juga sangat berterus-terang orangnya. Riz pernah memberitahu Remy yang dia juga anak angkat. Bapa angkatnya diplomat. Biar dia mewah, dia tidak pernah mengada-ngada meminta itu ini. Dia tahu kedudukannya tidak sama seperti kakak dan abangnya yang jauh lebih tua daripadanya. Riz juga pelajar bijak dan aktif, kerana katanya, mahu buat ibubapa angkatnya bangga. Harapannya, agar mummy dan daddy sama bangga dengan abang yang berada di MCKK dan kakak yang sudah melanjutkan pelajaran ke MIT di Amerika.

Remy rasa Riz tidak perlu gusar kerana tiap kali Hari Ibu Bapa dan Guru-Guru, ibubapa Riz nampak gembira memeriksa keputusan peperiksaan dan prestasi anak mereka. Sama macam ibu dan mak ngah juga, sentiasa sayangkan Remy lebih daripada nyawa.

"Hoi! Kalau mengelamun, serah pada kau. Sudah, jom lari. Tu, mereka dah panggil," tunding Riz pada coach dan lima lagi sahabat seperjuangan mereka.

Atlet balapan itu berkumpul.

"Aku tahu, kau nak balik, main gitar kan? Sabarlah. Lepas ni kita lari balik rumah laju-laju, ok?" ajak Riz, berbisik perlahan.

Remy tersengih. Memang Riz pandai betul membaca fikirannya.

"Ok, kita lawan siapa lagi laju," balas Remy.

"Boleh, tapi, jangan sampai tumbuh sayap, sudahlah," sempat Riz mengusik lagi.

Remy8Where stories live. Discover now