Kejora menggeleng selaju mungkin, menghalau ilusi yang menggerunkan dirinya sendiri. Dua pasang kakinya laju membelah jalan tanpa hala tuju yang jelas.
Kepalanya ditoleh sebentar. Kelihatan anak-anak kecil tadi menghalang laluan menyukarkan mereka mengejarnya. Senyuman bangga terbit di bibirnya. Bijak sungguh anak-anak kecil tadi mengikut kata.
Lari. Lari dan lari.
Kehijauan rimba di hujung kota menyapa mata. Peluang meloloskan diri semakin cerah buat Kejora lantas tubuhnya bersandar di sebalik pohon besar di dalam hutan. Setiap hela nafas cuba diperlahankan bunyinya.
Sunyi. Hanya debar di dadanya mengeluarkan irama yang mengisi halwa telinga. Mungkin tiada sesiapa sudah yang masih mengekorinya. Nafas dihela perlahan. Lega. Dia terlepas akhir—
"Itu dia!"
Atau mungkin belum lagi.
Kejora menghadap tiga tubuh gerangan yang mengejarnya. Seorang lelaki yang raut wajahnya dia kenal sebagai cincu wangkang, tempat dia mencuri segenggam beras tadi. Dua orang lagi kelihatan seperti orang dari sekitar Nusantara. Mungkin pengiring warga Tanah Besar seorang ini.
Sekurang-kurangnya mereka ini bukan orang-orang atasan kota. Kejora menarik nafas lega sebelum hakikat menimpa dirinya. Orang kota ataupun bukan. Bahaya tetap sama kalau ditangkap.
"Uh... Apa hajat tuan hamba sekalian ke mari?" Soalan yang begitu bijak keluar dari bibir gadis itu.
"Pu— pulangkan beras yang kamu curi!" Jelas masih ada pelat dalam cincu itu berbahasa. Kejora memerhati susuk tubuh cincu yang sedikit berisi. Dadanya berombak termengah-mengah mencari nafas.
"Hamba tidak pernah mencuri apa-apa. Pasti tuan hamba ini silap gerangannya." Kejora ketawa kecil, cuba memeriahkan suasana yang tegang. Tidak berjaya.
Mindanya merangka strategi meloloskan diri. Walaupun warga Tanah Besar itu agak mudah untuk diuruskan oleh Kejora, orang-orang upahannya tampak lebih sukar ditewaskan.
"Jikalau tuan hamba tidak percaya akan kata-kata hamba, silakan diperiksa." Hujung bajunya diangkat menunjukkan tiada apa-apa di dalam sakunya.
Orang upahan cincu itu maju ke hadapan. Memeriksa kalau-kalau ada saku beras yang sebenarnya sudah diberikan kepada anak-anak kecil di pasar tadi. Tanpa membuang masa, Kejora melakukan satu-satunya aksi yang menjengah fikirannya.
"Aduh!" Lelaki itu berundur ke belakang, telapak tangannya terletak di celah kangkang. Menahan kesakitan yang tidak diundang.
Kejora terus membuka langkah. Pantas memasuki lubuk hutan yang semakin dalam. Tubuhnya disorokkan di sebalik semak samun yang kelihatan di pelupuk mata. Duduk. Punggungnya dilabuhkan di atas dedaunan kering dan ranting kayu yang menjadi lantai hutan.
"Ke mari! Dia pasti di sini!"
Keluhan dilepaskan. Mengapalah mereka ini bagaikan tidak mengenal erti mengalah.
"Hari sudah senja. Lebih baik kita pulang ke kota sekarang."
"Tidak! Kita mesti—" Bunyi burung-burung balik ke sarang memberhentikan tutur kata mereka. Langit sudah semakin hilang warna merah menandakan kedatangan hitam malam yang bakal menggantikannya.
"Ayuhlah kita pulang." Tampak saja tubuhnya sasa tetapi penakut rupanya. Kejora menahan gelak. Telinga dipasang lagi mendengar mereka yang kini bertutur dengan bahasa yang tidak difahaminya. Mungkin ingin meyakinkan cincu itu agar pulang ke pelabuhan.
"Lagipula, gerangan itu tidak akan mampu bertahan di dalam rimba tika malam menjelma nanti." Dengan kata putus, tiga susuk tubuh itu mengorak langkah balik ke kota. Kejora diam, menunggu mereka benar-benar sudah jauh dari pandangannya.
Matanya dipejamkan, nafas dihela lega. Kini dia boleh bersandar tenang di kayu keras pohon ini.
'Ah... Akhirnya...'
Lelah semakin terasa. Demi segenggam beras, dia berlari dari hujung pelabuhan sehingga ke hutan tiada berpenghuni ini. Hidup memang sukar.
Bukan hajatnya untuk mencuri butir-butir beras itu tetapi apa lagi caranya. Anak-anak terbiar di kota masih ada yang kelaparan. Upahnya mengangkut barang dagangan di pelabuhan juga masih belum diterima. Itu sajalah kaedah yang masih terbuka.
Bukan apa, dia kasihan melihat anak-anak kecil yang senasib dengannya itu. Kehilangan emak dan ayah, kepayahan mencari sesuap nasi di kota. Selagi kudratnya masih ada, apalah salahnya dibantu sedikit.
Kejora bangkit dari tempat istirahatnya. Ingin pulang ke tempat asal. Matanya ligat memerhatikan segenap ceruk hutan sebelum satu hakikat menyedarkannya. Dia sesat.
Mahu tak mahu, Kejora menapak perlahan. Inilah padah terlalu tergesa-gesa, laluan yang digunakannya tadi juga sudah hilang dari minda. Tekaknya juga sudah meronta-ronta meminta dibasahi seteguk air. Nasib dirinya seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Malang benar.
Pandangannya semakin tidak jelas ke hadapan dihalang oleh kegelapan malam. Tinggal sinar purnama sahaja yang menerangi pelosok hutan. Bau asap menembusi deria baunya sebelum kaki melangkah mencari punca bau tersebut. Unggun api.
Siapalah yang membuat unggun api di tengah belantara ini. Hairan. Kejora memerhatikan nyalaan pawaka yang masih marak dengan bantuan dahan pokok-pokok. Mungkin tadi ada orang yang memburu haiwan di sekitar sini.
Pandangannya terarah kepada bekas menyimpan air di sebalik daun kering. Pantas tangannya mencapai bekas dengan harapan, adalah air setitis dua untuk melegakan dahaganya. Namun, hanya hampa yang diterimanya.
Irama air sungai yang deras mengalir mengetuk gendang telinga Kejora. Sungai! Ikatan kain yang menutup mukanya dibuka. Bekas minuman yang kosong itu dibawa ke arah aliran sungai. Diisikan dengan air jernih sungai yang mengalir sebelum diteguk sehingga kosong.
Hujung bibirnya dikesat dengan lengan baju. Lagaknya seperti sudah setahun tidak berjumpa dengan air. Bekas minuman yang kosong diisikan semula sebagai bekalannya menempuhi belantara yang tebal untuk balik ke kota.
Sekurang-kurangnya tiada lagi masalah yang akan melanda, bukan?
Baru sahaja Kejora ingin melangkah, terasa ada bilah tajam di tengkuknya. Suara asing menyapa halwa telinga. Dingin.
"Siapa gerangan tuan hamba?"
Dan dalam suasana yang mengancam nyawa dan ketenangan seorang gadis sepertinya. Hanya satu perkataan meluncur laju keluar dari bibir.
Satu perkataan, dua suku kata.
"Sial."
Atau mungkin satu suku kata, entahlah Kejora pun tidak pasti.
•❅──────✧❅✦❅✧──────❅•
If you turn your back,
you get a knife on the neck.Na na na na na na na na~
Pesanan penulis :
Minumlah air bersih yang ditapis. Happy~ Healthy~ Coway 🎶
YOU ARE READING
Perabu Purnama
Historical Fiction[ Book 1 in Mávros series ] Perabu Purnama | King of The Moon •❅──────✧❅✦❅✧──────❅• "Ada pun mahligai berhiaslah kencana di bukit sana, adapun di dalamnya ribut yang menentang, dengan libasan pedang dan bala tenteranya, akan ditakluk sem...
2 | Aquila
Start from the beginning