BUNYI ayam-ayam berkokok mengganggu tidurku. Sejak bila pula ada ayam di bandar?

Aku segera bangun dari lantai. Malam tadi aku tertidur di lantai di hadapan pintu. Habis sakit-sakit badanku pagi ini.

Jam di dinding kutoleh. Sudah masuk pukul 6:00 pagi. Lebih baik aku bersiap, membersihkan diri sebelum menunaikan solat Subuh. Malam tadi aku tidak sempat menunaikan solat Isyak kerana sibuk melayan perasaan. Nanti akan kuganti saja dengan solat Qada'.

Aku melangkah masuk ke bilik air kemudian pantulan wajahku di cermin kutenung lama. Comot dengan makeup dan air mata kerana asyik menangis malam tadi. Haih...

Aku membasuh muka bagi menghilangkan segala bekas kotoran makeup di muka, kemudian apabila sudah bersih, kutatap sekali lagi wajahku melalui pantulan cermin.

"Zara, kau kena kuat. Jangan tunjukkan yang kau lemah!" bisikku perlahan sambil mataku terus merenung tepat pada pantulan mataku di dalam cermin, cuba memberi semangat pada diriku sendiri.

"Kau kuat! Jangan menangis lagi..." Belum sempat aku menghabiskan ayat, aku menangis. Air mataku kembali membasahi pipi. Perkara yang berlaku malam tadi masih bermain-main di fikiran.

Pantas kusapu air mata dengan tuala kemudian senyuman manis kuukirkan, walaupun hakikatnya kelihatan pahit.

*****

TOK! TOK! TOK!

"Akak, bukalah pintu. Isya tahu akak marah dengan Isya. Tapi cuba akak dengar dulu apa Isya nak explain. Kitaorang buat semua ni bersebab, bukan saja-saja nak sakitkan hati akak."

Selesai saja aku menunaikan solat Subuh, kedengaran suara Isya dari luar, memintaku peluang untuk mendengar penjelasannya.

Disebabkan aku baru selesai solat, hatiku berasa sedikit lembut. Jadi aku memberi peluang untuk Isya menerangkan segalanya. Mungkin juga aku tersalah faham dengan apa yang terjadi. Hendak fikirkan ego sendiri pun tidak boleh juga...

"Okey. Teruskan," ujarku dari dalam tanpa membuka pintu yang berkunci. Biar dia duduk di luar saja.

"Sebenarnya semua prank ni tak ada siapa yang rancang. Kita semua tak terfikir pun nak buat prank ni. Tapi..."

"Habis tu siapa yang rancang? Monyet?" potongku.

"Bukannnn. Semuanya jadi tiba-tiba. Akak, Jeff dah lama pendam perasaan kat akak, tapi dia tak berani nak luahkan sebab dia tak nampak pun yang akak layan dia. Jadi ini ajalah cara dia nak tengok sama ada akak kisahkan dia atau tak."

Aku terdiam. Tidak tahu apa yang perlu kubalas.

"Akak, Isya tahu prank ni agak sensitif dan keterlaluan, tapi Isya terpaksa setuju juga sebab Isya kesian tengok Jeff. Walaupun baru berapa hari Isya kenal dengan dia, tapi Isyalah satu-satunya tempat dia luahkan perasaan dia terhadap akak. Dia kata akak tak suka dia. Akak macam tak layan dia. Isya dah penat nak yakinkan dia yang akak pun sukakan dia tapi dia masih tak puas hati. Dia nak jugak buat prank ni untuk tengok sama ada akak kisah pasal dia ataupun tak," jelas Isya panjang lebar.

Aku yang sedang melipat sejadah, terhenti seketika. Dengan perlahan, aku melangkah ke tepi pintu untuk mendengar penjelasan Isya dengan lebih jelas.

"Akak, Isya tahu akak pun sukakan Jeff, kan? Akak, sampai bila akak nak sembunyikan perasaan akak? Sampai Jeff betul-betul mati? Masa tu, akak nak menyesal pun tak guna, kak. Nasib baik semua ni prank, tahu? Sekurang-kurangnya akak masih boleh jumpa dia lagi, boleh tengok dia lagi. Akak, Isya tahu akak tak suka semua benda ni, sama juga dengan Isya. Isya dah agak mesti akan jadi macam ni. Tapi cuba akak tengok balik effort Jeff. Macam-macam cara dia buat untuk dapatkan akak."

My Maid, My Wife ✔Where stories live. Discover now