Bila pelayan tadi mengahalakan kamera padanya pula, Hizran kembali tenangkan diri. Ditahankan hati yang dah gatal rasa macam nak sekeh kepala Amanda di sebelahnya itu.

“Ucapan ab…abang, terima kasih sebab terima abang jadi suami. Harapan abang, semoga sayang jadi isteri yang baik dan taat pada suami.” Hizran tundukkan wajahnya memandang tepat ke muka Amanda yang dah tahan diri dari ketawa.

Nak sangat main-main kan? Okey, dia ikutkan saja.

I love you.” Tambah Hizran.

Kendur terus senyuman Amanda. Matanya terkebil.

“Permintaan untuk anak nombor dua macam mana?” Pelayan tadi menyoal sekadar mengusik.

Hizran garu belakang kepala.

“Ma… malam ni.” Hampir tak terkeluar ayat itu dari mulutnya. Habis merah telinga dia tahan malu punya pasal.
Ni semua angkara Amanda! Dan angkara tema 'eratkan kasih sayang suami isteri dengan pizza' tu tadi!

Cisss!

“Okeyy, siap!” puas hati senyuman yang terukir pada wajah pelayan itu.

“Abang dengan akak pilih menu dulu. Nanti saya datang lagi. Terima kasih.”
Langkah gadis kecil molek itu terus diatur meninggalkan pelanggannya.

Amanda jarakkan tubuh. Buku menu di atas meja, diselak sambil kepala ligat mencongak apa menu yang dia mahu.
Sesudah membuat pesanan, tangannya capai pula patung monyet di kerusi hadapan.

“Terima kasih tau sebab belanja aku patung ni.” Patung monyet itu dipeluk kuat. Bahagia rasa bila memikirkan malam nanti dia dah ada peneman tidur.

“Simpan elok-elok. Jangan buat lap air liur basi kau pulak.”

Amanda menjeling.

“Suka hati aku lah. Dah jadi barang aku pun kan. Eh tapi kan, macam mana kalau aku kahwin nanti? Takkan lah aku nak simpan patung hadiah dari kau ni lagi? Dibuatnya laki aku tanya siapa bagi, tak ke haru biru jadinya?”

Hizran jongket bahu.

“Buang ajelah.” Mudah saja jawapannya.

Amanda monyokkan muka tak setuju.

“Hisyh, tak sampai hatilah nak buang.”

“Kalau macam tu, kau pulangkan dekat aku. Biar aku yang buang.”

Lagi sekali Amanda tunjuk gaya yang dia tak akan ikut cadangan Hizran.

“Mana boleh macam tu. Tu namanya tak reti nak berterima kasih sebab pulangkan barang dekat orang yang bagi.”

Hizran sandarkan tubuh ke belakang kerusi. Naik lenguh badan dia bila Misya masih sedap terlentok pada dadanya.

“Senang macam ni, kau simpan selagi mana kau perlukan aku. Kau pulangkan semula bila kau dah tak perlukan aku.” Hizran cuba beri idea lain.

Amanda diam seketika. Cuba fikirkan cadangan Hizran itu tadi.

“Apa kaitaannya kau dengan monyet ni?”

Hizran sorotkan matanya tepat pada Amanda di hadapan.

“Anggap aje monyet tu macam hubungan kita. Mungkin satu hari nanti kau atau aku yang kahwin dulu. That time kita dah tak boleh nak selalu bersama macam ni. Monyet tu pun mungkin dah tak ada apa-apa makna untuk disimpan. Lebih baik buang untuk elak salah faham.”

Amanda masih tetap juga buat muka tak setuju.

“Kan aku dah kata yang aku tak sampai hati nak buang.”

“Bagi aku semula. Pandailah aku nak buat macam mana nanti.”

Perbualan mereka terbantut begitu saja bila pesanan tiba. Misya yang kebetulan terjaga,  terus bersemangat mukanya bila nampak pizza di atas meja.

Kalau dah Amanda yang pesan makanan macam sekampung yang makan, sudah semestinya baki yang tinggal diarahkan pekerja restoran pizza itu bungkuskan untuk mereka bawa pulang.

Hanya sengihan yang mampu Amanda beri bila Hizran berkali-kali gelengkan kepala dengan perangainya yang sekarang ni dah tersandar kekenyangan.

“Aku pergi bayar dulu.” Hizran bangun. Diletakkan Misya ke kerusi sebelah.

“Eh, kan percuma.”

Hizran kembali duduk. Matanya tajam pandang Amanda yang menghalangnya tadi.

“Kau ingat bila kau tipu kata kita ni suami isteri, halal ke hukumnya makanan yang masuk dalam perut kita ni?” Sengaja Hizran mengajar subjek agama pada Amanda. Biar Amanda sedar tindakan yang diambil memberi kesan terhadap diri sendiri.

Amanda muncungkan bibir.

“Tapi kan kita dah buat ucapan apa semula.”

Hizran buat tak peduli. Dia tak sanggup nak telan benda haram. Lagi dia tak sanggup nak butakan mata bila membiarkan Amanda dan Misya ikut sama menelan makanan itu semua sekiranya dia memilih jalan untuk mendiamkan diri tentang kenyataan yang sebenar.

“Kau tunggu sini. Aku bayar sekejap.” Tak hirau dengan muka cemberut Amanda, Hizran melangkah selamba ke kaunter pembayaran.

Dari meja, Amanda sekadar perhatikan saja Hizran yang sedang bercakap dengan pelayan yang ada di situ. Sesekali dipalingkan mukanya ke arah lain bila sedar mereka yang ada di kaunter itu menjeling-jeling ke arahnya.

Malu betul! Mana dia nak letak muka?

“Jom.”  Ajak Hizran sesudah menyelesaikan pembayaran.

Cepat-cepat Amamda bangun. Ditarik tangan Misya untuk berjalan keluar dari situ bersamanya.

“Terima kasih. Datang lagi.”
Saat pekerja-pekerja memberi ucapan itu pun hanya senyuman malu yang mampu Amanda beri.

“Walaupun akak dengan abang bukan suami isteri, tapi akak dengan abang nampak sesuai sangat. Semoga berjodoh.” Ucap pelayan yang mula-mula mengambil pesanan mereka tadi.

Amanda tersengih saja. Malu masih tetap bersisa. Nak bagi reaksi yang macam mana pun dia sendiri tak tahu. Tu yang cuma boleh tayang renyih.

 
Bersambung 🌼

KITAWhere stories live. Discover now