Orang tu pun dah menyampah agaknya tengok aku termenung sorang-sorang tengah-tengah depan platform ni.

Nafas ditarik panjang. Beg tangan di bahu aku silangkan ke badan. Sebaik saja tren menghampiri, aku terus berdiri di belakang garisan kuning. Suasana seakan sepi tadi, tiba-tiba jadi hingar.

Masuk saja ke dalam gerabak, mata terus terpandangkan satu tempat duduk kosong. Cepat saja aku melabuhkan punggung di situ.

Sekali lagi aku melepas nafas. Lega bila ada juga tempat duduk untuk perjalanan hampir dua puluh minit itu. Angkat saja kepala, sekali lagi wajah Eddie menghiasi mata.

Poster iklan yang berlainan pula terpapar secara melintang pada dinding tren dan spontan membuatkan aku tersenyum.

Kan dah cakap, memang asyik senyum je aku bila nampak wajah dia.

Haih, susahlah nak benci bila aku dah jadi 'bias' dengan orang yang aku sayang. Sebab ini ke orang cakap bila dah cinta, orang jadi buta?

Cepat-cepat aku buka kamera pada telefon pintar yang sudah sedia dipegang. Fokus utama, poster iklan yang terlakar pada dinding.

Gambar ini pun aku nak hantar pada dia. Biar dia berterima kasih sikit pada aku yang tak putus sokong dia...

"You ambil gambar I ke?"

Lamunan aku terhenti bila ada suara menegur tiba-tiba. Ada orang cakap dengan aku ke?

Spontan telefon pintar di tangan diturunkan dan wajah seorang lelaki asing pula menyapa pandangan. Lelaki yang kelihatan kemas dengan kemeja tanpa tali leher itu rupanya duduk betul-betul di bawah poster iklan Eddie tadi.

"You ada ambil gambar I kan?" soal dia lagi.

Berkerut-kerut dahi aku pandang dia. Tanpa sedar, pandangan aku naik ke rambut yang kemas diikat satu dan perlahan-lahan turun ke sneakers hitam putih yang dipakai.

Ini bukan masa nak 'scan' orang, wahai Aaina.

Dia yang duduk di kerusi bertentangan dah pandang pada aku gaya tak makan sebulan.

Apa soalan dia tadi?

Aku ambil gambar dia?

Bila masa...?

Seram pulak bila sepasang mata dingin itu tepat pada anak mata aku. Aura dia memang lain macam sungguh!

"Mana ada." Laju aku membalas. Tak ada kerja aku nak ambil gambar orang tak kenal dalam LRT ni. Kalau aku ambil pun, aku nak buat apa? Heh!

Sambil membebel dalam hati, aku mengerling pada skrin telefon yang masih dalam genggaman. Namun bila anak mata memandang apa yang terpapar pada skrin, darah yang mengalir tadi terasa seakan terhenti.

Oh my!

Hampir terlepas pegangan aku bila nampak imej dia yang memandang tajam ke depan terakam jelas di situ.

Aku tahu muka aku dah berubah merah+biru+kelabu sekarang ni. Tapi sedaya upaya aku cuba kawal riak wajah sendiri macam tak ada apa-apa yang jadi.

Wanita yang berdiri tak jauh dari tempat duduk aku cuba mencuri pandang dan cepat juga aku turunkan telefon pintar ke riba.

Dengan muka yang dah mula panas membahang, aku membalas pandangan lelaki di hadapan.

Aiseh, macam mana aku boleh tak perasan wajah dia termasuk dalam gambar poster iklan tu?

"Kalau betul you tak ambil, boleh I tengok gallery?"

Permintaan dia sedikit sopan, sikit pun tak menyakitkan hati. Tapi masalahnya sekarang ni, aku dah terlajak menafikan padahal sah-sah muka lelaki tu ada dalam gambar.

Macam mana ni?

Boleh tak aku pura-pura tak dengar permintaan dia? Boleh tak?

Dia pun satu, kalau pun aku terambil gambar dia, halalkan ajelah. Nak kecoh pulak. Bukannya aku nak bawa pergi bomoh pun!

Telefon pintar di tangan masih digenggam kemas.

Sekali lagi aku telan air liur yang tiba-tiba terasa seperti asam jawa.

Dengan mata yang masih pada dia, jari jemari mula senyap-senyap cuba memadam gambar yang aku ambil tadi.

Bukannya aku tak biasa menaip tanpa tengok skrin pun. Benda kecil je ni.

Delete dan nanti-nantilah aku restore gambar tu balik. Telefon sekarang ni pun dah terlebih 'pintar'.

Apa susah, kan?

Belum sempat jari membuat kerja, tren tiba-tiba berhenti hampir mendadak membuatkan wanita yang berdiri depan aku itu melanggar telefon pintar yang aku pegang.

Saat itu, aku hanya mampu memandang gajet kesayangan aku itu terpelanting ke depan dan hampir semua mata memaku ke arah telefon pintar yang terjatuh tepat di kaki lelaki tadi.

Dan saat ni, kalau toreh muka pun, aku yakin tak ada darah yang keluar.

Riak wajah lelaki itu saat memandang skrin telefon di lantai tren sedikit pun aku tak reti nak tafsir.

Marah?

Terkejut?

Atau...

Matilah kau, Aaina...

Memang jelas kelihatan wajah dia di skrin yang langsung bertentangan dengan penafian aku tadi.

Dari skrin telefon, perlahan-lahan pandangan mata aku dan lelaki itu bertembung. Walaupun dengan berlapiskan cermin mata bingkai hitam tebal, aku dapat rasa ketajaman pandangannya.

Keadaan seperti sunyi seketika. Beberapa pasang mata di kiri dan kanan mula mencuri pandang, membuatkan aku jadi rimas sendiri.

Belum sempat lelaki itu membuka mulut, cepat-cepat aku capai telefon pintar dari lantai dan menyusup keluar dari tren.

Seboleh-bolehnya aku melajukan langkah menjauhi landasan dan terus ke tingkat bawah. Dia tak keluar kejar aku, kan?

Kan?

Aku tak berani nak pusing belakang. Aku tak berani nak toleh. Dan bila bunyi gerabak meninggalkan landasan mula kedengaran, aku terus tarik nafas lega.

Nasib baiklah tren berhenti tepat pada masanya.

Sekali lagi aku memandang gambar yang diambil tadi. Wajah lelaki yang memandang tepat pada kamera membuatkan aku hampir ketawa sendiri.

Haih, macam manalah boleh tak perasan yang dia termasuk dalam 'frame' ni?

DARI TADI aku masih menggeleng sendiri. Sungguhlah, tak pernah-pernah dibuatnya aku malu macam ni sekali. Depan satu gerabak pula tu!

Aku cuba untuk tenangkan diri. Di stesen ni, tak ada yang tahu apa yang jadi dalam gerabak tadi. Kalau ada pun, mungkin dah selamat keluar dari stesen. Aku saja yang masih di situ, menunggu tren yang seterusnya.

Jam tangan dikerling sekilas. Nasib baiklah ada banyak masa lagi untuk aku sampai di tempat kerja. Turun dari platform tadi, aku kembali memanjat anak tangga ke atas. Tren seterusnya sepatutnya tak lama.

Sambil menunggu, aku kembali buka telefon pintar di tangan. Memandangkan satu je gambar yang sempat aku ambil, aku 'crop' kan saja muka lelaki tadi keluar dari situ.

Siap.

Sama macam tadi, gambar itu juga aku hantar pada Eddie.

Dalam LRT pun ada. Congratulations =)

Seperti biasa, hanya satu 'tick' sahaja yang muncul. Tak apa, aku dah biasa. 

Cinta Gadis Februari [Published]Where stories live. Discover now