HAMPIR seminggu mereka berjauhan kerana Lutfi perlu bekerja di tempat luar. Dato Uzair dan juga beberapa pekerja lain turut ada bersamanya bagi melawat tapak kawasan yang menjadi perancangan projek syarikat bersama sebuah syarikat lain. Haura tidaklah tinggal sendirian di rumah kerana Lutfi tidak harap untuk meninggalkannya. Jadinya Lutfi menyuruh Haura untuk duduk di rumah keluarga Haura untuk tempoh beberapa hari.
Hari selebihnya termasuklah hari ini, Haura membuat keputusan untuk duduk di rumah keluarga Lutfi. Haura lebih seronok duduk bersama Datin Lydia. Almaklumlah Datin Lydia tidak akan membebel kepadanya. Malah tidak pernah menyuruhnya membuat kerja rumah. Datin Lydia juga sering mengajak dan membawanya ke pusat membeli-belah.
Haura menyambut kepulangan Lutfi di pintu rumah seperti rutin sebelum ini. Wajahnya ceria. Senyuman terukir. Kerana sudah lama tidak bertamu wajah bersama Lutfi. Tentulah dia merindui Lutfi. Namun Lutfi itu tetap berwajah kosong. Tiada perasaan. Haura mengerti. Mungkin Lutfi penat.
"Awak nak makan atau nak mandi dulu?" Haura mengiringi Lutfi melangkah ke dalam rumah.
Lagipun kebetulan ketika itu adalah waktu makan tengah hari. Hanya Haura yang tidak menjamah. Dia menanti Lutfi pulang. Dato Uzair yang pulang awal pada hari semalam bersama Datin Lydia dan Lateeq saja menjamah selera tadi.
"Saya nak mandi. Kemudian nak lelap mata sekejap" Jawab Lutfi yang agak mengecewakan. Langkahnya terus menuju ke dalam lif tanpa mengendahkan Haura. Haura turut masuk sekali ke dalam lif.
"Saya belum makan lagi. Sebab saya tunggu awak balik" Beritahu Haura yang masih berharap.
"Awak tak perlulah tunggu saya lain kali. Awak pergi lah makan kalau awak lapar. Saya penat dan tak rasa nak makan sekarang" Balas Lutfi lagi.
Haura senyum kelat. Beria dia menunggu Lutfi pulang. Namun mendapat jawaban yang hampa. Mana tidak pedih hatinya ini. Lif berdenting tiba di tingkat tiga yang merupakan keberadaan bilik Lutfi. Mereka melangkah keluar dari lif memasuki ke dalam bilik.
"Awak sebenarnya dah makan dengan Wardah ke? Sebab tu awak tak nak makan lagi?" Haura memberanikan diri untuk bertanya setelah dia teringat Lutfi menumpang Wardah bersama bapa Wardah ketika pulang kerana Dato Uzair sudah membawa pulang kereta pada hari semalam.
"Kenapa saya nak makan dengan dia pula?" Lutfi menjongket kening dengan hairan sambil membuka butang kemejanya.
"Saya tahu awak pulang dengan Wardah. Mesti awak pergi makan dengan dia dulu kan?" Haura masih dengan sangkaannya.
"Apa yang awak mengarut ni Haura?" Lutfi agak berang. Haura menekannya dengan tuduhan yang dilemparkan itu.
"Kenapa awak marah bila saya cakap pasal Wardah?" Haura terkilan kerana Lutfi seolah memarahinya. Setiap kali dia menyebut nama Wardah juga, ekspresi Lutfi tentu berdingin.
"Memang saya pulang bersama Wardah. Tapi bukan berdua. Ada bapa Wardah dan pekerja lain di dalam kereta. Kitaorang tak singgah makan pun" Jelas Lutfi agar tiada salah faham lagi antara mereka. Haura tidak menyahut. Hanya membuat mimik wajah tidak puas hati.
"Sudahlah jangan nak menuduh atau buruk sangka pada saya lagi, Haura. Saya tak ada apa-apa hubungan dengan Wardah pun. Hanya awak yang asyik nak kaitkan saya dengan Wardah. Bukan sekali ni saja. Tapi dah banyak kali. Saya pun penat nak dengar dan saya letih nak bergaduh pasal ni lagi" Lutfi menambah lagi tuturnya agar meredakan keadaan.
Haura sekali lagi tersinggung. Lutfi menganggap dirinya suka menuduh dan berburuk sangka dengan Lutfi? Lutfi penat dengannya? Lutfi letih dengannya? Mana pergi Lutfi Ukail yang dulu? Yang tidak akan pernah henti menyusun diksi untuk menerangkan apa-apa saja dengan senyuman.
"Salah ke saya sebagai seorang isteri nak rasa cemburu? Nak rasa curiga? Nak rasa ragu? Sebab saya tahu Wardah masih berharap pada awak. Saya minta maaf kalau awak tak suka sikap saya macam ni. Awak pun dah penat kan dengan saya? Awak pun janganlah pertikaikan tentang Doktor Luthraz yang berhubung dengan saya. Bukan salah saya. Dia yang masih nak berhubung dengan saya" Haura sengaja membangkitkan kekeruhan situasi mereka.
Doktor Luthraz yang kadang kalanya suka menanyakan khabar Haura serta khabar Lateeq. Haura biasanya tidak membalas atau balas acuh tidak acuh saja kerana masih mengingati diri sedang berstatus isteri orang.
"Awak masih berhubung dengan Doktor Luthraz?" Lutfi tersentak. Panahan tajam matanya merenung Haura. Namun Haura sekadar selambakan dirinya. Memang dia sengaja mahu buat Lutfi cemburu.
"Awak tahu hukum tak, Haura? Awak tu berstatus seorang isteri. Sepatutnya awak mengelak dari melayan dia. Awak kena jaga maruah awak sebagai seorang isteri. Tapi awak biarkan dia datang cari awak dan awak pun layan dia juga" Lutfi sudah dilanda amuk ketika itu. Wajahnya dingin. Intonasinya tegas.
"Bila tentang saya, pandai pula awak kaitkan dengan agama. Bila tentang awak? Semuanya boleh. Awak ni macam penunggang agama!" Haura mengherdik Lutfi geram kerana terasa Lutfi itu seakan memandangnya hina. Lutfi agak terkesima dengan buah bicara yang dilemparkan Haura itu.
"Penunggang agama?!" Mendadak frekuensi suara Lutfi naik menjerkah Haura sehingga terhinjut kedua-dua bahu Haura.
Haura menekur pandangan ke lantai. Air matanya berguguran. Dia baru tersedar. Dia tidak sepatutnya berkata demikian kepada Lutfi. Dia sudah menempah amukan Lutfi.
"Penunggang agama awak panggil saya?! Awak sedar tak awak cakap apa pada suami awak, Haura Adelia?! Awak nak hina saya tanpa lihat diri sendiri?! Habis awak tu bagus sangat?!" Lutfi menengking Haura lagi. Tersembol urat-urat di lehernya. Tatapannya mampu menghiris Haura.
Haura mengangkat kepalanya kembali. Dia cuba bertembung mata Lutfi. Pandangannya menjadi sayu. Lutfi pula sudah melarikan wajah memandang ke arah lain bersama reaksi yang masih dingin itu.
"Harini baru saya sedar sesuatu. Orang yang saya kahwin bukan lagi Lutfi Ukail saya. Lutfi Ukail yang tak pernah tinggikan suara pada saya. Lutfi Ukail yang tak pernah mengeluh perangai buruk saya. Lutfi Ukail yang tak pernah hina saya. Lutfi Ukail yang tak pernah penat layan kerenah saya. Lutfi Ukail yang sentiasa sabar dengan saya. Lutfi Ukail yang tak henti-henti pujuk saya dan buat saya tenang. Tapi saya tak pernah salahkan Lutfi Ukail saya. Sebab saya sedar perangai buruk saya sendiri dahulu yang buat dia berubah dan tawar hati pada saya. Saya minta maaf" Haura bingkas membawa diri ke dalam bilik mandi bagi menghilangkan setiap tangisannya itu.
Lutfi yang menadah setiap diksi Haura itu membawa kesan ke dalam hatinya. Lafaz kalimah suci Yang Maha Esa lekas terucap di bibirnya. Dia meraup wajah. Dia sudah membuat Haura terluka. Lutfi buntu. Dia tidak memujuk Haura yang berada di dalam bilik mandi. Dia turun ke tingkat bawah menenangkan dirinya.
Lutfi bagai tiada hala tuju setibanya di tingkat bawah. Ibu bapanya berada di ruang tamu bersama Lateeq. Datin Lydia yang perasan Lutfi itu mula menegur. Dia hairan kerana Lutfi turun ke bawa dengan masih berpakaian tadi. Kalau tidak mandi pun, Lutfi mesti akan menukar pakaian dahulu.
"Lutfi dah kenapa?" Tegur Datin Lydia kerana tidak senang dengan Lutfi yang langkahnya ke hulur ke hilir. Lutfi geleng kepala.
"Lutfi bergaduh dengan Haura?" Datin Lydia menduga. Dia amat mengenali wajah anaknya itu yang baru saja melempiaskan kemarahan.
Dato Uzair terus mengalih pandangan dari televisyen ke wajah Lutfi. Lateeq juga memandang Lutfi.
"Daddy mesti marah mommy" Lateeq membisik kepada Datin Lydia. Kadang kala dia menjadi saksi pergaduhan ibu bapanya di rumah.
Lutfi bergerak ke sofa. Dia tidak menjawab pertanyaan Datin Lydia. Dia cuba mendekati Lateeq seolah-olah mengajak Lateeq untuk ke tingkat atas. Lateeq menggeleng tidak mahu. Dia menyebelahi Haura. Dia tidak suka Lutfi selalu memarahi Haura.
Datin Lydia memberi isyarat mata kepada Dato Uzair agar meninggalkan dirinya bersama Lutfi di situ kerana mahu berbincang. Dato Uzair lekas mengajak Lateeq untuk ke kedai. Lateeq mengikutinya.
"Lutfi tertengking Haura tadi" Lutfi membuka mulut selepas tinggal mereka berdua saja di ruang tamu itu.
"Astagfirullah Lutfi! Kenapa sampai macam tu? Lutfi tak boleh kawal emosi ke?" Datin Lydia menegurnya.
"Haura tu yang asyik salah sangka dengan Lutfi. Dia menuduh Lutfi ada hubungan dengan Wardah" Lutfi mencebik tidak puas hati. Dia memang tidak tahan apabila hampir setiap hari Haura mahu mengaitkan tentang Wardah.
Cemburu buta!
"Habis tu? Dengan melepaskan marah tu dapat selesaikan semua perkara? Manusia memang normal ada emosi marah tapi bukan melepaskannya sesuka hati. Cuba bawa istighfar banyak-banyak. Memang betul lah Lateeq cerita selama ni Lutfi selalu marah Haura kan?" Datin Lydia membebel. Lutfi hanya diam. Dia rasa bersalah pula.
"Lutfi tak sepatutnya cepat melatah kalau isteri tanya macam-macam dan menganggapnya sesuatu yang remeh. Orang perempuan memang mudah prasangka. Lutfi patut tenangkan dan selesakan Haura. Mungkin Haura terlalu overthink dan emosi sebab dia sayangkan Lutfi. Haura sayangkan rumahtangga dia bersama Lutfi. Haura tak nak ada orang lain yang ganggu apatah lagi kalau Lutfi membuka ruang kepada orang lain" Datin Lydia memberi nasihat.
"Sayang? Betul ke Haura sayangkan Lutfi? Betul ke Haura ikhlas dengan Lutfi? Atau satu permainan? Kenapa Haura tak bicarakan apa-apa? Kenapa Lutfi tak nampak semua tu?" Lutfi meluah.
Entah mengapa Lutfi selalu rasa curiga tentang Haura. Dia berasakan Haura hanya ada agenda tersendiri dengan perkahwinan mereka. Mungkin Haura tidak mahukannya. Haura hanya mahu menuntut Lateeq daripada penjagaan Lutfi? Haura nak balas dendam?
"Lutfi Ukail! Apa cakap macam tu? Mama tak suka Lutfi bercakap macam orang tak ada ilmu. Berdosa Lutfi ragui kasih sayang seorang isteri" Datin Lydia memarahi Lutfi membuatkan Lutfi termangu memikirnya.
"Bagi Haura peluang Lutfi. Bagi dia masa. Bukan mudah untuk dia akui dan luah segalanya dalam masa yang sama. Nanti Lutfi sendiri akan tahu. Lutfi pun perlu berlembut dengan Haura. Mama nak Lutfi naik bilik semula. Bincang dengan Haura baik-baik. Jangan pernah berkasar lagi" Pesan Datin Lydia lagi. Lutfi angguk.
ᥫ᭡
PUSARA di hadapannya ditatap hiba. Tangan turut mengusap batu nisan tersebut. Lembaian bayu lekas menyapa tubuh Haura. Fikirannya bersimpang-siur. Segala duka yang menompang di hati seakan dilepaskan walau tiada sesiapa yang mendengari. Itulah rutin Haura sebelum menikah, saat dia bersedih tentu dia akan membawa diri ke tanah perkuburan Tuan Arshad.
Teruntuk hari ini pula kerana dia mahu meluah dengan apa yang terjadi. Terlalu sakit terkenangkan Lutfi menengkingnya tadi malah mencemuhnya. Sedangkan Lutfi tidak pernah meninggikan suaranya sehinga begitu. Lagipun Haura sudah lama tidak berkunjung ke rumah abadi Tuan Arshad itu. Tentulah dia merinduinya.
Haura mengemas tanah perkuburan Tuan Arshad. Rumput yang memanjang dicabutnya. Bunga yang sudah layu jatuh melata itu dibuangnya sebelum dia bangun beredar. Terik mentari menyinar sehingga menitiskan keringat. Namun rasa hangat itu tiba-tiba niskala apabila di atasnya bagai mendung. Haura menoleh. Alangkah terkejutnya melihat Lutfi sedang memegang payung yang membantasi sinar mentari memancar.
Bagaimana pula Lutfi boleh ada di sini? Sedangkan Haura datang ke tanah perkuburan ini secara senyap. Waktu itu Lutfi tengah mandi. Haura hanya maklumkan kepada Datin Lydia bahawa dia mahu keluar.
"Haura, kenapa—" Baru saja diksi meniti dari bibir Lutfi, Haura terus bangun dan laju melangkah meninggalkan tanah perkuburan.
Lutfi setia mengekori dari belakang. Lutfi tidaklah menjerit memanggilnya. Mungkin hormat kerana keberadaan mereka di tanah perkuburan ini. Sebaik saja mereka sudah keluar dari perkarangan tanah perkuburan itu, Haura mengeluarkan telefonnya untuk memesan Grab.
Namun Lutfi merampas telefon Haura membuatkan Haura tidak puas hati. Sudahlah menyakitkan hatinya kerana menengking tadi. Ini mahu menyakitkan hatinya lagi kerana merampas telefonnya!
"Awak balik dengan saya" Tutur Lutfi dengan autoriti.
"Saya datang dengan Grab. Saya balik pun dengan Grab!" Haura berkeras. Hatinya ini tengah sakit! Masih sakit! Selamanya sakit!
Hati perempuan mana pun akan sakit apabila lelaki menengking mereka. Perempuan boleh menerima perkara lain tetapi bukan lelaki yang meninggikan suara mereka.
"Kenapa awak datang sini tak bagitahu saya? Kan saya dah cakap, kalau awak nak lawat kubur arwah daddy, awak bagitahu saya. Saya boleh bawakan" Lutfi berlembut dengan Haura. Seakan memujuk. Mungkin rasa bersalah dengan kejadian tadi.
"Saya tahu saya salah sebab keluar tanpa izin awak. Saya minta maaf. Tapi saya tetap nak balik sendiri" Haura menetapkan konklusi untuknya. Dia mengatur langkah untuk menuju ke hentian bas di hujung sana.
Lutfi menyambar tangannya. Haura sudah berkerut kening tidak puas hati.
"Awak isteri saya. Saya tak benarkan awak balik sendiri. Saya tak benarkan awak berjalan seorang diri" Lutfi menarik Haura untuk masuk ke dalam kereta.
Haura bagai dipukau kerana menuruti saja walau hati masih meradang panas. Patutkah dia mencair dan menerima saja pujukan Lutfi yang samar-samar itu? Tetapi tidak salah juga kan jikalau dia mahu berkeras dan menjadi ego untuk hari ini?
Memang dia berjanji untuk membuang keegoan yang pernah menggunung dalam dirinya. Namun untuk membuat sekali sekala tidak mengapa kan? Dia janji esok dia tidak akan menjadi ego lagi. Haura membuat keputusan untuk tidur. Sengaja tidak mahu melayan Lutfi lagi.
2nd version : 10 Dis 2023