And let the story... begin.
"KELUAR! Jangan sesekali kau tunjuk muka kau depan aku! Kalau aku nampak, siap! Mati kau, aku kerjakan!" Bergema kawasan perumahan elit itu dengan suara tempikan nyaring Datin Mel.
Tak puas menghamburkan amarahnya dengan menolak tubuh kurus Ivy hingga tersungkur ke lantai, Datin Mel capai pula segala barang peribadi milik gadis berusia 15 tahun itu lantas dihumbannya hingga berterabur di sekeliling anak gadis itu.
Hati syaitannya bersorak gembira apabila dia nampak muka Ivy berkerut apabila salah satu objek yang dibalingnya menghentam ke batang tubuh itu. Cukup seronok melihat budak tidak tahu malu itu kesakitan!
Tak mahu bertangguh mahu gadis itu hilang dari pandangannya, laju dia atur langkah meninggalkan anak yang tidak berdosa itu terbaring menahan kesakitan di atas jalan tar kesat berbatu.
"Aduh, pedihnya..." Ivy meringis perlahan sambil cuba tongkat tangan untuk bangun.
Dia pandang pintu pagar gergasi yang sudah pun tertutup sepenuhnya menyembunyikan belakang badan Datin Mel yang gempal dari pandangan Ivy.
Tidak menunggu sesaat pun, Ivy paksa badannya yang tadi separa terbaring untuk duduk bersila. Tak perlu diselak beria seluar pendeknya, Ivy dah nampak kepala lutut dia sudah bergaris dengan cecair merah bercampur putih jernih.
Yang dia sangka cuma calar melorek kaki tetapi rupa-rupanya luka dalam yang bertapak di situ. "Patutlah pedih!"
Ivy tilik pula hujung sikunya. Keluhnya terlepas lagi. Tak ada beza dengan yang di lutut, ada luka.
"Kuat juga orang tua tu tolak aku," omel dia seperti hal itu tidak memberi kesan kepada dia. Puas membelek badannya, baru Ivy perasan akan barang-barangnya yang sedang berterabur di sekeliling dia.
Lagi keluhan berat dihembus tanpa dapat dia halang. Jadi satu hal pula nak kutip satu-persatu barang-barang dia. "Letak elok-elok tak boleh ke?" cemuh Ivy penuh bengang.
Lambat-lambat, Ivy panjangkan tangan dia mengutip apa sahaja objek yang berada berdekatan dengannya lalu dia masukkan ke dalam satu plastik sampah berwarna hitam yang turut dilemparkan bersama-sama barang kelengkapannya.
Marah tu marah, tapi apa lagi boleh buat? Itulah semua harta yang dia ada. Nak tak nak kena kutip juga.
Tak banyak pun, sikit sahaja. Tiga helai t-shirt berlengan pendek, dua helai seluar trek berwarna hitam. Ada juga stokin-stokinnya yang bermacam warna, semua lain-lain pasang, jangan cerita bahagian yang berlubang.
Tak lupa juga baju dan seluar dalam yang dah lusuh seperti kain buruk dan buku-buku latihan belajarnya yang dia sorok bawah karpet. Macam mana Datin Mel jumpa pun dia tak tahu.
Selesai dengan aktivitinya, Ivy bangun dari tunduk yang panjang. Dia liarkan mata memerhati sekelilingnya. Barang-barang dia semua dah habis kutip.
Ivy gendong plastik itu ke atas bahu dan mula berjalan meninggalkan perkarangan rumah banglo milik pasangan gila, Datuk Jerry dan Datin Mel.
Tangannya yang bercalar dan sedikit berdarah dia pandang, baru terasa pedih. Ivy tiup-tiup tapak tangannya dengan harapan angin dari mulutnya boleh terbangkan kesakitan yang dia rasa jauh ke angkasa.
"I should know this would happen. Stupid Ivy." Bisik Ivy pada dirinya sendiri.
Sekarang, ke mana patut Ivy pergi?
Ke mana patut dia berteduh untuk malam ini?
Bawah jambatan?
Tepi longkang?
"Mati ajelah... Rose Ivy."
"SORRY adik, dekat sini tak ada kerja kosong. Baru semalam staf baru masuk. Adik lambat sehari aje. Kalau adik datang semalam, mungkin abang boleh tolong."
Ivy tarik senyum hambar kepada lelaki di hadapannya itu. Gayanya sopan, tidak berpura-pura seperti orang lain yang dia jumpa di kedai makan semasa meminta kerja.
"Oh, ya ke abang?" Lemah suara Ivy berlagu. Terus terbang semua semangat dan tenaga dia dari badan.
"Sorry, dik."
"Tak apa, abang. Terima kasih, saya pergi dulu." Ivy angkat tangannya dan lambaikan penuh sopan sebagai tanda hormat sebelum dia pamit pergi.
Berpaling sahaja badannya, senyuman yang setia tertampal di bibirnya sejak beberapa minit yang lalu pun mati.
Bahu Ivy jatuh, sejatuh semangatnya. Sekarang cuma ada satu persoalan yang sedang bermain ligat di dalam kepalanya.
Macam mana Ivy nak hidup kalau tak ada kerja?
Termasuk hari ini, dah lima hari dia hidup merempat di tepian jalan. Makannya hanya sekali sehari berbekalkan sisa duit yang dia simpan secara sorok-sorok selama ini.
Tapi baki wangnya sudah tidak begitu banyak. Ada lebih kurang sepuluh ringgit sahaja lagi. Ivy tak nampak cara lain untuk dia kekal bertahan hidup di bandar metropolitan itu jika tidak bekerja.
Cumanya sekarang ni, masalah utama Ivy bukan tak ada kerja yang dia boleh buat. Masalah terbesar Ivy sekarang, tak ada orang nak ambil Ivy bekerja!
Semua tempat yang ada iklan kerja kosong Ivy dah pergi dan kesemuanya tanpa gagal memberikan jawapan yang sama. Ivy tidak diterima.
Alasan?
Ivy itu gadis bawah umur. Tak ada pengalaman. Dan paling utama, mereka takut didakwa oleh pihak berkuasa lalu akan mengakibatkan premis perniagaan mereka akan disita jika tertangkap melakukan kesalahan tersebut.
Ah, apa-apa sahajalah. Ivy malas nak fikir.
Sambil berjalan membelah kesibukan kota, Ivy berfikir-fikir apa yang boleh dia lakukan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Kalau ikutkan, boleh aje dia nak pergi ke Pusat Kebajikan Masyarakat dan laporkan apa yang ibu dan bapa angkatnya telah lakukan kepada dia.
Tapi Ivy tak mahu. Kalau dia buat begitu, tak pasal-pasal Ivy kena letak dekat rumah anak-anak yatim baik semula seperti dulu-dulu.
Ivy tak mahu. Cukuplah tiga tahun dia berumah di sana. Ivy sudah serik. Ivy tak tahu bagaimana pengalaman di mana-mana rumah anak yatim yang lain, tapi yang pastinya, pengalaman Ivy tidak begitu indah.
Siang dan malam Ivy dibuli, dipukul, dan dipulaukan kerana rupanya yang tidak begitu menyerupai orang lain.
Kulitnya putih melepak. Matanya berwarna coklat cair. Rambut pula keperangan. Senang cerita, rupa dia bukan seperti orang melayu. Awal-awal dahulu, cakap melayu pun Ivy tak pandai.
Selepas tiga tahun melalui episode sukar di rumah anak yatim, Ivy kira akan ada sinar harapan untuk dia ketika namanya dipanggil untuk bertemu dengan Datuk Jerry dan Datin Mel.
Kata orang-orang di rumah anak yatim itu, Ivy bertuah kerana pasangan berharta itu mahu mengambil dia menjadi anak angkat. Kata mereka...
Siapa sangka dua tahun Ivy tinggal dengan mereka, dua tahun juga Ivy jadi mangsa dera. Fizikal dan mental.
Dan sekarang, dia dihalau keluar pula.
Just... great.
Sambil dia mengimbau kenangan silamnya yang sungguh kelam itu, sambil Ivy buka langkahnya tanpa hala tuju. Tidak kisahkan sekeliling, kiri dan kanan tidak dipandang, dari hari siang bawa ke malam, Ivy terus berjalan hingga kakinya terasa lenguh.
Baru dia berhenti.
Lambat-lambat dia labuhkan duduknya di tepi kaki lima jalan. Mata dibawa memandang ke kawasan sekeliling. Sepertinya dia sedang berada di sebuah kawasan lorong belakang kedai.
Tak ada lampu jalan, tapi kawasannya tidaklah begitu gelap disebabkan ada cahaya menyimbah dari lampu-lampu yang dipasang di premis-premis perniagaan di sepanjang lorong tersebut.
Ivy dekat mana ni? Kawasan itu nampak menakutkan, senyap lagi sunyi, persis seperti adengan-adengan cerita misteri yang selalu dia tonton lewat kaca TV secara sembunyi-sembunyi di rumah Datuk Jerry.
"Suka hatilah." Semudah itu Ivy berputus asa. Kalau penyangak datang nak samun dia pun, Ivy dah berserah. Sekeping syiling pun tak ada dalam poketnya. Semuanya habis digunakan buat beli mi segera siang tadi.
Belakang leher yang ditutupi rambut itu dia garu. Peluh di dahi Ivy lap dengan kolar baju. Rimas sungguh dia rasa. "Kalau dapat mandi ni..."
"Oi, budak!" Satu suara menegur dia dari belakang buatkan Ivy menoleh. Hilang terus bayangan pancuran air turun menerjah mukanya seketika tadi.
"You cakap dengan I ke?" Tanya Ivy pada seorang gadis bermata sepet. Menilai semata dari raut wajahnya, Ivy rasa gadis itu berbangsa Cina.
"Yalah, I tengah cakap dengan you la ni. Apa you buat dekat sini?"
"Saya, urm, saya main jalan aje tadi. Tahu-tahu dah sampai sini." Takut-takut Ivy menjawab. Baru sekarang Ivy bimbang dengan keselamatan dirinya.
"Mana mak bapak you?" soal si gadis bermata sepet itu lagi.
Ivy terkebil-kebil berfikir, nak cakap macam mana eh pasal mak bapak Ivy "Erm, parents I dah tak ada."
"Mana dia orang pergi?"
"Dalam tanah...?" Ivy tunjuk jalan tar.
"Sudah mati ke?"
Lambat-lambat Ivy angguk.
"Aiyooo, habis tu sudah mati siapa yang jaga?"
"Tak ada orang jaga."
"Tak ada orang jaga? Umur berapa?"
"15."
"Aiyoo amoi. Kecik-kecik sudah tak ada mak bapak ke. You sekarang tinggal mana?"
Ivy geleng sebagai jawapan. Malu tapi memang itu hakikatnya. Dia tak ada tempat pun untuk berteduh.
"Tak ada rumah juga? Banyak kasihan betul."
Angguk.
"Sudah kerja ke belum?"
Ramah pulak kakak mata sepet ni, tak putus-putus soal siasat dia sejak tadi. "Erm, saya tengah cari kerja tapi tak jumpa lagi."
"Cari kerja?"
"Haah."
"Nama you apa?"
"Ivy."
"Nak kerja ke?"
Ada yang rindu dengan Ivy dan Adha? Saya rindu! Rindu kalian juga di sini!