LANGIT malam itu gelap-gelita. Tak ada sebutir bintang pun yang bertaburan di kaki langit. Bulan juga segan-segan di balik awan. Khaira yang duduk di muka pintu sesekali menghela nafas yang agak berat. Fikirannya menerawang jauh, memikirkan keadaan keluarga. Memikirkan pekerjaan apa yang patut dicari tanpa perlu meninggalkan Puan Sahila lama bersendirian di rumah.
Susah untuk dapat majikan yang boleh bertoleransi seperti Pak Awang. Nak cari kerja di bandar, siapa yang nak jaga Puan Sahila nanti? Nak harapkan ayah? Sepanjang ibu sakit sekali pun ayah tak ada bertanya tentang keadaan kesihatan Puan Sahila. Keluar duit untuk beli barang dressing ibu pun tak ada. Inikan pula nak menjaga.
Khaira bukan apa, dia terlalu kasihankan Qiel. Lelaki itu sendiri sudah bermacam komitmen yang perlu dibayar. Sudah berat beban di bahu lelaki itu.
Bunyi motor masuk ke halaman rumah mengalihkan pandangan Khaira ke arah halaman yang agak gelap. Hanya disimbah cahaya lampu jalan yang terletak sepuluh meter dari rumah mereka.
Dia ingatkan ayah yang balik. Rupanya Qiel pulang dari tempat kerjanya. Tergelak sinis Khaira dalam hati. Jangan haraplah nak nampak batang tubuh Encik Hafizi dalam waktu macam ini. Selagi jam tak masuk pukul 12.00 malam tak adanya ayah nak balik.
Qiel turun dari motornya. Sling bag lelaki berisi barang-barangnya dibawa keluar dari raga motor. Langkah dihala ke tangga sambil membuka helmet di kepala.
“Apa kau buat termenung kat tangga ni? Putus cinta ke?” tegur Qiel. Kasut Converse lusuh di kakinya ditanggalkan.
“Banyaklah kau punya putus cinta! Boyfriend pun tak ada, nak putus apa?”
“Manalah tahu senyap-senyap kau ada pak we ke, kan? Lepas tu kau ternampak pak we kau dating awek lain. Kau pun kecewa, terus minta putus. Sayangnya kau cinta mati kat dia, sebab tu kau termenung macam orang dah tak nak hidup ni.”
“Mula dah merapu dia.” Khaira terus menghantar jelingan tajam. Qiel ni kalau tak mengusik dia tak sah. Dalam kepenatan pun masih lagi sempat nak mengusik.
Terkekeh-kekeh Qiel ketawa. Suka betul dia tengok muka Khaira masa tengah marah. Comel!
“Dah tu yang duduk melangut kat tangga ni apahal?” Qiel melabuh duduk di hujung tangga. Menghilangkan penat badannya untuk seketika.
“Saja nak ambil angin malam. Kau nak air tak? Aku nak ambilkan kat dapur.”
“Tak payahlah. Tadi dalam perjalanan balik aku dah ada singgah beli air mineral dekat Petronas. Tekak tak rasa haus lagi. Nanti kalau aku dahaga aku ambil sendiri.”
“Okey.”
“Ibu buat apa dalam bilik?”
“Tadi dia mengaji lepas solat isyak. Ni tak tahulah. Dah baring kut. Senyap je dalam bilik tu.”
Qiel terus bangun. Tangga dipanjat lalu masuk ke dalam rumah. Khaira ikut bangun. Pintu rumah ditutup dan dikunci. Dia mengikut langkah Qiel ke bilik ayah.
“Ibu dah tidur rupanya,” ujar Qiel perlahan. Lelaki itu perlahan-lahan menghampiri katil. Dahi dan pipi Puan Sahila dikucup.
Perbuatan Qiel membuatkan mata Khaira berkaca. Hatinya sebak. Terlalu besar kasih sayang di antara dua beranak itu. Sedangkan ayah, tak pernah menunjukkan kasih sayang yang sama seperti Puan Sahila berikan kepada Qiel. Juga dia.
Walaupun kasih sayang Puan Sahila terhadapnya terlalu besar, tapi tentu saja dia dahagakan kasih sayang ayah kandung sendiri.
“Ra, kau okey tak?” tegur Qiel.
“Oh, aku okey.” Khaira senyum. Dia berdeham menutup rasa sedih.
“Kau dah makan ke belum ni? Kalau belum aku nak panaskan lauk tengah hari tadi.”
“Belum. Aku tak cukup duit nak makan kedai.” Qiel tersengih sambil menggaru belakang kepala.
Sedih pula Khaira mendengar jawapan Qiel.
“Kau pergilah mandi dulu. Aku panaskan lauk kejap.”
“Terima kasih, Ra.”
Khaira angguk. Dia melangkah ke dapur, sementara Qiel masuk ke biliknya untuk mandi dan tukar pakaian.
🌧🌧🌧
KHAIRA duduk menongkat dagu di meja makan memandang Qiel yang begitu berselera menikmati nasi yang hanya berlaukkan ikan selar kuning goreng dan sayur timun tumis air.
“Kau melangut tengok aku makan ni apahal? Kau tak makan ke?”
“Aku dah makan tadi. Saja nak teman kau.” Khaira tuang air dari dalam jag ke dalam gelas plastik. Diteguk sehingga habis.
“Qiel... hari ni kau makan tak dekat tempat kerja kau?” Khaira teringat pula ayat Qiel ketika baru balik tadi. Lelaki itu beritahu tak makan sebab tak cukup duit.
Tapi agak pelik juga kerana setahunya Qiel baru saja terima gajinya beberapa hari lepas. Barang dapur pun mereka tak sempat beli lagi. Cadangnya hujung minggu ini baru mereka keluar ke bandar. Takkan gaji Qiel dah habis?
Qiel geleng. Nasi dalam mulut terus dikunyah.
“Langsung tak makan apa-apa?”
“Tak. Tapi aku ada bawa bekal air teh pagi tadi. Air teh tulah aku minum sampai petang. Buat alas perut. Balik tadi sempatlah aku singgah beli air mineral untuk basahkan tekak.”
“Kau baru dapat gaji hari Isnin baru ni kan? Takkan kau dah habiskan? Okey, aku tahu aku tak patut tanya sebab itu duit gaji kau. Tapi aku rasa pelik bila tadi kau cakap tak cukup duit.”
Mata Qiel nampak melilau sana-sini. Seperti mencari jawapan.
“Sebenarnya ada. Cuma aku nak berjimat.”
“Pelik cara berjimat kau ni. Selalunya kalau nak berjimat kau bawa bekal pergi kerja. Ni kau sanggup berlapar sampai malam.”
Khaira cuba untuk fikir yang berkemungkinan bos kedai tayar tempat Qiel bekerja tu tak bayar gaji atau tangguhkan gaji, tapi kelmarin Qiel ada saja Qiel bagi dia duit suruh bayar bil air dengan bil elektrik dekat kedai runcit Pak Awang.
“Alah, bukan aku tak biasa tahan perut.” Qiel teguk air dari gelas minumannya.
“Kau tipu aku kan, Qiel?”
Tersedak Qiel. Cepat-cepat dia berdeham dan lap mulutnya dengan hujung baju.
“Apa pulak yang aku tipunya?”
“Kau tak pandang aku. Mata aku melilau sana-sini. Aku kenal kau Qiel. Kau kalau bohong aku mata kau tu mesti tak nak pandang aku. Samalah masa hari yang doktor beritahu kaki ibu kena potong dua bulan lepas. Kau cakap kau kuat, tapi sebenarnya kau menangis. Tak tengok muka aku langsung masa tu. Mana pergi duit gaji kau, Qiel?”
Bukan niat Khaira untuk menyibuk. Tapi sebagai ‘adik’, dia rasa terpanggil untuk membantu Qiel. Kalau Qiel ada masalah, mana tahu dia boleh selesaikan.
“Ada, aku simpan dalam bank.” Qiel sambung suap nasi ke mulut.
Lagi sekali. Lagi sekali Qiel tipu dia.
“Kau tak pernah simpan duit kau dalam bank, Qiel. Duit gaji kau biasanya kau keluarkan semua dan bagi ibu, suruh ibu pegangkan. Bika nak guna baru kau minta dengan ibu.”
Qiel ketap bibir. Dia terperangkap. Lupa Khaira tahu semua tentangnya.
“Kau ada masalah ke, Qiel?” Khaira mula risau.
“Kalau aku cakap, kau tolong jangan perbesarkan hal ni. Sebab aku tak nak cari gaduh dengan ayah.”
“Ayah? Kenapa dengan ayah?”
“Sebenarnya... ayah dah ambil semua baki duit gaji aku yang aku nak bagi ibu tu. Aku buian tak cuba nak pertahankan duit tu, tapi aku tahu aku tak mampu lawan ayah. Kau tahu kan aku cuma menumpang rumah ni.”
Berubah air muka Khaira. Dia marah. Marahkan ayah.
“Kau jangan cakap kau menumpang, Qiel. Kau abang aku. Tapi kalau ya pun kau anak tiri ayah, apa hak ayah untuk ambil duit kau?!” Khaira mula tinggikan suara. Benar-benar marah.
“Sudahlah, Ra. Aku tak nak bangkitkan pasal ni lagi. Aku anggap duit tu bukan rezeki aku.” Qiel cuba untuk menenangkan keadaan. Dia tak mahu sampai Khaira bergaduh pula dengan Encik Hafizi.
“Ini bukan pasal rezeki, tapi ini duit gaji kau. Suka-suka hati dia je ambil!” Panas hati Khaira. Ayah memang tak pernah nak berubah. Malah makin melampau!
Kalau selama ini ayah cuma minta duit darinya, sekarang ayah dah pandai rampas semua duit Qiel.
“Dia balik nanti aku tahulah nak buat apa!”
“Sudahlah, Ra... aku tak nak panjangkan pasal hal ni. Aku tak nak cari masalah dengan ayah. Kalau dia marah aku je tak apa, tapi aku takut dia lepaskan kemarahan dekat ibu. Ibu nyawa aku, Ra...”
Bergenang air mata Khaira serta-merta bila Qiel sebut nama ibu.
“Qiel... maafkan aku. Aku lupa pasal ibu. Aku tahu ayah tak layak dimaafkan. Tapi aku nak minta maaf sebab ayah layan kau dengan ibu macam ni.” Jatuh juga air mata Khaira.
Tangan kiri Qiel terus capai tangan Khaira lalu digenggam.
“Ra, tolong jangan menangis. Kau tak perlu nak minta maaf. Kita satu keluarga. Takdir kita dah macam ni. Apa pun kita kena lalui dengan sabar. Kita kena yakin setiap ujian tu ada hikmahnya. Kan kau pernah cakap, selepas hujan berhenti pelangi akan muncul.”
Makin lebat air mata Khaira. Dia menangis kerana terlalu bersyukur dikurniakan abang tiri yang baik. Yang tak pernah mengeluh. Sama macam ibu. Dua beranak itu sangat bersih hatinya. Malu dia dengan Qiel dan Puan Sahila.
“Qiel... kau tunggu kejap.” Khaira mengelap air matanya. Dia bangun dari kerusi dan bergerak ke arah bilik tidurnya.
Tak lama kemudian dia keluar bersama satu sampul di tangan. Dia masuk kembali ke ruangan dapur. Sampul tersebut diletakkan di sebelah pinggan nasi Qiel.
“Eh, sampul apa ni?”
“Itu duit gaji aku yang Pak Awang bagi siang tadi.” Khaira duduk semula di kerusinya tadi.
“Kenapa kau bagi aku?”
“Kau ambillah. Ganti duit kau yang ayah ambil tu.”
“Buat apa pulak kau nak bagi aku? Ini kan duit gaji kau.”
“Kau ambillah Qiel. Dalam tu ada dua ribu ringgit. Aku belum guna pun lagi. Lagipun aku dah niat nak bagi kau. Ini je yang aku mampu nak tolong kau.” Khaira bersuara lemah.
“Dan aku nak minta maaf sebab mungkin dalam dua tiga bulan ni aku tak boleh nak tolong kau dari segi kewangan. Aku dah berhenti kerja. Pak Awang dah nak tutup kedai dia minggu ni. Barang kedai dia pun dah tak ada. Aku ada juga fikir nak cari kerja lain, tapi kau tahu kan keadaan ibu. Susah nak tinggalkan dia lama sorang-sorang kat rumah ni,” ujar Khaira panjang lebar.
“Ya Allah, Ra. Kenapa nak minta maaf pulak? Kau tak perlu nak minta maaf pun.”
“Tapi aku malu dengan kau sebab kau sorang kena tanggung kita satu rumah. Aku minta ma...”
“Dah, Ra. Tak apa. Kau tak payah nak minta maaf. Kau tak kerja pun tak apa. Sekurangnya kau boleh tolong jagakan ibu sepanjang aku kerja dari pagi sampai malam,” pintas Qiel sebelum Khaira meminta maaf sekali lagi.
“Tak bolehlah macam tu. Takkan nak harapkan kau sorang. Kalau aku ada kerja, boleh juga aku tolong-tolong.”
“Insya-Allah, Ra. Ada rezeki untuk kita. Mungkin Tuhan nak bagi dalam bentuk tak disangka-sangka? Kau ambil semula duit kau ni. Simpan. Mana tahu boleh guna untuk kesemasan. Pasal duit aku yang dah habis tu pandailah aku usahakan nanti.” Qiel tolak sampul yang Khaira berikan tadi ke depan adik tirinya itu semula.
“Aku minta maaf, Qiel...” Menangis Khaira lagi sekali. Kenapalah Qiel terlalu baik? Lelaki itu buat dia jadi maiin serba salah.
“Dah. Sekali lagi kau minta maaf, aku curah kuah sayur timun ni atas kepala kau. Nak?”
Khaira jegilkan mata. Terhenti terus tangisannya. Sudahnya dia ketawa bila Qiel tunjuk dua jari tanda ‘piece’ sambil buat muka comel. Eee... geli dia melihatnya!