Putri Farisah keluar daripada perut kereta. Tangan laju membuka pintu penumpang bahagian belakang. Selang sesaat, Alayya hampiri Putri bersama kereta sorong bayi.
Putri buka dahulu kereta sorong bayi tersebut sementara Alayya buka tali pinggang yang mengikat tubuh Qalisa pada kerusi bayi yang digunakan.
"Bismillah." Putri angkat anaknya yang semakin tembam ini, lalu diletakkan dalam kereta sorong bayi. Tali tersedia di ikat sekemas mungkin agar anaknya tidak jatuh daripada kereta sorong ini.
"Kita nak makan apa ya tadi, Layya?" Putri tolak kereta sorong Qalisa, ingin masuk ke dalam ruang pusat beli belah yang di singgahi mereka.
"Tekak masing-masing teringin nak makan pasta," beritahu Alayya.
"Dengan air coklat. Ya Allah sedapnya..." Putri sudah terngiang-ngiang dua hidangan itu di hadapan mata.
"Padahal ada je serbuk air coklat dekat rumah. Letak air panas, selesai. Terus teguk." Alayya tertawa kecil.
"Bukan apalah kan...tekak kita ni kadang nak pekena air coklat kedai. Air coklat rumah tu dah biasa sangat di minum." Putri pegang tekak sendiri.
Alayya menggeleng kepala. Agaknya kalau Rayyan dengar, Rayyan pun tampar dahi. Tapi demi kebahagiaan sang isteri, Rayyan pasti akan tunaikan sahaja.
Alayya tenung wajah Qalisa yang sudah comot di sekitar mulut. Semuanya kerana si kecil ini di beri air coklat sedikit beserta pasta ibunya yang langsung tidak pedas.
Hampir satu jam juga Alayya dan Putri bersenang-lenang dalam kafe ini kerana tujuan mereka memang mahu makan di luar dan ambil angin sebentar, ingin ubati hati yang masih lara.
"Habis dah, tak ada, tak ada. Semua awak dah makan." Putri berkata pada anaknya saat Qalisa terus-terusan menganga mulut.
Pinggan Putri memang sudah licin, air wanita itu juga sudah kering. Asalnya Putri mahu beri Qalisa rasa saja tapi lihatlah sekarang, si kecil itu sudah obses dengan air coklat, sama seperti ibunya.
"Dia dah kenyang sebenarnya ni..." tutur Alayya.
"Memang. Perut dah kenyang tapi mulut masih nak lagi. Sudah ya, sayang? Awak dah makan banyak dah harini." Putri bawa keluar tisu basah, lap tangan anaknya sebelum bersihkan mulut Qalisa.
"Daaa..." Qalisa bersuara.
"Ya, nanti dada balik. Panggil dada, dada cepat balik. Lama dah dada tinggal Qalisa." Putri terus-terusan bercakap dengan Qalisa tanpa jemu.
"Suruh dada awak bawa suami aunty Layya sekali. Dah dua bulan tak nampak muka. Awak pun dah nak masuk 11 bulan." Alayya geletek leher Qalisa, membuatkan si kecil ini tertawa.
"Gila kan bila teringat balik?" Putri letakkan tisu yang sudah digunakan dalam pinggan makan yang sudah kosong.
"Tersangat," sahut Alayya.
"Rayyan pergi ke kursus, masa tu Qalisa baru masuk 8 bulan. Sekarang, lagi dua minggu, Qalisa masuk 11 bulan, bapanya masih belum balik-balik." Semakin lama, semakin perlahan suara Putri.
"Makin susah juga nak hubungi mereka," sambung Alayya.
"Itulah. Macam manalah aku boleh tahan selama ni, sorang-sorang hadap. Sekarang ada Layya, rasa terubatlah sikit hati aku ni. Tapi waktu mula-mula kahwin dulu, entah macam mana aku hadap, aku pun tak tahu." Putri termenung lihat Qalisa yang sedang bermain dengan jari sendiri.
"Mungkin sebab masa tu kau bekerja kot." Alayya berfikiran logik.
"Mungkinlah"
"Kursus mereka memang lama-lama. Kau tak payah percayalah kalau diaorang kata diaorang hilang 5 hari je, pergi menembak sekejap. Tak adanya. Diaorang akan hilang lama, menembak, kemudian menyelam, kemudian buat sky diving. Macam-macamlah. Nama je kursus tapi kadang dah macam latihan semula." Putri bercerita.
"Aku sendiri pun tak percaya. Mula-mula kata 3 hari. Lepastu setiap kali call, mesti tambah hari, tambah hari lagi. Sekarang, dah dua bulan tak jumpa. Macam tu saja...dua bulan pertama dalam perkahwinan aku berlalu pergi." Alayya tertawa kecil. Kelakar juga bila di ingat semula.
"Apa boleh buat? Kuatkan mental je lah. Itu yang terbaik." Putri keluarkan jari Qalisa daripada terus di sedut si kecil. Suka benar sedut jari sendiri, inilah masalahnya bila tak di beri puting getah.
Serentak itu, Putri dapat lihat dari ekor mata, ada satu tangan mengambil gelas panjang Alayya yang berisi air kopi si wanita. Sekelip mata, Putri rasa ada percikan air yang terkena pada wajahnya.
Refleks, Putri menutup mata. Selang sesaat, Putri lihat Alayya yang duduk di hadapan Putri. Betapa terkejutnya Putri saat lihat wajah Alayya basah dengan air kopi. Bukan itu semata, tudung Alayya serta baju kemeja putih yang Alayya kenakan sudah bertompok coklat.
Mata Putri membulat luas. Terbuka sedikit mulut Putri dek terkejut. Suara tangisan Qalisa kedengaran. Wajah pegun dan terperanjat Alayya turut terlihat oleh Putri. Putri dongak kepala, lihat susuk yang berdiri di sebelah Alayya.
Misha.
Putri lantas bangun. Laju saja tangan Putri naik melempang pipi Misha dengan begitu kuat. Misha bertindak untuk baling gelas yang sudah kosong itu ke arah Putri.
Mujurlah, Putri sempat mengelak. Tindakannya begitu pantas, kalau tidak, pasti sudah luka wajah Putri sekarang dek kerana gelas itu merupakan gelas kaca.
Alayya berdiri, berhadapan dengan Misha sendiri. Wajah Alayya penuh raut tidak percaya. Hari tenangnya langsung berubah sekelip mata!
Setiap mata dalam kafe ini tertumpu pada meja Alayya. Hati setiap orang di situ sudah mengagak bahawa Alayya merupakan pengacau rumahtangga Misha, kerana itu Misha berani buat begitu. Padahal berlaku sebaliknya.
Misha tersenyum senget. Puas hati lihat sisa air kopi di wajah Alayya.
"Kalau berani...kau suruhlah suami kesayangan kau tu balas semuanya pada aku," bisik Misha sebelum berpaling tubuh dan mula buka langkah.
Alayya tidak biarkan semuanya berakhir di sini. Tangan Alayya pantas menarik bahu Misha lalu di beri tamparan hebat pada wajah Misha yang tak tahu malu ini.
Misha bertindak untuk balas tetapi Alayya jauh lebih cekap daripada tanggapan Misha. Tangan Misha di tahan sebelum di rentap dengan agresif.
"Kau kacau suami aku tapi kau bertindak macam aku yang kacau suami kau!" Alayya menempik.
Kesemua pelanggan dalam kafe itu terkejut beruk. Ingatkan suami Misha yang di sondol!
"Kau yang hina aku tapi kau yang paling tersakiti!" jerkah Alayya lagi.
"Kau nak lari mana? Pergi! Pergi lari! Tapi aku akan pastikan kau terima balasan yang setimpal!" wajah Alayya berona merah.
Alayya genggam penumbuk sebelum bertindak untuk berjalan keluar daripada kafe ini. Macam itu sahaja dirinya dimalukan!
Putri tinggalkan duit kertas berjumlah RM200, berharap nilai ini lebih daripada cukup untuk bayar makanan mereka serta gelas yang pecah.
Putri dukung anaknya, letakkan beg Alayya di dalam kereta sorong Qalisa sebelum berjalan hendak keluar daripada sini.
"Berani kau ya...sentuh isteri pegawai khas?" Putri sempat berbisik pada Misha saat melintasi wanita ini.
"Berani kau sentuh anak orang!" marah Misha.
"Eh kak, kau gila ke? Kau yang menyondol laki orang tapi kau yang memarah macam beruk," tegur seorang lelaki yang berada berdekatan situ.
"Kau diamlah setan!" Misha lantas keluar dari kafe ini. Sakit hati!
Pelanggan dalam restoran ini sama-sama geleng kepala. Memang tak waras agaknya perempuan itu. Sudah buat kekecohan tapi berlalu pergi begitu saja.
Masuk saja dalam perut kereta, Alayya langsung menangis sepuas-puasnya. Alayya rasa maruahnya seperti di pijak-pijak begitu saja oleh Misha. Apa salah Alayya sebenarnya? Dia cuma berkahwin dengan sahabat sendiri! Bukannya merampas suami orang! Perlu ke layan Alayya dengan teruk di hadapan khalayak ramai.
Bergegas Putri letakkan anaknya di tempat duduk bayi sebelum simpan kereta sorong di bonet kereta. Putri mahu segera tenangkan Alayya.
"Layya." Putri sentuh peha gadis ini sebelum tarik Alayya masuk ke dalam pelukannya.
Alayya menangis dengan lebih teruk di bahu Putri. Secara tidak langsung, gadis ini meluahkan perasaan rindunya terhadap Ezzaq melalui tangisan ini.
"Aku tak ada hak untuk suruh kau sabar sebab perkara tu memang melampau. Menangislah kalau itu yang dapat buat kau reda." Lembut Putri memujuk.
"Aku tak kacau hidup dia pun, Putri. Kenapa dia perlu bertingkah seolah aku sakitkan dia padahal dia yang cari kesakitan sendiri? Aku tak faham. Kenapa sampai sanggup malukan aku depan puluhan manusia." Alayya bercakap dalam esakan.
"Aku pun tak sangka ada perempuan segila dia dalam dunia ni." Putri sendiri masih tak percaya, perkara yang selalu di lihat dalam drama itu terjadi di hadapan mata Putri!
Air Alayya masih banyak, baru luak suku saja. Bayangkanlah, Misha menyimbah semua itu pada wajah Alayya. Memang tak berhati perut!
Putri biarkan Alayya menangis sepuas-puasnya. Putri tak mahu tahan wanita ini daripada luahkan perasaan. Apa yang Alayya alami tadi memang teruk, mustahil Alayya boleh baik-baik saja dalam satu minit.
Selepas 10 minit berada dalam posisi ini, Alayya akhirnya leraikan pelukan mereka.
"Basah dah baju kau. Sorry..." ucap Alayya perlahan.
"Tak apa, baju kau jauh lebih basah. Kau okay? Mesti sejuk." Kasihannya Putri lihat Alayya ni. Berjalan dalam pusat beli belah dengan baju begini. Ya Tuhan...pasti Alayya malu yang teramat.
"Aku okay"
"Kau nak balik rumah aku atau rumah kau?" soal Putri.
"Rumah aku je"
"Betul? Kau betul ni boleh duduk sorang-sorang?" tanya Putri untuk kepastian.
"Betul, jangan risau." Alayya paksa bibir mengukir senyum walaupun berat.
Jika itu yang Alayya mahu, takpalah, Putri akan hantar Alayya pulang ke rumahnya sahaja. Ada la sebab tu mengapa Alayya mahu pulang ke rumahnya.