Puan Murni keluar daripada perut kereta bersama beg sandang yang tersangkut di bahu. Uniform tenteranya masih kemas tersarung pada tubuh walaupun Puan Murni sudah bekerja selama hampir 10 jam hari ini.
Puan Murni tidak terus masuk ke dalam rumah malah kaki wanita ini menapak ke peti surat rumah terlebih dahulu. Sudah lama rasanya Puan Murni tidak geledah peti surat mereka.
Tujuan Puan Murni geledah peti surat itu hanya untuk dapatkan bil air serta bil elektrik untuk bulan ini. Pasti sudah sampai. Namun, kehadiran satu surat dalam peti itu membawa Puan Murni berkerut kening.
Puan Murni ambil sampul surat bewarna putih tersebut dan apabila Puan Murni baca alamat penghantar, jantung Puan Murni berasa seperti hampir gugur.
Serentak itu, bunyi enjin motosikal Althaf kedengaran memasuki kawasan rumah. Pasti Althaf baru tiba daripada Port Dickson. Kebiasaannya, Althaf memang akan pulang ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu. Saja mahu temani Encik Adi dan Puan Murni.
Encik Adi sudah berdiri di muka pintu, mahu sambut anak lelakinya. Tak sedar pula Encik Adi yang Puan Murni sudah tiba di rumah. Enjin kereta Puan Murni langsung tak kedengaran dek pendengaran Encik Adi.
"Bil utiliti dah sampai ya, mama?" Althaf menegur sang ibu sebaik buka topi keledar.
"Althaf, mama rasa kita terima surat daripada Istana Melaka." Puan Murni hampiri anak sulungnya sebelum hulur sampul surat itu pada Althaf.
"Surat daripada Istana Melaka?" Althaf ambil huluran Puan Murni lalu belek sampul surat tersebut.
"Betullah, mama. Ini surat rasmi daripada Istana Melaka." Althaf koyakkan sampul tersebut, mahu lihat isi surat dalam sampul ini.
Encik Adi yang sedang sibuk diserang tanda tanya akhirnya keluar daripada rumah dan dapatkan kedua beranak ini. Tak menyabar sungguh sehingga buka surat di luar rumah.
"Kenapa ni?" Encik Adi bertanya.
"Kita dapat surat daripada Istana Melaka, abang." Puan Murni memberitahu.
"Surat biasa saja kot..." detik Encik Adi.
Althaf baca secara rawak akan isi surat itu sebelum angkat kepala dan lihat kedua wajah orang tuanya.
"Kenapa?" Puan Murni dapatkan surat daripada tangan Althaf. Dia mahu baca sendiri akan maklumat dalam surat itu.
"Keluarga diraja Melaka mahu datang ke rumah kita pada esok hari." Althaf bercakap dengan Encik Adi.
Terkejut Encik Adi dibuatnya. Encik Adi rapatkan kepala dengan wajah Puan Murni. Encik Adi mahu baca sama ada pemberitahuan Althaf itu benar ataupun tidak.
"Betullah abang. Mereka sebut di sini, mahu berjumpa atas sebab mustahak." Puan Murni tuding pada ayat yang dimaksudkan.
Encik Adi tetap ambil masanya untuk baca secara teliti dan fahami maksud surat ini.
"Allahuakhbar... kenapa mereka tiba-tiba mahu datang ke rumah kita?" pandangan Encik Adi melihat Puan Murni serta Althaf bersilih ganti.
Althaf hanya membisu. Dalam kepala, Althaf tidak henti memainkan rakaman yang viral satu bulan yang lalu. Althaf masih belum tanya akan perkara itu pada Anggun. Althaf tak mahu ganggu waktu Anggun jalani latihan perubatan jadi Althaf menangguh untuk bertanya lanjut.
Tetapi sekarang, Althaf rasa kehadiran keluarga diraja Melaka pasti ada kena mengena dengan video itu. Althaf sudah lihat secara teliti akan rakaman tersebut dan Althaf yakin, ianya adalah Anggun.
'Pihak istana tak ada keluarkan kenyataan apa-apa ke?' hati Althaf tiba-tiba terdetik akan perkara tersebut.
"Murni tak tahu, abang. Apa yang Murni fikir sekarang cuma mahu kemas rumah." Puan Murni bergegas masuk ke dalam rumah banglo mereka.
Banyak benda yang perlu disiapkan sebelum terima kehadiran keluarga diraja itu.
"Bila surat ni sampai di rumah kita?" Encik Adi mengekori sang isteri. Mulut Encik Adi langsung tidak boleh di tutup. Terlalu banyak soalan yang ingin Encik Adi tanyakan.
"Kalau ikut tarikh dalam surat ni, lima hari yang lepas." Puan Murni beri surat rasmi itu pada Encik Adi.
"Lima hari yang lepas? Maksudnya mereka beri notis satu minggu awal," kata Encik Adi.
"Ya, abang. Tapi kitakan jarang lihat peti surat tu. Manalah kita nak tahu akan ada surat daripada Istana. Mujurlah Murni terdetik hati mahu periksa bil utiliti. Kalau tidak... terkejut beruk kita bila keluarga mereka tercegat depan pintu rumah esok." Puan Murni terus masuk ke dalam bilik, ingin tukar pakaian dan mula mengemas rumah.
Althaf masih berada di luar rumah, sibuk membelek telefon untuk lihat sama ada istana ada keluarkan kenyataan rasmi tentang rakaman itu ataupun tidak.
"Ada." Althaf langsung lihat postingan terakhir yang di muat naik pada akaun Facebook Istana Melaka.
Althaf baca pengumuman itu dengan begitu fokus. Saat itu juga, Althaf diserang sakit dada. Jantung Althaf berdetak dengan begitu hebat sehingga menyukarkan lelaki ini untuk bernafas.
Pasangan rapat? Apa maksud mereka yang Anggun merupakan pasangan rapat pada Raja Muda Melaka? Althaf tidak tahu apa-apa. Anggun tak pernah beritahu bahawa dirinya berteman dengan Raja Muda Melaka. Takkanlah Anggun boleh membelakangi mereka sehingga begini sekali?
Althaf tak mampu tahan dirinya lagi. Althaf dail nombor Anggun. Dia perlu bercakap dengan Anggun sekarang juga.
"Hello? Abang." Anggun menegur bersama suara seraknya. Pasti Anggun sedang lena sekarang.
"Adik, abang akan tuliskan surat buat adik. Abang mahu adik hantar surat tu pada pengarah hospital. Kemudian, kemas semua barang adik, abang nak adik balik ke Malaysia sekarang juga," tegas Althaf.
Segar bugar mata Anggun sebaik terima arahan mengejut daripada Althaf.
"Surat apa? Balik Malaysia untuk apa? Adik baru je mula housemanship tak sampai dua bulan." Anggun menjawab.
"Housemanship tu tak penting. Yang penting sekarang, abang mahu adik balik ke Malaysia. Ini arahan, Anggun, bukan pertanyaan. Kalau adik sayangkan keluarga adik, abang nak adik balik secepat mungkin!" begitu mendatar suara Althaf sekarang.
Anggun tidak berani melawan. Terkejut juga Anggun apabila Althaf meninggi suara sekarang. Jarang sekali Althaf tinggi suara pada Anggun.
Tanpa ucapan selamat tinggal, Althaf terus akhiri panggilan telefon tersebut. Anggun dibiarkan terkial-kial seorang diri. Anggun lihat skrin telefon yang sudah gelap.
Kenapa Althaf tiba-tiba memarah? Anggun perlu hentikan latihan perubatannya ke? Atau pulang untuk seketika sahaja? Ada yang tidak kena ke dengan mama atau abah di Malaysia?
Macam-macam soalan yang berlegar dalam fikiran Anggun tapi tiada satu pun tentang Armada terselit dalam setiap persoalan itu.
▪︎▪︎▪︎▪︎▪︎
Encik Adi dan Puan Murni sudah berdiri tegak di hadapan pagar rumah mereka. Kenderaan yang membawa keluarga diraja Melaka sudah terparkir elok di hadapan rumah dua tingkat milik Encik Adi ini.
"Assalamualaikum!" Tengku Panji menegur sebaik kaki melangkah keluar dari perut kereta.
"Waalaikumussalam Tuanku." Encik Adi menjawab bersama semangat yang sama.
"Berjumpa lagi kita." Tengku Panji dakap tubuh sasa Encik Adi sebentar.
Encik Adi agak terkejut apabila dirinya di peluk sebagai tanda sapaan, seolah mereka berdua rapat pula. Segan Encik Adi dibuatnya.
"Assalamualaikum, Puan Murni ya?" Tengku Teja bertindak untuk menyapa isteri Encik Adi pula.
"Waalaikumussalam. Ya saya. Tak perlulah panggil saya Puan, Tuanku." Puan Murni cuba untuk tidak tunjukkan sisi kekoknya.
"Kalau begitu, Murni pun tak perlu bertuanku sengan saya. Panggil saja Teja." Tengku Teja turut merendah diri.
"Tak boleh macam tu, Tuanku." Puan Murni tertawa kecil.
"Tak apa. Lepasni kita akan lebih kerap berjumpa. Panggil saja saya Teja." Tengku Teja cuba beri petunjuk ringkas.
Puan Murni diserang tanda tanya tapi tidaklah Puan Murni bertanya apa maksud Tengku Teja itu.
Armada bersalaman terlebih dahulu dengan Encik Adi sebelum diikuti oleh Budi dan Bima.
"Inilah, anak-anak saya." Tengku Panji mengenalkan ketiga anak lelakinya pada Encik Adi dan Puan Murni.
"Segak-segak semuanya," puji Puan Murni. Untunglah siapa yang peroleh hati para putera ini. Adabnya baik, rupa juga ada.
"Saya ada dua orang anak. Yang sulung lelaki. Ini ha dia." Encik Adi pegang bahu Althaf.
Althaf tegur keempat mereka dengan senyuman manis sebelum bersalaman dengan Tengku Panji dan anak-anaknya.
"Althaf Luthfan." Encik Adi sebut nama sang anak.
"Inilah tentera tu kan? Kapten kan?" Tengku Panji bertanya untuk kepastian.
"Ya, inilah orangnya," balas Encik Adi.
"Boleh geng dengan Bima. Bima memang suka pada tentera dan unit beruniform. Memang tugas dia pun la." Tengku Panji tepuk bahu lebar Bima.
"Jemput datang ke kem kami, Tengku. Saya boleh bawa Tengku berjalan di sekitar kem kami. Dekat saja dengan laut." Althaf cuba bertingkah mesra.
"Saya akan pastikan saya sampai. Dah lama juga tak tengok kapal Lekiu depan mata." Bima menyahut perbualan Althaf.
Senyum lebar Althaf bila Bima sebut akan nama salah satu kapal milik TLDM.
"Saya baru je lepas berlayar menggunakan kapal Lekiu. Masih hebat," kata Althaf.
"Tak payah bertengku dengan kami, Althaf. Panggil nama saja." Budi menyampuk.
"Boleh ke? Kalau boleh, saya berbesar hati. Bukan apa, lebih senang ngam kalau panggil nama ni." Althaf merancakkan lagi perbualan.
"Guna aku kau pun boleh. Takda hal la. Kami okay je," kata Budi.
"Betul." Bima bersetuju.
"Eh jemput masuk. Borak dekat luar ni panas. Marilah masuk, dekat dalam ada penghawa dingin." Puan Murni langsung pelawa tetamu istimewa mereka pagi ini.
"Mari masuk." Encik Adi turut beri laluan pada Tengku Panji dan anak-anaknya untuk masuk ke dalam rumah.
"Lama dah aku tak naik kapal Lekiu tu. Kapal terakhir aku naik adalah KD Laksamana Hang Nadim." Bima masih rancak berbual tentang kapal-kapal milik TLDM bersama Althaf.
"Ouh kapal tu bukan bawah jagaan kami. Itu milik kem Melaka," beritahu Althaf.
"Ya. Itulah kapal terakhir. Lepas daripada tu, aku sibuk dengan tentera darat pula." Bima dan Althaf sama-sama melangkah ke ruang tamu.
"Kalau Teja dan Panji lapar, beritahulah kami. Kami dah siap masak. Tinggal makan aje." Puan Murni bercakap dengan kedua orang tua Armada ini.
"Pasti sedap. Baunya harum sampai ke sini." Tengku Teja terus-terusan ambil hati ibu bapa Anggun ini.
"Anak kedua saya di Oxford, sedang jalani housemanship. Itu yang bayang dia tak nampak dalam rumah ni." Encik Adi memberitahu pada Tengku Panji akan keberadaan Anggun.
"Ouh..." Tengku Panji cari wajah sang isteri. Rasanya mereka dah boleh beritahu hajat sebenar mengapa mereka ke mari.
"Kami sebenarnya datang ke mari kerana mahu bercakap soal anak perempuan Murni dan Adi." Tengku Teja yang faham akan pandangan Tengku Panji lantas mulakan bicara.
"Anak perempuan kami? Anggun?" Puan Murni risau kalau Tengku Teja silap orang.
"Ya, Anggun Lilyann"
Raut Puan Murni dan Encik Adi langsung berubah, risau. Tiada lagi riak mesra pada wajah mereka. Perbualan Althaf bersama anak-anak Tengku Panji juga lantas terbantut. Kesemua memberi fokus pada Tengku Panji dan Tengku Teja sekarang.
"Kenapa dengan anak perempuan saya tu? Anggun ada lakukan apa-apa kesalahan ke? Kalau ada, kami mohon maaf." Kelam kabut Encik Adi dibuatnya.
"Tidak... tidak. Anggun tak ada buat salah apa-apa pada kami." Tengku Panji cuba untuk tidak huru harakan suasana.
"Sebenarnya, Anggun itu berkawan dengan anak saudara saya, namanya Sephia Adalyn." Tengku Panji mula bercerita daripada awal.
"Oh Sephia. Ya ya, Anggun memang bersahabat baik dengan Sephia tu. Tak tahu pula saya yang Sephia tu anak saudara Tengku." Puan Murni memang tidak tahu yang Sephia itu berketurunan diraja.
Tapi Puan Murni memang cakna, Anggun berkawan baik dengan Sephia. Sephia juga sudah banyak kali datang ke sini. Kalau Puan Murni dan Encik Adi ke United Kingdom, pasti akan bertemu dengan Sephia di apartmen yang mereka sewa.
"Ya, Sephia tu anak saudara saya, sepupu pada Armada, Budi dan juga Bima. Beberapa bulan lepas, Sephia ada kenalkan Anggun pada Armada, juga pada kami. Kami minta untuk berjumpa Anggun dan Anggun memang ada datang ke istana, berjumpa kami." Tengku Panji sambung ceritanya.
Encik Adi serta Puan Murni terdiam seribu bahasa. Entah sejak bila Anggun pergi ke sana, mereka pun tidak tahu. Licik betul Anggun menyorokkan semua ini daripada mereka.
"Sejak Sephia kenalkan Anggun pada kami, anak sulung kami, si Armada ni berkenan pada Anggun. Sejujurnya, Armada pernah melamar Anggun sebanyak tiga kali tetapi lamaran Armada di tolak oleh Anggun." Tengku Panji tidak sorokkan walau satu perkara daripada pengetahuan ibu bapa Anggun ini.
Rahang Althaf jatuh sedikit sebaik dengar adiknya pernah dilamar Raja Muda Melaka. Jadi, segala pemikiran Althaf adalah benar.
"Kami memang tak tahu langsung tentang perkara ni, Tengku." Encik Adi berlaku jujur. Jika ada Anggun di sini, sudah lama Encik Adi marahkan gadis itu kerana berahsia akan perkara-perkara penting begini.
"Kami pun tak tahu sebenarnya yang Armada melamar Anggun. Iyalah, mungkin anak-anak segan mahu beritahu atau mungkin mereka mahu beri kejutan pada kita. Tapi selepas di tolak sebanyak tiga kali, Armada minta jalan penyelesaian pada kami kerana Armada memang bersungguh mahukan Anggun"
"Sebab itu kami datang ke mari hari ini. Niatnya mahu berjumpa sendiri dengan keluarga Anggun, mengikut adat kita sebagai orang melayu. Kami mahu lamar Anggun dan meminta izin mahu petik bunga di taman." Tengku Panji beritahu terus akan niat mereka ke mari.
Seram sejuk Puan Murni apabila sedar semua ini bukanlah mimpi. Inilah kali pertama ada keluarga yang datang hendak merisik Anggun dan keluarga yang datang merisik juga bukan calang-calang orang.
Allah... Anggun, kenapalah berahsia akan benda begini. Rasa mahu gugur jantung Puan Murni dan Encik Adi saat keluarga diraja datang hendak merisik anak mereka.
Althaf tiada kata lanjut. Althaf memang tak sangka semua ini akan berlaku. Althaf memang mahukan lelaki yang berada untuk jaga Anggun tetapi tak sangka sehingga anak Raja yang datang.
"Kami dah jumpa Anggun tu dan kami memang suka sangat pada Anggun tu. Saya ni rasa seperti saya dah jatuh sayang pada Anggun tu. Anak saya, Budi dan Bima ini pun begitu rapat dengan Anggun. Kami betul-betul mahu Anggun jadi sebahagian daripada keluarga kami." Tengku Teja turut bersuara.
"Perkara ni... besar buat kami. Kami percaya, ia lebih besar buat Anggun. Anggun pun tiada di sini untuk kami bertanya pendapat dia. Tapi kami akan pastikan, kami tanya Anggun dan datang bersama satu jawapan." Hanya itu yang mampu Encik Adi balas.
"Tak apa, kami faham." Tengku Teja buka beg tangannya dan keluarkan dua kotak cincin yang di bawa bersama.
"Ini cincin lamaran yang Armada belikan buat Anggun sementara yang ini, cincin merisik. Murni dan Adi ambil dulu, tunjuk pada Anggun. Jika Anggun setuju, Anggun boleh sarungkan dua cincin ini di jari manisnya." Tengku Teja hulur kotak cincin itu pada Murni, mahu ibu Anggun ini lihat reka bentuk cincin yang di pilih.
"MashaAllah... cantik," puji Puan Murni.
Beruntungnya Anggun. Baru melamar dan merisik tetapi wanita itu sudah peroleh barangan yang begitu mahal. Puan Murni dapat lihat keikhlasan dalam pandangan keluarga ini. Mereka tidak bergurau saat kata mereka sukakan Anggun.
"Aunty, uncle." Suara parau Armada berlegar di ruang tamu rumah.
Encik Adi dan Puan Murni panggung kepala, mencari sumber suara.
"Saya bukanlah lelaki yang begitu baik, saya tak sempurna buat Anggun. Selain kekayaan dan pangkat, saya tiada apa-apa yang boleh ditunjukkan pada aunty serta uncle. Tetapi saya benar-benar mahukan Anggun menjadi isteri saya. Saya juga mahu jadi suami buat Anggun"
"Dia wanita pertama yang buat saya rasa begini. Jika tidak cinta... masakan saya sanggup melamar sehingga tiga kali. Saya minta maaf kerana tidak pernah berhadapan dengan aunty dan uncle mahupun Althaf sebelum ini. Saya silap. Sepatutnya, saat saya inginkan Anggun, saya perlu bersua muka dengan keluarganya dahulu dan bukannya lakukan semuanya seorang diri"
"Saya tahu... Anggun begitu istimewa buat keluarga ini. Begitu juga susuk Anggun dalam hidup saya. Anggun begitu istimewa buat saya cuma saya tidak tahu bagaimana hendak menunjukkan perkara itu. Saya cuma mahukan restu aunty dan uncle, tak lupa juga keizinan Althaf. Saya pasti, jika restu aunty dan uncle memihak pada saya, Anggun tidak akan ragu-ragu untuk terima saya sebagai suami"
Begitu tersusun bicara Armada membuatkan ahli keluarga Armada sendiri terpana mendengar ayat lelaki itu. Anggun memang luar biasa. Wanita itu mampu ubah Armada sehingga begini sekali hanya kerana Anggun wujud dalam hidup Armada.
Budi dan Bima tak pernah sangka, abang mereka boleh berbicara panjang atau meluahkan perasaan begini. Budi dan Bima harap, Anggun tidak akan tolak kali ini kerana jika Anggun menolak, Armada pasti akan putus asa.
Ketika Armada memilih untuk lepaskan Anggun, bermakna Armada akan kembali pada dunianya yang lalu. Tidak berperasaan dan hanya lakukan hal sendiri.