*MAWAR*
Ini merupakan kali pertama aku menaiki kereta. Kali pertama juga mataku meneroka jalan-jalan yang sedikit sebanyak memudahkan orang awam merentasi samudera.
Di sini, pokok-pokoknya hampir banyak ditebang untuk pembangunan yang sederhana. Jalan ini tidak lagi persis jalan di kampung. Beretak, berlopak dan berbecak. Semuanya diubah suai. Bagai katak di bawah tempurung. Inilah kali pertama aku melihat dunia luar.
Perjalanan yang memakan masa yang sangat lama. Dua jam sudah pun berlalu, aku mengusap rambut Ilyas tatkala dia terlena di atas ribaku. Aku banyak berdiam, tidak mahu bercampur tangan dalam urusan Najmuddin dengan bapa mertua. Lama dan sepi. Tiba-tiba sahaja hatiku sudah terkenangkan suasana di kampung.
"Mawar? Baik sahaja? " Walid menoleh ke belakang, melihatku ditenggelami sepi.
"Ya, Walid. Mawar baik sahaja. Maaflah. Mawar baru pertama kali menjejakkan kaki ke sini. Ke bandar " Aku tersenyum melihat Walid. Berbeza dengan bonda Najmuddin, dia sangat lembut dan ramah orangnya. Setiap masa pasti dia menanyakan keselesaanku.
" Ha, Najmuddin. Sampai sahaja kita di rumah nanti, berehatlah dahulu. Malam nanti, bawalah Mawar pergi bersiar-siar. Katanya ada sambutan sedikit di hujung bandar malam ini. " ujarnya lagi. Najmuddin mengangguk laju. Tersenyum dia tatkala mata kami bertatapan.
"Adakah masih jauh perjalannya, Walid? " Aku menanyakan bapa mertuaku. Dikerlingnya jam di tangan sebelum menjawab persoalanku.
"Rasanya satu jam lagi kita akan tiba di Kuala Lumpur. Kalau Mawar sudah kepenatan, kita boleh berhenti dulu. " kata Walid. Aku hanya menggelengkan kepala dengan senyuman.
Tidak dinafikan badanku terasa lenguh, mungkin akibat terlalu lama duduk di dalam kereta. Sakit-sakit berpantang pun lbelum sembuh. Menyesal aku melawan cakap ibu. Ibu pesan supaya jangan melakukan kerja rumah sewaktu berpantang. Tetapi aku terburu-buru hendak menyapu sampah dan memasak.
Najmuddin yang faham tentang kesakitanku, dia segera mengambil Ilyas dan membiarkannya tidur di atas ribanya.
"Sekejap sahaja lagi. Sabar ya. " Najmuddin menggenggam tanganku erat. Aku hanya mengangguk dan melentokkan kepala di atas bahunya.
Bagi Najmuddin, perjalanan ini tidaklah begitu lama kerana dia sudah terbiasa. Bagi aku, perjalanan ini pula persis memakan hari walapunl baru 3 jam kami merentasi jalan untuk ke Kuala Lumpur.
Perjalanan kami dihiasi dengan gelak tawa Walid dan Najmuddin. Banyak betul perkara yang boleh dibawa perbualan. Walid serba sedikit menceritakan kisah tentang Najmuddin sewaktu dia masih kecil. Walid ternyata seorang yang suka menyakat juga!
"Ha, Mawar. Sudah sampai pun kita. " ujar Walid. Aku melihat ke luar tingkap. Pokok-pokonya ditebas secara rapi. Terdapat pagar besar yang merentasi setiap penjuru rumah tersebut dan rumahnya... Aku terpana. Rumah agam bewarna putih itu kutatap lama. Inikah rumah suamiku?
Kami disambut dengan pembantu-pembantu rumah di situ selepas Najmuddin memperkenalkan aku kepada mereka.
"Sini aku tolong bawa. " ujar salah seorang pembantu rumah itu. Dia mengangkat beg aku dengan kasar.
"Yati, ini isteri saya, Mawar. Bukan orang luar. " Najmuddin berdehem. Mencerlung matanya melihat pembantu rumahnya yang agak kasar.
Dia terkedu. Berkali-kali dia menunduk dan memohon maaf. Aku hanya tersenyum keletihan.
"Mari, Puan Muda. Saya tolong bawakkan ya beg puan. " Dia menyalam tanganku sebelum mengambil beg besar di tanganku.
Ilyas sudah pun bangun dari tidur ketika kereta memasuki perkarangan rumah. Aku berasa gusar jika suasana baru ini menjadi sesuatu yang tidak selesa kepada Ilyas.
"Ilyas, jom ikut Datuk bermain!" Walid mengangkat Ilyas, diciumnya bertalu-talu sebelum dua orang mereka berjalan dalam perkarangan rumah yang besar ini.
Najmuddin memegang tanganku. Aku dipimpin masuk ke dalam rumah. Mataku bersinar! Bukan luarannya sahaja cantik, malah dalam rumah agam ini pun sangat indah! Beberapa perabot kayu jati menarik perhatianku. Siling yang bewarna keemasan sangat sesuai digandingkan dengan tema kayu rumah tersebut.
"Cantiknya rumah abang! " terjerit aku kegirangan.
"Beginikah hidup engkau yang sebenarnya? " tanyaku sambil melihat segenap ruang yang ada di dalam rumah tersebut. Mindaku mulai merangkak, mencari imbasan rumahku yang dahulu. Di kampung. Seperti langit dan bumi. Jika aku bawa ibu dan Dahlia datang ke sini, pasti mereka pengsan!
Derap kaki kudengar laju turun dari tangga hadapan. Tup tap tup tap!
"Eh anak bonda! Baru sampai?" Bonda berlari untuk memeluk Najmuddin. Riak Najmuddin tidak begitu gembira. Malah dilarikan pandangannya daripada mata tua bonda.
"Najmuddin mahu makan apa-apa? " Dia menarik tangan Najmuddin, berpiminan mereka ke dapur. Aku di sini, seorang diri di ruang legar rumah agam ini masih tercengang.
"Puan Mawar, ya? " satu suara yang lembut menyapa telingaku. Aku menoleh ke arah empunya suara tersebut.
"Panggil saya Mawar sahaja. Tidak usah berpuan-puan. " ujarku sambil tunduk menyalami wanita tua itu. Wanita itu menjerit terkejut dengan perbuatanku.
"Eh, apa ini nak! Jangan salam-salam begini. Saya hanya pembantu rumah di sini. " katanya sambil cuba menegakkan diriku. Aku tersenyu
"Salam pun tidak boleh? " tanyaku.
"Nanti apa kata Datin kalau melihat Mawar menyalam orang yang hina seperti saya. Saya hanya orang biasa, Puan Mawar. Hmmm, Puan Mawar boleh panggil saya Mak cik Yam. " sapanya ramah. Aku mengangguk laju. Nasib baik aku bertemu dengan Mak cik Yam. Orangnya ramah, baik hati pula tu.
Kami berbual-bual di ruang legar sebelum dia menunjukkan kepadaku bilik yang tersedia.
"Jemputlah, Puan. Kami sudah sediakan bilik ini kepada tuan dan puan. " ujarnya sambil membuka pintu.
Sekali lagi aku dikejutkan dengan kemewahan bilik ini. Luasnya lebih kurang lima kali ganda daripada bilikku. Dilengkapi meja perhiasan yang cantik, katil yang besar dan empuk serta bilik mandi di dalamnya. Adakah aku sedang berada di syurga?
Katil yang empuk itu kududuk perlahan-lahan sebelum melabuhkan sendi-sendiku yang terasa sengal.
"Wah, selesanya! " ujarku riang.
" Marilah Mak Yam! Selesa betul katil ini! Mawar pertama kali dapat rasa katil seselesa ini! Empuknya!! " terjerit aku dalam kegirangan. Mak Yam hanya tersenyum, kemudian dia mematikkan senyumannya kembali.
"Kamu panggil apa tadi? Mak Yam? " tanyanya lembut.
"Ya, Mak Yam. Tidak selesa pula jika saya memanggil Mak cik Yam. Tanbahan pula, Mak Yam mengingatkan saya kepada ibu di kampung. " ujarku sambil menepuk tilam katil itu beberapa kali. Rinduku pada ibu kian bertambah. Mungkin aku boleh hilangkannya sediki demi sedikit jika ada Mak Yam sebagai peneman.
"Mak Yam buat apa di sini? " Najmuddin tiba di pintu bilik. Terkocoh-kocoh Mak Yam bergegas keluar dari bilik.
"Tidak. Tadi Mak Yam lihat Mawar seorang diri di ruang legar. Jadi, Mak Yam bawa Mawar ke bilik. " ujarnya dengan penuh sopan-santun.
"Oh, terima kasih Mak Yam comel. " Najmuddin mengusiknya. Aku ketawa dengan telatah Mak Yam yang mencuit hati.
"Kamu dua memamg serasi... Bagai pinang dibelah dua. " ujar Mak Yam sebelum dia menapak ke ruang tamu.
Usai mengambil wudhu, berimamkan suamiku, kami menunaikan solat zohor bersama -sama. Jam menunjukkan pukul 3 petang. Tiada aktiviti apa yang datang dalam fikiran. Jadi, kami hanya berehat di bilik.
Ilyas juga sudah mempunyai biliknya tersendiri. Biliknya agak kecil, tapi sungguh selesa untuk Ilyas seorang. Najmuddin sudah terlelap selepas solat zohor. Aku memutuskan untuk bersiar-siar di taman rumah agam yang maha mewah ini. Kedengaran bunyi ketukan senduk pada periuk di dapur menarik perhatianku.
"Mak Yam!" jeritku sambil mencuit pinggangnya.
Melatah mak yam dibuatnya. Hampir sahaja kepalaku diketuk dengan senduk itu.
"Mak Yam masak apa?" tanyaku sambil menghidu bau kari yang wangi dan enak.
"Tiada apalah. Kari ayam sahaja. Puan Muda tolong panggilkan Tuan Muda, ya? Saya hidangkan untuk sekeluarga. " balas Mak Yam mesra.
Tanganku ligat mencapai jar kaca itu. Mata Mak Yam nmembuntang melihatku. Pantas sahaja tangannya menyambar jar kaca itu.
"Jangan, Puan Muda. Nanti Datin tahu, marah pula. " dengan riak risaunya, dia meletakkan jar kaca itu di atas meja. Aku kehairanan.
"Mawar hanya mahu membancuh air. Mawar tak pecahkan jar kaca ini. Adakah ini jar kesayangan bonda?" keningku dikerut. Aku masih lagi tidak faham kenapa Mak Yam bertindak sedemikian.
"Bukanlah. Maksud saya, Puan Muda orang besar di rumah sekarang. Apa-apa, orang rumah yang perlu buatkan. " kata Mak Yam sambil mengucai kari di dalam periuk. Aku menghela nafas yang panjang. Sukar juga menjadi orang yang berada.
Mangkuk kaca itu kuambil dan berdiri di tepi Mak Yam. Tak mungkin aku akan bermalas-malasan sampai mati seperti ini. Hidup aku sudah terbiasa dengan kerja rumah. Tanganku terasa gatal hendak menolong Mak Yam.
"Baiklah. Kalau begitu, ini arahan daripada Puan Muda. Puan Muda mahu cedokkan kari ke dalam mangkuk ya. " Aku mengambil senduk di dalam periuk, mengucai-ngucainya sebelum aku cedokkan ke dalam periuk.
Mak Yam hanya melihat dengan senyuman. Ini arahan daripada Puan Muda, mestilah dia perlu akur.
Setengah jam berlalu, bonda dan walid datang ke meja makan. Mereka mengambil tempat duduk di meja bulat yang maha mewah itu. Aku menolong Mak Yam menghidangkan makanan.
"Cukupkah bonda?" Aku mencedokkan nasi dan letak di dalam pinggan bonda.
"Hah, baguslah engkau jadi orang gaji dalam rumah ini! Bertambahlah gaji aku hendak bayar nanti. " gerutu bonda sambil menarik pingganya. Aku tersenyum dan mencedokkan nasi ke dalam pinggan walid.
Najmuddin turun sambil meregangkan badannya. Dia mengambil tempat di tepi walid manakala Ilyas yang baru sudah bermain mengambil tempat di tepi bonda.
"Najmuddin, alang-alang Najmuddin sudah balik ke bandar. Bonda telah jemput Puteri untuk makan tengah hari bersama. Mawar tentu tidak kisah, kan?" keras suara bonda sambil memerliku, mengambil tempat di tepi Ilyas.
Najmuddin kelihatan resah. Matanya berkedip-kedip. Mungkin takut aku terasa hati.
"Tidak kisahlah, bonda. Puteri kawan Najmuddin, bukan? Dia juga datang ke majlis perkahwinan kami dahulu. " ujarku sambil mencedokkan lauk ke dalam pinggan nasi suamiku.
Najmuddin diam seribu bahasa. Dia membaca doa dan terus dan menyuapkan nasi ke dalam mulutnya. Dikunyahnya perlahan-lahan sambil matanya menenung lama ikan goreng itu. Lamunannya terhenti apabila loceng rumah berbunyi. Terkedek-kedek Mak Yam mendapatkan tetamu di luar.
"Hello,. " sapa gadis itu sambil selamba mencium pipi walid dan bonda. Aku terkelu.
" Eh, Najmuddin!" jeritnya girang sambil merangkul leher suamiku. Aku mengetap gigi. Ilyas kupandang lama. Aku berharap Ilyas tidak akan tanya kenapa mereka sangat rapat. Kerana aku sendiri tak tahu cara untuk jelaskan. Tidak mungkin aku mempengaruhi mindanya setelah apa yang aku hadapi. Tak akan pernah aku mencemarkan pandangan Ilyas dengan keburukan dunia.
Walid berdehem. Dia segera melepaskan Najmuddin. Dengan selamba, dia menarik kerusi yang kosong dan meletakannya antara Ilyas dan bonda.
"Mak cik..." Ilyas bersuara sambil gelojoh makan ayam goreng.
"Nanti bonda Ilyas jahitkan baju untuk mak cik ya? Bonda Ilyas pandai menjahit. " seloroh Ilyas. Mukaku merah padam menahan ketawa. Najmuddin sudah ketawa sinis manakala Walid cuba menyembunyikan senyumannya.
"Ilyas, bonda tidak ajar bercakap begitu. " Aku menarik Ilyas. Pura-pura memukul pahanya.
"Here, let's eat. " ujar bonda dalam bahasa asing. Diam-diam aku makan di situ. Puteri dan bonda sedang asyik bersembang manakala Najmuddin dan Walid rancak berborak tentang syarikat mereka. Ilyas sudah tenggelam bersama dunianya bersama ayam goreng di kedua-dua belah tangannya.
Dunia ini terasa perlahan buat seketika. Perlahan-lahan mindaku menyusur ke masa hadapan. Ya, aku akan tinggal di sini. Inilah kali pertama kali aku mendengar isi hatiku. Aku terlalu takut tinggal di sini. Aku selalu mendengar khabar buruk diperkatakan di kampung.
Aku tidak percaya aku sudah pun menjejakkan kaki ke bandar setelah ayahaku dibunuh oleh orang bandar sendiri.
Segala tanggapanku pada bandar dan seluruh isinya ialah-- jahat dan kejam. Tiada batasan lelaki dan perempuan. Seolah-olah bandar ini dilanda muflis. Si gadis tidak lagi mampu membeli dan memakai baju yang sopan dan si lelaki tidak lagi dipanggil penjaga perempuan.
Semuanya sama. Semuanya rata. Adakah Ilyas akan dibesarkan di sini? Bersama-sama adat dan budaya di sini? Aku mengetap bibir apabila memikirkan tompok-tompok kehidupan yang maha hina ini.
Seretan kerusi di lantai menyedarkanku daripada terus menyusun peta-peta kehidupan di bandar ini. Aku segera mengambil pinggan Ilyas yang kosong, membawanya ke sinki.
"Tidak mengapa, Walid. Biar Mawar basuh. " ujarku sambil melihat bapa mertuaku. Walid tersenyum.
"Bagus betullah kamu ni Mawar. Pandai Najmuddin pilih pasangan hati. Ha, Puteri. Nanti bolehlah kamu berikan baju kamu untuk Mawar jahitkan. " ujar Walid sambil mengesat mulutnya.
Aku mencuit pinggang Walid. Berdekah-dekah lelaki itu ketawa. Pinggan dan mangkuk di dalam sinki kuterjah dan terus basuh sehingga bersih. Usai membersihkan sinki, aku segera mendapatkan Mak Yam yang sedang menjamu selera di belakang rumah.
Aku duduk di sebelah Mak Yam, tersenyum dan menongkat dagu.
"Mak Yam, Mawar tertanya-tanya. Beginikah hidup orang berada?" tanyaku selamba.
"Tidaklah. Ada sahaja orang berada yang bagus. Macam Tuan Muda. " ujar Mak Yam sambil mencuit pahaku.
Aku memandang tepat ke dada langit, awan yang seakan-akan kabus tebal itu berarak menutup kebiruan langit. Aku tersenyum.
"Macam Tuan Muda. "