" Masuk!" arah Tan Sri Mokhtar.
" Sibuk ke?" sapa satu suara yang membuatkan dia memanggungkan kepalanya pantas. Sepantas itu juga senyum bergayut di bibirnya.
" Ya Allah! Imran! Duduklah." Dia segera mendapatkan lelaki yang hanya tua dua tahun darinya. Tan Sri Imran berjabat kejap tangan sahabatnya itu. Mereka berkenalan semasa satu konferens di Belgium beberapa tahun yang lalu. Pulang ke Malaysia, bermulalah hubungan perniagaan antara Tan Sri Imran dan Tan Sri Mokhtar yang membawa kepada hubungan sahabat yang akrab.
" Kau dari mana ni?" tanya Tan Sri Mokhtar setelah memesan dua cawan kopi dari setiausahanya.
" Dari Putrajaya. Nak ke Zurich. Tapi flight empat jam lagi. Teringatkan kau, itu yang aku datang ke sini. Kau apa khabar?" tanya Tan Sri Imran. Dia hendak ke Zurich untuk melawat kilang yang membuat kapal layar. Sekejap lagi dia hendak pulang dahulu mengambil Puan Sri Fazira yang sudah bersiap menunggu.
" Alhamdulillah. Sihat macam yang kau tengok ni." Wajahnya yang agak tidak ceria. Dia menjemput Tan Sri Imran menyisip kopi panas di hadapannya.
" Kau ni dari mula aku kenal kau lima tahun dulu, muka kau asyik mendung aje. Kenapa?" tanya Tan Sri Imran ingin tahu. Sudah lama dia hendak tahu tetapi Tan Sri Mokhtar selalu mengelak soalannya.
" Takde apa-apalah. Biasalah urusan perniagaan ni selalu buat kita pening kan?" Tan Sri Mokhtar cuba mengelak lagi.
" Alah, kau tak payah nak elak-elak. Cerita sajalah. Kita kenal pun bukan baru. Dah lama, Mokhtar. Business kau lancar, apa yang nak pening kepalanya?" Pujuk Tan Sri Imran lagi.
Tan Sri Mokhtar mengeluh berat. Memang sangat berat apa yang sedang ditanggungnya selama beberapa tahun kebelakangan ini.
" Kau tahu bukan, selepas isteri aku meninggal dunia, aku hidup sorang-sorang sampai sekarang?" Tan Sri Mokhtar memulakan mukadimahnya.
" Kenapa? Kau nak cari pengganti ke?" Tan Sri Imran menyampuk sambil tersenyum kulum.
" Hesy! Kau ni ke situ pulak. Bukan. Macam ni, aku ada seorang anak perempuan. Hampir 25 tahun usianya sekarang. Tapi dia lari dari rumah." Sampai di sini, Tan Sri Imran terkejut dengan cerita sahabatnya itu.
" Kau tak pernah cerita pun kau ada anak? Kau masih tak tahu kat mana dia sekarang?" terkejut apabila mengetahui sahabatnya itu punya seorang anak. Sangkanya, Tan Sri Mokhtar tidak punya sesiapa lagi. Sementelah, mereka banyak berbincang tentang dunia perniagaan sahaja selama ini tanpa langsung membuka topik keluarga masing-masing.
Tan Sri Mokhtar menggeleng kesal. Bukan kerana tidak tahu di mana Elise tetapi tidak tahu bagaimana hendak membawa anak perempuannya itu pulang semula ke rumah. 'Elise memang keterlaluan sehingga sanggup memalukan dia begitu. 'Ah! Apa kurangnya aku? Memaksa Elise lakukan perkara yang dia tidak suka!' hatinya meningkah sendiri. Dia masih ingin menidakkan egonya.
" Dia lari sebab aku jugak. Aku paksa dia kahwin dengan anak Husam. Rasanya salah aku juga memaksa dia tanpa dengar apa alasan dia tak mahu dinikahkan dengan anak Husam tu. Aku tak tau apa yang tidak kena dengan anak Husam sampai dia sanggup tinggalkan rumah, malukan aku di depan semua orang demi tak mahu turutkan apa yang aku mahu." akhirnya Tan Sri Mokhtar memberitahu seseorang tentang anaknya, Elise.
Tan Sri Imran termenung sejenak. Kisah yang diceritakan itu hampir sama dengan kisah anaknya yang seorang itu. Apakah salah ibu bapa hendak menentukan apa yang terbaik bagi anak-anak mereka?
" Kisah kau hampir sama dengan aku, Mokhtar." Ujar Tan Sri Imran perlahan. Giliran Tan Sri Mokhtar pula terkejut.
" Anak kau pun lari dari rumah ke?" tanya Tan Sri Mokhtar ingin tahu.
Tan Sri Imran tersengih sumbing. " Lebih teruk! Aku hantar ke Princeton, dia lari dari kampus ke Perancis jadi tukang masak. Sebab itu yang dia mahu katanya. Jadi chef! Ya Allah!! Geram sungguh aku bila dapat tahu yang dia engkar nak ikutkan juga impian budak-budak dia tu. Aku bekukan semuanya, lantaklah dia nak hidup ke apa ke. Lepas tujuh tahun baru dia pulang lepas menjelajah ke merata ceruk dunia bukak restoran kecik. Langsung tak balik rumah." Tan Sri Imran melepaskan amarahnya buat ke sekian kalinya. Tan Sri Mokhtar menggeleng-gelengkan kepalanya mendengarkan cerita Tan Sri Imran itu. Marah benar nampaknya.
" Nasib kita sama rupanya kan? Anak-anak ni tak tau apa yang kita buat tu untuk kesenangan diorang jugak. Untuk menjamin masa depan. Tapi diorang tak faham semua tu." ujar Tan Sri Mokhtar kesal.
" Betul tu. Aku sokong. Agaknya nanti baru diorang sedar apa yang diorang buat tu seronok sementara saja. Hai, tak tahulah Mokhtar. Aku tak faham apa yang susah sangat diorang nak faham tujuan kita ibu bapa ni buat semua tu untuk anak-anak." Tan Sri Imran pula membalas. Kalau selama ini bercakap dengan Puan Sri Fazira, selalu sahaja mereka bertengkar kecil. Sekarang baru dia mendapat sokongan dari seorang bapa yang senasib dengannya.
******************
" Wah!! Seronoknya, Sonja. Kau dah nak kahwin!!" jerit Elise kuat. Dia terus memeluk gadis India itu sambil kedua-duanya melompat-lompat dan berpusing seperti kanak-kanak. Mereka yang lain-lain bertepuk tangan berkongsi sama kegembiraan itu. Sherry dan Yani turut memeluk Sonja tanda tahniah kepada gadis itu. Dapur Great Pan's riuh rendah dengan suara-suara ceria bercakap dan bercerita.
Dapatlah bercerita dan bergelak ketawa memandangkan bahagian hadapan restoran telah siap ditutup. Keluarga campur yang agak besar itu kelihatan sangat bahagia sesama mereka. Keraian itu ditambah pula dengan kesudian ketua chef turun padang memasak hidangan demi menyambut berita gembira itu. Tapi tiada sesiapa yang tahu bahawa Eliselah 'petualang' yang memujuk Akbar supaya memasak untuk mereka malam ini yang dengan senang hati dituruti oleh Akbar.
Meja kembar enam yang diatur sempena makan malam istimewa mereka itu di dalam ruang hadapan tempat selalunya dipenuhi pelanggan saban hari. Hari sudah berganjak lewat tetapi Great Pan's pula seperti baru hendak memulakan harinya. Riuh! Tanda 'CLOSE' yang tergantung di pintu separa cerminnya menghalang orang luar dari masuk ke situ. Bidai juga diturunkan di sepanjang dinding setengah cerminnya meninggalkan suasana dalaman Great Pan's yang sangat indah dan memberi ketenangan.
Masing-masing sibuk menolong menghidang dan tidak kurang juga seperti King, Ajit, Jiji, dan Jack yang sudah melabuhkan punggung di sekeliling meja selepas menyapu, dan mengatur meja serta kerusi.
Pintu dapur terbuka dan kelihatan Akbar sedang menatang satu dulang di mana terletak seekor kambing panggang bersaiz sederhana untuk santapan mereka bersama nasi Turki yang disediakan awal tadi. Pencuci mulut istimewa King iaitu pai epal juga sudah terhidang dari awal lagi.
Ajit pantas mengalihkan sedikit gelas-gelas di atas meja bagi memudahkan Akbar meletakkan kambingnya. Yani kelihatan teruja pada malam itu kerana inilah kali pertama keraian begitu diadakan. Bukan hanya Yani, tetapi juga kepada semua orang. Elise pula meletakkan mangkuk kuah di sebelah kambing itu. Bukan dia yang masak, tetapi Akbar, dia hanya tolong angkat sahaja. Hehe...
Perkahwinan Sonja akan diadakan di rumahnya sendiri. Dan bertemakan Bollywood! Semua tetamu yang hadir diminta memakai pakaian mengikut tema. Menurut sami yang menilik masa perkahwinannya, hujung bulan ini adalah waktu yang baik.
Bagi Sonja pula yang berfikiran moden asalkan dia berkahwin dengan Prem, sekarang pun adalah masa yang sesuai. Tak kiralah sami kata apa pun kerana dia amat mencintai Prem. Tetapi oleh kerana sayangkan ibunya, Sonja turutkan saja orang-orang tua. Jadi hujung bulan ini dia akan melangsungkan perkahwinannya. Segala persiapan sudah hampir sempurna.
" Jiji! Kau kena pakai dhoti!" ujar Ajit yang melambakkan ketawanya sambil
membayangkan bagaimana Jiji kelihatan dengan memakai pakaian tradisional lelaki India iaitu sehelai kain panjang yang dililit-lilitkan. Gelak ketawa memenuhi ruang. Jiji sempat mengetuk kepala Ajit dengan topi chefnya sebelum turut ketawa. Dua beradik itu memang begitu.
Abangnya besar, adik pula kurus melending. Akbar hanya menayangkan sengihnya. Hatinya tercuit melihat para pekerjanya yang ketawa gembira. Jauh di lubuk hatinya, dia menghargai setiap seorang dari pekerjanya. Merekalah nadi sebenar Great Pan's. Dan dia amat berbangga dengan bakat besar mereka dalam masakan.
" Kau pakai sarilah nanti Jit! Dengan rambut panjang, orang sangka kau perempuan pulak!" tokok Jack mengenakan Ajit bagi menggamatkan suasana. Ketawa melalak kembali berhamburan seketika.
" Weh! Korang ni betul ke adik-beradik? Macam tak percaya aje kembar." Sonja bertanya sambil tangannya sibuk menyuap nasi ke mulutnya. Semua sedang sibuk menjamu selera.
" Ha'ah, Kak Sonja. Yani pun hairan." Sampuk Yani. Ajit tersengih.
" Sebenarnya, waktu dalam perut, Jiji ambil semua makanan aku. Sebab tulah aku kurus macam ni! Dia pula besar macam tu!" Ajit bergurau. Sherry sudah berair matanya kerana ketawa yang tidak henti-henti.
" Dah kau malas bukak mulut makan, sebab tu aku habiskan semua!" Jiji pula membalas, tidak mahu kalah. Dia terpandangkan Yani yang sedang melihatnya dengan pandangan lunak.
Jiji tersenyum kepada gadis itu. Yani kembali menyuapkan makanan. Walaupun Jiji berbadan besar, dia tidak kisah dengan semua itu. Padanya, Jiji mempunyai personaliti dan baik hati. Teringat pada hari dia diraba oleh pelanggan miang, Jijilah yang menghantarnya pulang ke rumah.
" Hah, tak lama lepas Sonja naik pelamin, kita makan nasik minyak sekali lagi kan?" Seru Ajit menggiat sakan. Dia tahu abangnya itu menyukai Yani.
" Siapa? Boss?" tanya Jimmy berani. Tanpa amaran, Akbar tersedakkan air yang sedang diminum. Elise yang entah siapa yang mendorongnya duduk di sebelah Akbar dalam keriuhan tadi, terus menepuk-nepuk belakang lelaki itu.
" Kau agak-agaklah nak buat lawak." Marah Sonja tapi bibirnya tersungging senyum penuh makna. Jimmy berpura-pura tersedar kesilapannya itu.
" Alamak, sorry bos! Boss okay?" tanya Jimmy. Sekarang masing-masing dapat mengagak tahap hubungan Akbar dan Elise.
" Okay, tengoklah siapa yang tepuk belakang aku..." ujar Akbar separa bergurau. Dia melihat di sebelahnya. Elise serta-merta berhenti dari menggosok belakang sasa itu. Pipinya sudah memerah. " Err..so sorry..." Kata Elise kembali menunduk menghadap hidangan. Pipinya pijar. Kenapalah tangannya senang sangat nak naik ke anggota tubuh lelaki itu. Parah ni!
" Uuuuu.....!!" Ajit bersorak kuat disambut tepukan dan ketawa yang memenuhi ruang Great Pan's. Elise tersengih sahaja, melindungi perasaanya dan cuba untuk tidak melihat ke sisinya, ke arah Akbar yang sesekali merenungnya. Semua orang kelihatan gembira seolah-oleh hari gaji telah tiba.
Seakan-akan angin bahagia memenuhi setiap ruang di restoran di penjuru bangunan itu. Dan malam itu bertambah indah apabila lelaki perengus sudi bergurau dengan mereka. Satu perubahan yang amat besar di Great Pan's!
bersambung