Sedang enak dibuai mimpi, tiba-tiba lena Hani terganggu apabila dia terasa ada sesuatu merayap di kakinya. Dia bingkas bangun lalu lampu mejanya terus dipasang. Sebaik terpandangkan bapa tirinya yang sedang menyeringai miang di sisi katilnya, tubuhnya mula terketar dan dadanya berdegup kencang.
"Kau nak apa?" tanyanya dengan suara yang bergetar menahan rasa takut dan gugup. Selimut ditarik untuk menutup tubuhnya yang hanya tersarung baju tidur lengan pendek separas lutut ketika itu.
Sengih Salihin semakin lebar. Hani dihampiri semakin dekat. "Aku nak tengok anak aku tidur, salah ke? Manalah tahu ada nyamuk gigit kulit kau yang halus ni," bisiknya lalu jemari kaki Hani disentuh dengan penuh nafsu.
Berderau dengan sentuhan bapa tirinya itu, kakinya terus ditarik dan dipeluk dengan tangannya. "Kau nak apa!" jerkahnya pula.
"Hani, pak cik bukannya nak buat apa-apa. Pak cik cuma nak rasa sikit aje." Salihin terus duduk di tepi katil. Lengan Hani yang tidak beralas itu diusap.
Diperlakukan begitu, bulu roma Hani merinding. Tubuhnya dianjakkan ke kanan katil supaya jauh sedikit dari bapa tirinya itu. "Kau jangan dekat nanti aku menjerit!" ugut Hani semakin cemas.
"Jeritlah. Kau ingat aku takut?" Senyum Salihin mula bertukar sinis.
"Makkkkkkk!" Pekik Hani dengan sekuat hati. "Makkkkkkkk!" pekiknya lagi.
Salihin tergelak besar. "Jeritlah. Kau ingat mak kau ada dekat rumah sekarang? Kalau mak kau ada tak perlulah aku cari kau nak lepaskan keinginan aku sekarang," ucapnya dengan gelak yang masih bersisa.
Mendengar kata-kata bapa tirinya itu, Hani semakin berdebar dan tubuhnya menggigil. Cuba untuk melarikan diri, dia terus melompat dari katil tetapi lelaki yang berumur tiga puluh lima tahun itu telah bertindak lebih pantas apabila sempat mengunci pintu bilik untuk menghalangnya dari keluar. Hani nanar dan mula hilang punca. Ruang bilik yang tidak seluas mana itu diperhati. Kalau pintu sudah dikunci, mana lagi ruang yang dia ada untuk melepaskan diri?
"Sekarang kau nak lari mana ha?!" ejek Salihin lalu dagunya diurut dengan senyum meleret. Langkahnya dibuka kembali untuk menghampiri Hani yang sedang terkaku di sebelah almari baju.
"Jangan dekat dengan aku!" Jerit Hani dengan suara yang hampir menangis sambil melilau memandang sekeliling mencari apa-apa yang boleh diambil untuk mempertahankan diri.
"Hurmmm...rugilah aku kalau aku sia-siakan peluang yang tak selalu datang macam ni. Lagipun aku dah lama teringin nak rasa tubuh putih gebu kau," bibirnya dijilat dengan bernafsu. Teringatkan bagaimana membuak-buaknya keinginan dia saat melihat halus dan mulusnya tubuh Hani ketika sedang mandi tengahari tadi, nafsunya semakin melonjak. Kalau Kamariah tiada di rumah ketika itu tentu sudah diterkam Hani di saat itu juga.
Dengan airmata yang mula menitis, Hani terus berlari ke katil semula. Melihat wajah yang seperti singa lapar itu, dia semakin gerun. Ya Allah, selamatkanlah aku. Selamatkan aku dari menjadi mangsa manusia durjana ini. Doanya berkali-kali di dalam hati sambil mata masih melilau memandang sekeliling.
"Kenapa nak takut? Aku cuma nak buat kau rasa seronok. Itu aje," Salihin terus buka langkah. Dengan muka tersengih gatal, Hani dihampiri semakin dekat.
Hani pula semakin cemas sedang dalam kepala ligat memikirkan apa yang perlu dia lakukan sekarang. Ya Allah, kenapa tiada satu senjata pun di dalam biliknya yang boleh dia gunakan untuk mempertahankan diri? Ya Allah, bantulah aku! Hati terus berdoa.
"Kau ni memang cantik, Hani," bisik Salihin lalu rambut Hani dibelai. "Kulit kau halus, putih..." lengan Hani diusap pula.
Hani semakin terketar dan berundur ke belakang untuk mengelak dari terus disentuh.
"Janganlah takut. Aku janji aku tak akan sakitkan kau. Itupun kalau kau tak melawan," bisiknya sambil menyeringai menunjukkan giginya yang tidak teratur, kuning dan buruk.
Jijik melihat riak bapa tirinya itu, kepalanya dipalingkan ke sebelah. Tidak mahu menyerah kalah, Hani cuba untuk melawan. Dalam keadaan takut dan tubuh yang masih menggeletar, tangannya diangkat lalu Salihin ditolak dengan sekuat hati menyebabkan Salihin jatuh terduduk di atas katil. Sepantas kilat itu, dia buka langkah untuk ke pintu tetapi belum sempat dia pergi jauh, tangannya direntap agak kuat sehingga dia turut jatuh ke atas katil.
Tidak melepaskan peluang itu, Salihin bingkas bangun dan terus duduk meniarap di atas tubuh anak tirinya itu dengan sengih yang semakin melebar.
"Lepaslah!" Jerit Hani sambil meronta-ronta untuk melepaskan diri.
Salihin ketawa puas. Kedua-dua tangan Hani dipaku di atas tilam supaya tidak boleh berbuat apa-apa. "Kau nak lari mana sekarang? Apa yang boleh kau buat sekarang adalah menyerah Hani..." bisiknya sambil mencium-cium rambut Hani. Terbau haruman segar dari rambut hitam lebat itu, nafsu Salihin semakin membuak-buak. Sudah tidak sabar untuk menikmati tubuh muda itu, leher baju tidur Hani ditarik dengan sekuat hati.
"Jangannnnnnn!" Jerit Hani lalu bingkas bangun. Dalam keadaan cemas, sekeliling ruang biliknya diperhati. Melihat ruang yang samar-samar dan kosong itu, nafasnya dihela. Perlahan-lahan wajahnya diraup dan dia beristigfar. Dada yang masih terasa debarannya diusap untuk ditenangkan. Ya Allah, kenapa peristiwa yang sudah bertahun-tahun berlalu itu tiba-tiba mengganggu lenanya? Apakah ada petanda di sebalik mimpinya itu? Dan di saat itu juga wajah ibunya, Kamariah bermain di ruang mata.
"Mak," bisiknya sebak. Tanpa sedar airmatanya terus menitis dengan perasaan rindu yang semakin membuak-buak. "Ya Allah, aku mohon kepada-Mu Ya Allah, Kau lindungilah ibuku walau dimana saja dia berada. Jauhkanlah dia dari segala mala petaka," doanya berkali-kali bersama esakan kecil yang mula menyapa.
"Mak....Hani rindu," rintihnya.
Bilik yang tadinya sunyi, mula bergema dengan esak tangisnya. Ya Allah, aku terlalu ingin untuk bertemu dengan ibuku Ya Allah. Temukanlah kami sebelum salah seorang dari kami menutup mata. Bisiknya sayu.
Setelah keadaannya kembali tenang, Hani terus turun dari katil dan berjalan menuju ke bilik air. Selesai membersihkan diri dan mengambil air sembahyang, dia keluar semula dan terus memulakan tahajudnya. Berdoalah Hani, semoga setiap doamu diangkat oleh Allah yang Maha Esa.
Nabi SAW bersabda; "Hendaklah kamu bersolat malam. Sesungguhnya ia amalan orang yang soleh sebelum kamu, amalan yang mendekatkan kepada Tuhanmu, penghapus kesalahan dan pencegah dosa." (HR; Muslim)
Daun pintu diketuk dengan sekuat hati. Biar Salihin dan Senah tidak boleh bersenang-senang di dalam biliknya.
"Aku cakap bukalah!" amuknya pula sedang tangan masih tidak berhenti mengetuk daun pintu. Lantaklah kalau jiran tetangga mereka dengar sekalipun. Biar Salihin dan Senah malu dengan apa yang sedang mereka lakukan ketika itu.
"Kau ni memekak malam-malam buta ni kenapa? Tahu tak orang semua nak tidur?" jerkah Salihin sebaik pintu dibuka. Kamariah yang sedang menyinga memandangnya langsung tidak dihiraukan. Dia sudah biasa dengan riak Kamariah yang begitu dan dia tahu bagaimana caranya untuk mendiamkan amarah isterinya itu.
"Eh! Salihin! Aku tak kisah kalau kau nak buat maksiat dengan janda ni tapi tolong jangan buat dalam rumah aku! Aku tak nak rumah aku kotor dengan perlakuan maksiat kau dengan dia!" bedilnya. Senah yang sedang tersengih sambil memeluk lengan Salihin dipandang dengan muka menyinga.
Salihin tergelak sinis. "Rumah kau? Eh! Perempuan, ini rumah akulah. Kau tu yang menumpang!" tempelaknya lalu dahi isterinya itu ditunjal kasar.
Kamariah hampir terjatuh tetapi tangannya segera memaut tepi pintu. Sebaik dia dapat mengimbangkan tubuhnya, dia berdiri tegak semula. "Kau jangan nak membongak sangat Salihin. Aku yang bayar rumah ni tiap-tiap bulan. Nak harapkan kau, entah-entah mampu duduk bawah jambatan aje!" Bentaknya. "Dasar manusia tak sedar diri. Hidup kau pun aku yang tanggung!" sinisnya.
Air muka Salihin terus berubah tegang. Tangannya yang masih di dalam rangkulan Senah terus direntap dan dilayangkan dengan sekuat hati ke muka Kamariah membuatkan isterinya itu jatuh terjelepok di atas lantai. "Aku dah suruh kau diam tapi mulut kau semakin lancang pulak. Kau dengar sini ya, apa yang aku nak buat dalam rumah ni adalah hak aku. Kau tak ada hak nak halang. Sekali lagi kau memekak malam-malam buta ni, nahas kau aku kerjakan!" ugutnya kasar.
Kamariah mendengus keras. Pipinya yang terasa perit digosok tetapi dia tetap mendongak memandang Salihin. "Kau ingat aku takut? Kalau kau nak bunuh aku pun aku tak takutlah," cabar Kamariah dengan suara yang masih seperti tadi. Ya, dia langsung tiada rasa takut lagi sekarang. Kalau ditakdirkan dia mati di tangan Salihin, dia reda. Biar Salihin puas! Dan biar terlepas dari seksa!
Salihin tergelak besar. "Kau nak mati? Tsk...tsk...tsk...kau dah lama hidup sangat ke sibuk nak mati? Tapi aku tak akan biarkan kau mati dengan senang. Lagipun aku masih perlukan kau," sengihnya pula.
Senah yang hanya mendengar pergaduhan suami isteri itu sedari tadi, terus mendekati Salihin. "Sudahlah tu bang, tak payahlah nak layan gila perempuan tua ni. Jomlah tidur, Senah dah mengantuk ni," rengek Senah manja lalu lengan Salihin dirangkul semula.
Salihin menoleh ke sebelah dan tersenyum memandang Senah. "Takkan nak terus tidur?" ucapnya gatal. Pinggang Senah dirangkul.
"Habis tu nak buat apa lagi?" Senah buat-buat malu.
"Takkan itupun nak tanya?" Salihin jungkit kening nakal.
"Alaaa abang ni, tadi pun sampai tiga kali Senah bagi," Senah merengek semakin manja dan terus melentokkan kepalanya ke dada Salihin. Kamariah yang sedang tajam merenungnya dipandang sinis. Dada Salihin diusap-usap pula. Sengaja dia hendak membakar amarah Kamariah. Biar Kamariah tahu perempuan tua seperti dia sudah tidak punya harga.
"Kau ni memang janda tak tahu malu! Disebabkan orang macam kau, habis semua janda terpalit sama," bedil Kamariah lantang. Jijik dia melihat reaksi dua manusia yang sudah hilang pedoman dan tidak tahu dimana halal haram itu.
"Abangggggg...tengoklah isteri abang tu," adu Senah seakan mahu menangis lalu wajahnya disembamkan ke dada Salihin.
"Hei! Perempuan tua! Kau reti diam tak? Atau kau nak aku buat kau jadi bisu baru kau reti bahasa?" Amarah Salihin kembali menyinga. Bahu Senah diusap-usap untuk ditenangkan. "Sayang sabar ya. Dia bersuara lagi tahulah abang nak ajar dia macam mana," pujuknya.
Puas hati melihat Kamariah diherdik begitu, Senah mengangguk dan tersenyum sinis memandang Kamariah yang masih tajam merenungnya. Kamariah ingat Salihin akan diamkan kalau dia dimaki dihina? Salihin tak mungkin akan membiarkan dirinya diperkotak katikkan sesuka hati. Kalau tidak tentu Salihin tidak akan dapat apa yang diinginkan.
"Dah jom kita masuk bilik. Dari kita layan orang tua tak sedar diri ni lebih baik kita buat benda lain yang lagi sedap," matanya dikenyitkan lalu tangan Senah ditarik masuk ke dalam bilik.
Kamariah hanya memerhati sahaja dengan hati yang membara.
Nanti kau, Salihin! Nanti! Aku akan balas setiap apa yang kau buat pada aku. Aku akan balas! Tekadnya sambil mengusap-usap pipi yang baru kini terasa peritnya.
Author Note : untuk membeli karya ini boleh klik external link di bawah ;) tq