Siri Pendek Pak Imam Zaini

By NazifHuzaini

1.3K 36 3

Kisah rekaan tentang seorang Pak Imam. More

Patung
Sakit
Sahabat
Buku Dan Ruas
Kemanusiaan
Kampung
Malam
Keris
Gelap

Hasad

290 4 0
By NazifHuzaini

Sebuah Proton Wira 1.3 menaiki gon setinggi 3 meter. Agak meraung bunyi enjinnya. Apabila berhenti, enjin terus dimatikan.

"Pak Imam! Assalamualaikum. Ooo Pak Imam!" Jerit Subri dari luar rumah.

Jeritan memanggil Pak Imam Zaini itu tidaklah susah untuk didengari dek kerana rumah Pak Imam Zaini hanyalah berdindingkan papan. Dari luar kedengaran tapak kaki memijak lantai dari papan. Kriuk.. Kriuk.. Kriuk.. Kreeeek! Pintu dibuka. Bunyi engsel pintu yang berkarat menyusahkan sedikit untuk pintu usang itu dibuka.

"Waalaikumussalam. Ha, Subri. Awat yang hang dok mai pepagi ni? Nak ajak pi kendughi ka?" Pak Imam Zaini yang berasal dari Parit Buntar dengan telo utaranya.

"Tadak aih. Bukan kendughi pun. Saja la nak mintak Pak Imam tulong buatkan doa selamat kat kedai makan saya hat baru nak bukak tu." Subri pula orang Sungai Petani.

"Uish. Hang bukak kedai makan noh. Dasat. Hang bukak kat mana Subri?"

"Adalah bukak kedai makan kecik kecik ja. Juai nasik kandaq. Dekat simpang dekat dekat Paloh Inai tu."

"Oh. Nak pi sana pukui berapa ni?"

"Satgi lepaih Zohot ka. Bulih kot noh."

"Insya Allah bulih. Tadak apa pun nak buat petang satgi. Satgi nak pi sekali ka hang pi dulu?"

"Saya pi dulu kot noh. Bulih pi masak masak dulu. Nanti Pak Imam teruih pi kedai ja la noh."

"Ok. Ok. Satgi apa apa aku bagitau hang lain."

"Saya gerak dulu noh. Assalamualaikum Pak Imam."

"Waalaikumussalam warohmatullah."

Kereta Proton Wira 1.3 dihidupkan kembali. Dimasukkan gear mengundur. Teet! Teet! Teet! Teet! Vroooommm. Tin! Tin! Hon dibunyikan dua kali sambil mengangkat tangan tanda hormat. Pak Imam mengangkat tangan kembali.

"Cantik Wira tu. Tapi aku berkenan yang 1.5 punya." bisik hati kecil Pak Imam Zaini.

Dia lalu masuk ke dalam rumah untuk mengerjakan solat sunat Dhuha dan istikharah. Memohon supaya kenduri doa selamat nanti akan dapat dilangsungkan dengan sempurna.

++++++++++++++++

Hari yang tenang di Felda Lepar Hilir 3 itu bertambah nyaman dengan angin sepoi sepoi yang bertiup dari bukit ke bukit. Pepohon mangga dan rambutan yang ditanam di pinggir rumah rumah peneroka, menari nari daunnya ditiup angin.

Kehidupan seharian para peneroka yang menyabit sawit biasanya akan berakhir pada tengah hari sebelum waktu Zuhur masuk. Selepas solat Zuhur berjemaah, mereka akan pulang ke rumah masing masing untuk berehat. Ada yang menyambung kehidupan dengan meniaga pisang goreng. Ada yang menjahit jala. Ada yang ke hutan menahan taju. Ada yang hanya berdiam di rumah menonton televisyen.

Tengah hari itu, Pak Imam Zaini sudah bersedia untuk ke Paloh Inai untuk membantu Subri membaca doa selamat untuk kedai makannya. Dengan berbaju melayu kuning langsat dan seluar slack, Pak Imam bergerak ke kereta seraya berpesan kepada orang rumahnya.

"Abang pi sat nah. Sayang ada nak pesan apa apa ka? Satgi balik abang belikan."

"Satgi belikan laksa dekat Lepar 1 bulih? Dekat kedai Mat Serabut tu. Hari tu beli tak dan ghasa. Mamat bagi habih."

"Ok. Satgi balik abang singgah beli sat. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam. Hati-hati bang."

Kereta Toyota KE 30 dihidupkan. Senyap bunyi enjinnya. Gear dimasukkan dan Pak Imam terus bergerak ke destinasinya. Paloh Inai.

+++++++++++++

"Alhamdulillah selesai doa selamat kita. Semoga kedai hang ni dimurahkan rezeki selalu oleh Allah. Dan juga dilindungi Allah dari perkara perkara buruk." Pak Imam Zaini.

"Ameen. Insya Allah." Subri. Mukanya sedikit kelat apabila Pak Imam menyatakan tentang 'dilindungi' itu.

Perubahan muka Subri itu dikesan Pak Imam. "Ada apa apa yang hang tak bagitau aku ka Subri?"

"Lagu ni Pak Imam. Kedai makan saya ni dah bukak 3 bulan lebih. Bila imam kata dilindungi tadi tu, teruih la saya teringat pasai kedai saya yang kena 'lindung' 3 bulan lebih ni. Ni yang baru saya nak buat doa selamat balik."

"Allah. Awat hang tak habaq awai. Hmmm.. Habih tu?"

Subri mula membuka cerita bagaimana permulaan dia membuka kedai. Kedai yang pada awalnya ramai pelanggan, kian hari kian menghilang. Pada mulanya dia hanya menyangka yang orang orang sekitar situ kurang berminat dengan nasi kandar. Dia lalu membuka payung di depan kedainya itu. Berpusu pusu orang lalu lalang membungkus makanan dari gerai payungnya itu. Dia menjadi hairan. Satu hari, ada seorang pelanggan bertanya kepadanya.

"Nasi kandar abang ni sedap lah. Tak buka kedai ke bang?"

"Saya memang ada buka kedai dik. Kat belakang ni kedai saya lah. Dah lama saya meniaga kat kedai tu." kata Subri.

"Hahaha. Kelakar la abang ni. Kedai usang macam nak roboh macam tu. Bertutup pulak tu. Selalu je saya lalu kat sini. Kedai tu tutup memanjang."

Luluhnya hati Subri mendengarnya. Ternyata kedainya telah disihir. Sejak hari itu, Subri telah mencuba sedaya upaya untuk mengembalikan seri ke kedainya. Tidak boleh cara moden, dia mencuba dengan cara batin. Dah bermacam macam ustaz dijemputnya. Rata rata yang datang hanya menggelengkan kepala.

"Maaf bang. Saya tak mampu. Ini memang di luar kemampuan saya." ujar seorang pengamal perubatan dari Pekan.

"Ni syaitan pujaan orang asli ni. Kuat. Tak berdaya saya. Maaf." seorang lagi dukun kecundang.

"Harap abang cari pawang lain lah ya. Syaitan ni datang kacau keluarga saya." ustaz dari Peramu.

Dengan tangisan, Subri memberitahu Pak Imam Zaini. "Saya dah habis ikhtiar dah imam."

"Subri. Kita ni hamba Allah. Allah yang bagi rezeki kat kita. Kita doa kat dia. Bukan dengan makhluk. Nanti hang balik. Hang buat solat sunat taubat. Jaga jaga syirik kecik. Percaya dengan makhluk yang bagi rezeki padahal rezeki tu mai dari Allah. Lepaih tu hang amalkan 4 qul sebelum tidoq. Pagi lepaih subuh Dhuha jangan tinggai. Banyakkan sedekah. Lagi banyak kita bagi lagi banyak Allah bagi kat kita balik."

"Terima kasih imam pasai sudi mai baca doa selamat."

"Sama sama. Ingat. Aku mai ni baca doa. Hang aminkan. Yang perkenan Allah. Insya Allah. Percaya kat Dia. Tauhidkan Dia. Dah. Aku nak balik ni. Hang jaga diri elok elok. Satgi aku nak singgah beli laksa kat orang rumah aku sat. Ingat pesan aku nah. Yakin Allah itu maha pemberi. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Imam Zaini bergerak pulang. Dalam dia tidak sedari. Ada sepasang mata memerhati dari kejauhan. Mata yang penuh dengan dengki. Dengki melihat rezeki orang lain lebih darinya. Dengki melihat kejayaan orang lain lebih darinya. Dengki dengan kebahagiaan orang lain di muka bumi ini. Genggamannya dikepal kepal. Kau tunggu malam ni.

+++++++++++++++

Usai Isyak di masjid, Pak Imam Zaini singgah mengopi di kedai Mee Bandung Pak Ya. Sambil bersembang isu isu politik, tiba tiba Pak Imam Zaini merasa bulu tengkuknya meremang tak tentu fasal. Pak Imam Zaini memohon untuk pulang.

"Hai. Awai balik Pak Imam." Pak Ya berseloroh.

"Malam Jumaat." jawab Pak Imam Zaini ringkas diikuti hilaian tawa dari pelanggan di kedai itu.

Sampai saja di rumah. Pak Imam Zaini tidak terus naik. Dengan pakaian yang dipakai, dia terus ke bilik mandi di belakang rumah.

"A'uzubillahiminasy syaithoonirrajeem. Bismillaahirrahmaanirrahiim!" dia lalu menjirus badannya dengan air dari gayung.

Dia terus menjirus air ke badannya sehingga badannya terasa kecut dek kesejukan. Lagi sekali remangnya kembali. Sekilas dia melihat ke sudut di belakangnya. Ada jembalang berbulu lebat yang sangat besar sedang memandangnya dengan satu senyuman melirik. Dengan mata yang menjegil, lirikan senyum itu lebih mengerikan.

"Hmmmmm. Aku ni kena badi dah ni. Allahuakhbar." bisik hatinya.

Pak Imam Zaini lalu bergerak ke pintu dapur dan memanggil isterinya supaya mengambilkan beg sandang di anjung rumah berserta duri landak yang dijadikan telunjuk Al Quran. Mendengar arahan itu, tahulah isterinya yang Pak Imam Zaini ada yang mengikut. Pintu dapur dibuka. Tanpa menoleh, isterinya memberikan barang barang yang diminta.

Pak Imam masih merasakan yang jembalang berbulu itu masih tersenyum mengejek di belakangnya. Pak Imam lalu bersila seperti pesilat. Dibacakan sesuatu lalu dihembus ke arah duri landak. Dicacakkannya duri landak itu ke tanah.

"Hang mai ikut aku pasai apa?"

~Hihihihihi. Kau hebat. Kau boleh melihat aku. Hihihihihi.~

"Benda huduh macam hang, kucin pun tak lalu nak tengok. Hang dok renyih tengok aku pasai apa? Pasai aku kacak ka?"

~Hihihihihi. Tuan aku hantar aku untuk memberi amaran. Kalau kau sayang nyawa kau, jangan berani lagi bantu tuan kedai itu.~

"Nyawa aku bukan hak tuan hang. Hang boleh blah sebelum aku punggai."

~Hihihihihi. Kau tak boleh apa apakan aku manusia hina!~

"Oh. Cabar aku. Nah hang!" Pak Imam Zaini mengambil duri landak yang dicacakkannya ke tanah tadi dan terus berpaling ke belakang lalu menikam mata jembalang itu.

~ARGHHHHH! JAHANAM! MANUSIA DURJANA! TUNGGU KAU AKU KEMBALI!~ jembalang itu lalu hilang.

Pak Imam kembali ke bilik mandi di belakang rumah. Sekali lagi dia mandi untuk menghilangkan sisa badi yang tinggal. Kemudian dia mengeluarkan serbuk belerang dari beg sandang yang dimintanya tadi. Sebelum masuk ke rumah, Pak Imam Zaini memagari rumahnya dengan belerang berkenaan. Kemudian dia masuk ke rumah lalu terus bersiap untuk tidur.

++++++++++++++++

Jam tiga pagi. Pak Imam Zaini bangun lalu mengerjakan solat sunat tahajud, taubat dan tasbih. Kemudian dia keluar rumah dan berdiri di halaman siap dengan pakaian silat. Dia seperti sedang menunggu sesuatu. Sambil menunggu, mulut Pak Imam Zaini tak henti henti berzikir. Sekonyong konyong terbang bebola api ke arahnya. Dengan mudah dia mengelak dari terkena bebola api itu.

"Itu ja?" dia mengejek. "Kalau nak main sorok sorok, main esok malam. Aku dah tunggu dari tadi. Kalau malu nak keluaq, jangan dok kacau aku dah. Satgi hilang sebelah lagi pulak mata tu!" keras amaran yang diberikannya.

Dari sebalik pokok nangka, keluar jembalang berbulu tadi dengan dua lagi jembalang yang lebih hodoh. Dengan mata yang terbonjol keluar tidak sama. Satu ke atas satu ke bawah. Kulit yang menggelebeh. Mulut yang terjuih. Seekor lagi kurus keding. Tulangnya panjang panjang. Kepalanya botak dengan rambut tumbuh jarang jarang. Giginya semuanya runcing.

"Hai. Bawak geng nampak. Takpa. Mai sini semua aku tabuh."

Sememangnya itu adalah sifat peribadi Pak Imam Zaini. Selain tinggi ilmu agamanya, dia juga merupakan seorang pengamal silat harimau berantai 22 jurus. Sewaktu mudanya, dia banyak menghabiskan masa dengan arwah datuknya membantu mereka mereka yang tersalah mempelajari ilmu syaitan untuk kembali ke pangkal jalan. Dia turut membantu arwah datuknya berlawan dengan jin dan syaitan dengan ilmu yang telah dipelajarinya. Satu pesan arwah datuknya. "Allah sentiasa ada dan sentiasa memberikan bantuan. Yakinlah makhluk tidak punya kuasa. Hanya Allah yang maha Esa." Dengan berpegang teguh dengan kalimah tauhid "Laa Ilaha Illallah Wahdahu Laa Syarika Lah Lahul Mulku Wa Lahul Hamdu Wa Huwa 'Alaa Kulli Syai'in Qodir." dan dengan izin Allah, dia berjaya menyelesaikan misi menghalang syaitan daripada menyesatkan bani Adam.

Memang nasib malang untuk para jembalang yang datang malam itu. Satu satu dihempasnya. Dilambung lambung. Disepak diterajang. Sampai herot petot muka masing masing. Sebelum sempat tiga jembalang itu melarikan diri, si berbulu telah ditahan oleh Pak Imam Zaini.

"La ni hang nak habaq ka dak siapa yang hantaq hang mai kacau kawan aku?" tanyanya sambil satu penampar hinggap di muka jembalang berbulu.

~Maafkan aku. Aku cuma khadam. Aku cuma dihantar untuk menakut nakutkan kau.~

"La hang tak jawab soalan. Siapa hantaq?!"

~Tuan kedai sebelah. Jangan apa apa kan aku. Please.~

"Speaking. Takpa. Aku lepaskan hang. Aku pun takda kuasa untuk apa apakan hang. Tu gheja Allah. Semua makhluk Allah punya hak. Hang balik kat tuan hang. Jangan kacau dah kawan aku. Hang kacau hang siap! Dia nak cari duit halai nak bagi anak bini dia makan hangpa duk kacau buat apa? Meniaga masing masing la. Doa mintak kat Allah. Mintak bagi murah rezeki! Hang paham ka dak? Aku tau tuan hang tengah dengaq kat kedai dia tu. Kirim salam kat dia." panjang lebar Pak Imam Zaini berceramah kepada jembalang tersebut yang kemudiannya dibebaskannya.

+++++++++++++++

Keesokan harinya, selepas pulang dari solat Asar di masjid, rumah Pak Imam Zaini di datangi tetamu yang tak dikenalinya. Apabila Imam menaiki rumahnya, barulah mereka yang di dalam kereta keluar dan memberi salam.

"Assalamualaikum pak imam."

"Waalaikumussalam. Apa tau hajat tuan tuan semua ni mai sini."

Mereka lalu memperkenalkan diri mereka. Mereka adalah waris kepada tuan kedai yang berjiran dengan kedai makan Subri. Mereka mula menceritakan bagaimana ibu mereka mula berdengki dengan pelanggan yang ramai datang ke kedai Subri. Dan tujuan mereka datang ke situ adalah kerana ingin meminta maaf di atas apa yang telah ibu mereka hantar kepada Pak Imam Zaini. Ibu mereka sekarang sedang terlantar di rumah. Tidak tahu apa yang berlaku tetapi badannya penuh dengan lebam. Dia meracau racau meminta maaf dengan pakcik Subri dan Imam yang datang kelmarin.

"Alhamdulillah. Harap ibu tuan tuan sedaq dengan kesalahan dia. Rezeki Allah itu luas. Jangan aniaya orang lain. Jangan dengki dengan orang lain. Dengan saya? Saya dah maafkan." tenang Pak Imam Zaini berkata kata.

Kelihatan air mata menitis dari waris yang datang. Mereka terharu dengan kata kata dari Pak Imam Zaini. Alangkah bagusnya kalau mereka juga dapat mendalami ilmu agama, sudah tentu mereka dapat membimbing ibu mereka ke jalan yang benar. Tidak lama kemudian, mereka meminta untuk mengundurkan diri.

Jauh di dalam hutan tebal di Paloh Inai, seorang dukun orang asli yang matanya buta sebelah menyumpah nyumpah Pak Imam Zaini.

"Kau tunggu! Aku akan kembali mencari kau!

Continue Reading

You'll Also Like

108K 3.4K 47
Waking up in the body of a Romani Archiman is acceptable. Getting 3rd and 1st True Magics is nice. Getting Beasts as pets - delightful. The world of...
126K 2.1K 50
A 14 year old Hardcore Punk kid has been working with animals all his life, traveling across the world to help save and protect them. His grandfather...
25.6K 896 36
Y/n a young padawan is the last survivor of the Jedi order. He managed to escape the massacre of order 66 by escaping one of the ships. However, as h...
55.4K 1.2K 44
Long ago, when the pyramids were still young, the Egyptian Kings played a game of great and terrible power. But these Shadow Games erupted into a war...