Pisod 1

4 0 0
                                    


MUNGKIN cara aku melihat dunia, jauh berbeza dengan kau. Boleh jadi cara aku memandang bumi akan kau kata salah. Lebih sadis kau akan panggil aku ini orang gila. Kerana bagi aku dunia ibarat sebuah kotak yang ada sejumlah gula di dalamnya. Kita, manusia, seperti semut yang berkejar masuk ke dalam kotak. Berebut sebanyak gula yang boleh kita makan dan simpan.

Ya. Itulah cara aku melihat dunia yang fana ini. Penuh dengan gula yang manis. Sampai satu masa kita semua lupa. Yang pemilik kotak itu bakal menghapuskan semua semut yang berebutkan gula. Lalu kotak akan dihancurkan sebelum dibuang ke dalam tong sampah di luar rumah.

Kampung Jinta Manis adalah duniaku. Tempat aku dilahirkan. Lokasi aku membesar. Lapangan di mana aku melakukan segala kesilapan dan kebodohan yang sepatutnya mendewasakan. Aku penduduk Jinta Manis dari bayi, sehinggalah usiaku memijak lantai angka 21.

Aku adalah salah seorang daripada mungkin berjuta anak muda yang punya cerita hendak diluahkan kepada dunia. Hatiku penuh dengan semangat. Benak ini sarat dengan impian. Hingga sudahnya aku menempuh setiap hari dalam hidupku, mengejar cita-cita.

Cita-citaku hanya satu. Kami berkenalan ketika usiaku baru sepuluh tahun. Sebuah buku cerita, menjadi jambatan kepada hubungan kami yang kian utuh. Hubungan di antara seorang manusia dengan satu pekerjaan yang disebut sebagai Penulis Novel. Kerja yang sering dilekehkan. Dilayan seperti anak tiri. Malah dianggap bukan sebagai pekerjaan oleh majoriti manusia yang berakal cetek. Manusia yang seperti semut gemuk yang rakuskan gula.

Aku mahu menjadi seorang penulis novel seram. Yang berjaya dan kaya pastinya. Kerana aku juga seekor semut yang tewas dengan manisnya gula di dalam kotak. Mahu makan dan simpan sebanyak gula yang boleh. Agar aku boleh jadikan dunia ini tempat yang membahagiakan.

Sebagai anak muda yang punya impian. Aku melatih diri untuk tidak mudah menyerah dengan apa saja dugaan. Sekeras apa pun akan aku hancurkan. Setinggi mana pun akan aku tawan puncaknya. Sehinggalah aku sudahnya nantinya aku akan bertemu dan memeluk erat impian yang dikejar. Aku kemudian akan menjerit nyaring kepada mereka-mereka yang ragu. Aku akan...

"Abang. Mak suruh buang sampah." Satu suara berjaya menunda aku dari tulis menulis karyaku.

Suara itu milik Yan. Seorang budak lelaki yang membesar dengan penuh sihat dan gemuk sejak 8 tahun yang lalu. Satu-satunya saudara sedarah yang aku ada di alam fana ini.

"Kau tak nampak ke abang tengah menulis ni? Cakap kat mak, abang tengah sibuk!" Aku membalas dalam nada tegas. Buat rupa seorang abang yang sedang fokus dengan kerjanya.

Tanpa kata, Yan melangkah keluar dari bilikku. Aku tersenyum lega. Tapi semua itu tidak kekal lama. Bersama perut yang bulat ke depan, Yan kembali. Riak kosong tergambar jelas di mukanya yang seakan punya dagu.

"Apa lagi kau nak?" Aku acah-acah tegas.

"Mak suruh tanya. Mak kata agak-agak ada ruang kosong tak kat bilik abang. Sebab mak nak pindah masuk semua sampah ke bilik abang." Dengan nada yang sama kosong dengan riak mukanya, Yan mengulang kata yang dia dengar dari emak.

Perkenalkan salah satu sikap emak aku. Tegas dan penuh sinis. Amat sesuai menjadi seorang juri jemputan mana-mana program realiti. Biar budak-budak dalam program itu kenal akan erti realiti kehidupan.

Dengan langkah yang penuh dengan kemalasan, aku berjalan keluar bilik. Muka dihiasi dengan riak masam. Tidak terlalu masam. Sekadar cukup rasa. Kerana kalau terlebih masam, aku takut akan termakan pedas kata sinis emak lagi.

Namun malangnya, sebelum aku sampai ke dapur, aku harus melalui ruang tamu. Lebih malang lagi, kebetulan ketika itu emak tengah duduk santai menonton televisyen. Menjadikan ruang tamu tersebut kini sebuah lembah beracun yang sangat berbahaya buat sesiapa saja yang mengharunginya.

Dua langkah sudah berjaya aku hayun tanpa mengalihkan perhatian emak dari kaca TV. Syukur saat itu drama kegemarannya, Selamat Malam Tan Lee, sedang bersiaran. Semua itu buat keyakinan di dalam diriku semakin membangun. Aku mulai yakin mampu untuk melepas lembah beracun ini dengan selamat. Lalu aku mulai menghayun langkah ketiga.

"Dengar cerita kau tengah sibuk menulis novel seram?" Tiba-tiba deria dengarku menangkap suara emak.

Langkahku termati bersama keyakinanku. Aku memaksa diri untuk menoleh. Mataku menangkap iklan baru saja tertayang di televisyen.

"Dah siap belum novel kamu tu?" Santai emak bertanya.

"Belum mak." Aku menjawab seadanya.

"La yeke? Cepat sikit habiskan. Semalam ada yang tanya. Tak sabar nak baca katanya." Buat seketika, emak menoleh ke arahku. Riaknya tampak tenang dan bersahaja. Dia kemudian kembali menatap muka TV. Iklan yang sama masih belum berakhir.

"Siapa mak?" Entah kenapa aku membiarkan rasa teruja dan ingin tahu, menguasai diriku.

"Ayam bapak kamu kat reban tu." Penuh tenang dan selamba, emak memberitahu.

Emak memang seorang pelawak yang tiada tolak ansurnya. Sama seperti arwah atuk. Mereka ini mampu melahirkan jenaka-jenaka gelap dan sadis dengan spontan. Berkebolehan tinggi dalam membuatkan diriku mati di dalam.

"Dia kan baru bertelur semalam. Tak larat nak gerak sangat. Kalau novel kamu tu dah siap, boleh la jugak dia baca buat buang bosan." Emak menambah lagi.

Itu memperkenalkan sikapnya yang kedua. Iaitu mengutuk tahap dewa-dewa durjana. Sejujurnya, sehingga ke hari ini, aku masih gagal untuk memahami dan mengerti tentang satu hal ini.

Bagaimana serta mengapakah abah aku boleh jatuh cinta dengan emak? Kegilaan apakah yang sudah merasuk beliau ketika itu? Mungkinkah ini yang dikatakan cinta itu buta? Tapi aku rasa cinta itu tidak hanya buta. Tetapi juga pekak.

Cinta sudah menjadikan abah pekak dari segala kata-kata nista emak. Kata-kata yang mampu membunuh hatta jin kafir dan juga cucu cicit iblis dalam diri manusia. Kalau saja emak penjahat dalam filem adiwira, pasti heronya tidak akan pernah menang.

Aku melangkah pergi. Pastinya emak sudah merasa puas hati. Iklan jahanam tadi juga sudah habis. Entah sial apa, julung-julung kalinya TV3 hanya menyiarkan sebuah iklan. Seperti sekadar memberikan ruang kepada emak untuk mempermainkan perasaanku.


Bersambung... 

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 14 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Ini Novel Cinta...Janji...Where stories live. Discover now