Prolog - Bab 3

320 5 0
                                    


PROLOG

Bad tersedar dengan kepala yang berdenyut. Pandangannya yang kabur cuba dia fokuskan, dan apa yang dia nampak ialah lantai simen yang kotor dan berpasir. Dia cuba bangun tetapi pergelangan tangan kirinya telah digari pada gril besi. Sedikit demi sedikit dia cuba bergerak dan akhirnya dia dapat bersandar pada dinding gril besi dengan tangan yang masih kejap terpasung.

Dia menilai persekitarannya. Dia waktu itu sedang berada di dalam sebuah ruang berpagar tempat menyimpan barang. Di sekelilingnya ada bergelimpangan paip berkarat, lantai berdebu dan berpasir dan berbau busuk, seolah-olah tempat itu berdekatan dengan kolam kumbahan. Peluang untuk dia melepaskan diri terbuka luas jika dia boleh melepaskan gari yang membelenggunya. Gril besi di mana dia dipasung adalah gril gred industri yang kukuh.

Api juang dalam batinnya bagai disimbah dengan air dari pili bomba apabila dia nampak Ahmad Siddiq berada di sudut yang bertentangan. Ahmad Siddiq tidak sedarkan diri. Dan sama sepertinya, lelaki itu sedang tergari pada batang besi yang menjadi sebahagian daripada sistem perpaipan tempat itu.

Berbagai kemungkinan menerjah fikirannya. Mereka berdua tidak cedera, tetapi mereka mungkin telah diberi dadah. Dia boleh rasakan pada cara kepalanya berdenyut ketika melawan kesan dadah itu.

Dia cuba menggoncang gril. Tiada apa yang bergoncang, usahanya hanya menghasilkan bunyi kuat apabila gari dan besi gril berdenting melawan satu sama lain. Dua orang lelaki, masing-masing berpakaian serba hitam dan bertopeng separuh muka memerhatikan perbuatannya yang sia-sia. Salah seorang daripada mereka telah melondehkan topengnya ke bawah dagu kerana sedang merokok.

Bad berhenti dari berusaha cara itu. Mereka berdua masih hidup, fikirnya. Masih ada ikhtiar selagi mereka masih hidup.

Di waktu itu juga, dia terdengar suara yang semakin hampir dengan tempat mereka ditawan. Semua deria dalam tubuhnya peka umpama spring yang telah diketatkan dan bersedia untuk melantun.

Kedua-dua lelaki tadi kemudian didatangi dua lelaki lagi. Kedua-dua lelaki yang baru tiba menghampiri tempat kurungan dan berhenti pada jarak dua meter dari tempat Bad tergari. Cahaya lampu dari siling jatuh pada wajah salah seorang daripadanya dan wajah itu dikenali oleh Bad. Salah seorang lagi membawa sebuah kerusi plastik untuk lelaki yang Bad kenali itu duduk.

"Tan Sri," Bad menegur. Lelaki itu bernama Leftenan Jeneral Tan Sri Faroq Al-Hassan, majikannya, yang juga salah seorang pegawai tinggi unit keselamatan rahsia kerajaan, PASAK. Bad sentiasa membayangkan yang Faroq Al-Hasssan itu pada usia mudanya seorang yang tangkas dan lasak dan bakal menakluk dunia seperti Mateen. Tetapi sesuatu berlaku di tengah jalan di mana dia telah melupakan disiplin seorang pejuang dan jatuh ke dalam lembah kemewahan.

Lelaki itu duduk selesa dan menarik nafas panjang sebelum bercakap. "Masalah dengan konspirasi ialah kita takkan tahu jika semua perincian yang dirancang akan jatuh pada tempatnya atau tidak."

Bad ingat yang Farouq akan memberikan ucapan yang hebat, dengan anekdot ketenteraan yang dia baca dari Sun Tzu, tradisi tentera Sparta dan pengalaman karier lelaki itu sendiri. Tetapi malangnya, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kata-kata yang baru didengarinya itu. Ia terlalu scripted seperti lakonan. Ia ucapan satu memori yang terlalu jauh daripada Faroq untuk relevan kepada anggota PASAK.

"Memang ada beberapa kesilapan. Ya, kemalangan helikopter itu tak menjadi, dan cubaan bunuh di Puchong itu pun gagal."

"Lepaskan YB Siddiq, tuan. Dia masih tak sedarkan diri. Dia takkan tahu siapa yang bawa dia ke mari."

"Aku sepatutnya berasa bangga kerana kau dilatih dalam unit aku. PASAK itu berkorban nyawa. Demi negara gagah setia."

"Tuan lepaskan YB Siddiq dan semuanya akan kembali seperti sedia kala."

(preview) ALGOJO - sebuah novel Sri Rahayu Mohd YusopWhere stories live. Discover now