Kampung Fahi

249 3 0
                                    

Malam itu, rumah sewa yang aku duduk bersama sepuluh orang kenalan terasa kosong. Suasana sunyi dengan hanya kedengaran bunyi ketukan dari tetikusku dan siulan angin yang meniup dari lompong-lompong jendela. Setelah berjam-jam menatap skrin komputer riba, tekak aku mula merayu untuk dibasahkan air sejuk. Dari ruang tamu yang dipenuhi barang-barang rakan serumah, aku merenung ke dapur yang gelap gelita. Buat kali kedua, aku mematikan semula niatku untuk ke dapur. Dengan tekak yang semakin mengering, aku terus menumpukan semula pada permainan video. Beberapa minit yang berlalu terasa begitu panjang. Mungkin aku perlu mengikut sahaja kata Mama untuk pulang ke Amsterdam bersama adik-beradik yang lain. Namun, hendak menyesal sekarang pun tiada guna. Jam sudah hampir pukul satu pagi dan sudah tentu mereka sudah lama berlepas dari KLIA. Minat aku untuk meneruskan perlawanan di dunia maya terbantut. Aku memadamkan komputer riba dan menyimpannya kemas di dalam bilik. Tiba-tiba terdengar bunyi deruman enjin kereta dari luar pagar rumah. Aku tertinjau-tinjau dari tingkap yang hanya ditutup dengan kain selimut bercorak petak-petak. Seorang pemuda yang hanya memadankan tank top hitam dengan seluar pendek paras lutut keluar dari kereta Saga lama. Lampu hadapan yang memang sudah lama dibiarkan rosak menyukarkan aku untuk melihat dengan jelas wajah pemuda itu. Apabila aku putus asa meneka gerangan pemuda itu, aku terus ke ruang tamu membuka pintu gelangsar.

"Tomas, kau tak balik cuti?" Pantas aku menggeleng. Aku sedikit tersentak ketika itu. Begitu juga Fahi. Mungkin dia tidak sangka ada orang lagi yang menghuni rumah yang dibiarkan gelap gelita. Bukan aku yang biarkan semua lampu rumah terpadam. Ketika tekun melayani dunia maya, aku langsung tidak perasan seorang demi seorang rakan serumahku meninggalkan aku seorang diri.

Fahi masuk melulu ke bilik yang paling belakang berdekatan dengan dapur. Dia yang membuka lampu di dapur. Dengan pantas aku mencapai air dari peti sejuk dan meneguk dengan rakus. Sempat aku mengerling ke arah Fahi. Dia mengeluarkan satu persatu pakaian dari almari dan dicampakkan di atas katil. Kemudian dia mencapai pula beg galasnya dan berlari ke bilik mandi mengutip mandian dan berus giginya. Bola matanya mencuri pandang ke arah aku. Mungkin dia perasan tenungan aku yang seperti ingin tembus ke dinding sebelah. Sejujurnya, aku tidak berapa rapat dengan Fahi. Sebab utama adalah kami dari kursus yang berbeza. Di kampus juga jarang sekali aku terserempak dengannya kerana Fakulti Fahi berada jauh di Utara dan aku pula di hujung Selatan. Di rumah sewa pula, hanya aku sahaja yang sentiasa berada di rumah. Fahi adalah orang yang paling selalu menghilang dalam diam tetapi dia antara pelajar yang terkenal di kampus. Tidak kira dalam kalangan pelajar lelaki atau perempuan mahupun pensyarah. Sebut sahaja Fahi budak Arki, pasti semua tahu-menahu tentangnya. Walaupun aku tahu Fahi baik orangnya tetapi kadang-kala gaya dia berdandan aku kurang gemar. Baju yang dia pakai sekarang adalah pakaian sehari-harinya apabila keluar malam. Dia akan memadankan dengan rantai di leher, gelang di tangan dan beberapa ketul cincin hitam di jari. Namun apabila di kampus, barang kemas itu langsung tidak terlihat pada tubuhnya dan dia berkemeja yang digosok licin sehingga hujung bucu pelipat baju menjadi begitu tajam. Aku tahu dia tidak berniat untuk berpura-pura baik tetapi kerana peraturan di kampus dia terpaksa akur.

"Kau nak ikut aku balik Tom?" soal Fahi yang sudah siap berkemas barangnya. Aku terdiam memandang wajah kosong Fahi. Langsung aku tidak menjangka pelawaan itu datang dari mulut Fahi.

"Aku balik kejap je. Dalam dua tiga hari, balik Perak semula" sambung Fahi apabila melihat aku terkelu memandangnya.

"Kampung kau kat mana?" Soalku.

"Melaka"

"Boleh ke..."

"Kau ikut je lah. Duduk rumah ni sorang-sorang pun ada apa. Kau bawalah apa yang patut. Aku tunggu luar"

Aku yang bingung masih juga menyumbat segala baju yang aku nampak dari almari dan memuatkan dalam satu beg galas. Ketika masuk sahaja ke dalam kereta Fahi, suasana terasa begitu kekok walaupun lagu-lagu raya meriah berkumandang di radio. Sepanjang perjalanan Fahi tidak memulakan perbualan sama juga dengan aku. Sempat juga dia pesan jika aku mengantuk, dia menyuruh aku tidur sahaja kerana dia sudah biasa memandu jauh. Untuk dua jam awal, mata aku masih dapat ditahankan tetapi setelah itu, minda aku melayang entah ke mana-mana. Buka sahaja mata, aku sudah tiba di Petronas Simpang Ampat. Fahi sedang mengisi minyak sambil berbual dengan salah seorang pekerja Petronas. Beberapa minit kemudian, Fahi kembali ke tempat duduk pemandu sambil menghembus berkepul-kepul asap vape dari mulut.

Kampung FahiWhere stories live. Discover now