BAB 9

60 3 0
                                    

PAK MAT mengeluarkan bungkusan mangkuk tingkat. Dia meletakkannya di atas meja bulat berhampiran buaian.

Dia tahu di situlah tempat Adelia selalu duduk bersantai. Duduk di atas buaian. Berbuai di situ, melihat orang yang lalu-lalang atau memerhatikan kanak-kanak yang bermain basikal di kawasan ini dan kadangkala Adelia suka mengusik dan menakutkan mereka.

Rumah agam ini berada di hujung sekali, maka memang sangat jarang dikunjungi. Hampir tidak diketahui orang kewujudannya kecuali orang-orang yang berhampiran sahaja.

Tetapi rumah agam ini sudah mula menjadi sebutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Diceritakan sebagai rumah angker. Perihal penghuni rumah ini sering bertukar ganti kerana acap kali diganggu, sekejap sahaja sudah sampai ke telinga mereka.

Bukan tidak pernah Pak Mat mendengar jemaah masjid bercerita tentang buaian yang bergerak sendiri. Tentang suara wanita menyanyi di rumah ini.

Sebab itu jarang ada yang berani ke kawasan ini. Paling terkini, cerita mengenai lembaga hitam kian menjadi buah mulut orang ramai.

Cerita tersebar dari mulut ke mulut sehingga Pak Mat sendiri terkena tempiasnya.

Pernah juga beberapa kali rumah ini cuba dipecah masuk, tetapi tidak ada yang berjaya. Pernah juga beberapa orang budak-budak nakal cuba mencuri buah rambutan dan mangga yang ranum di halaman rumah ini, tetapi semuanya akan bertempiran lari apabila diganggu.

Para penduduk di sini tahu Pak Mat sering berulang-alik ke rumah ini. Kerap berkunjung ke sini terutamanya sesudah solat isyak. Membawa mangkuk tingkat berisi makanan. Entah untuk siapa.

Mereka semua tahu apa yang terjadi kepada pemilik asal rumah agam ini. Tragedi yang mengaitkan rumah ini dengan cerita mistik yang semakin tersebar sejak akhir-akhir ini.

Apa yang mereka tidak faham adalah kenapa Pak Mat masih setia berkhidmat dengan orang yang telah tiada. Untuk siapa makanan yang dibawa setiap kali dia ke sini?

Semuanya menjadi tanda tanya, tetapi tidak ada yang berani bertanyakan perihal itu kepada Pak Mat. Mungkin kerana Pak Mat masih disegani di kawasan ini.

Ada juga khabar angin yang mengatakan Pak Mat membela saka. Bukan Pak Mat tidak tahu semua itu.

Ada yang mengatakan dia gila kerana sering bercakap-cakap sendirian.

Apa yang mampu dilakukannya hanya diam. Diam itu lebih baik. Biarlah apa orang hendak kata. Yang paling utama adalah amanat yang dipegangnya.

Amanat yang entah sampai bila harus dipikul di bahunya.

Terkadang dia letih. Terkadang dia buntu. Segala usahanya masih belum menampakkan hasil, sedangkan dia sudah semakin berusia.

Krek... krek...

Bunyi buaian berayun. Pak Mat memandang sekilas.

"Tu, makanan kau untuk hari ini."

"Terima kasih, Pak Mat."

Adelia mendekatkan hidungnya ke mangkuk tingkat. Mencium aroma masakan yang enak.

"Mak Minah masak apa hari ni?" tanya Adelia.

Pak Mat hanya diam sahaja. Adelia melihat Pak Mat mengusap matanya.

"Kenapa Mak Minah tak ikut sekali? Lama Adelia tak jumpa Mak Minah. Rindu sangat dengan Mak Minah," luah Adelia.

Adelia memandang wajah mendung Pak Mat. Pak Mat kelihatan sedih. Ada sesuatukah yang berlaku kepada Mak Minah?

"Mak Minah sihat ke, Pak Mat?" soal Adelia.

ADELIAWhere stories live. Discover now