JAM menunjukkan pukul 11 pagi namun Ainna masih belum keluar dari biliknya. Hani sudah puas mengetuk pintu bilik Ainna kerana risau dengan keadaan gadis itu yang tidak keluar bilik sejak dari semalam. Dia hanya kalut sendiri memandangkan dua lagi teman serumahnya sudah keluar sejak dari pagi lagi. Tambahan pula, rumah itu tidak ada kunci pendua untuk bilik tidur. Dia rasa seperti ada yang tidak kena dengan gadis itu. Ainna tidak pernah berperangai seperti ini, malah jika gadis itu ada apa-apa masalah pasti dia akan menceritakannya pada Hani atau mengajaknya keluar untuk melepaskan tekanannya.
"Ainna! Kau okay tak?!" jerit Hani dari luar bilik sambil tangannya berusaha memulas tombol pintu berkali-kali. Disebabkan tiada sahutan dari dalam bilik, Hani sekali lagi mencuba menelefon gadis itu. Namun, masih juga tiada jawapan. Hani akhirnya terpaksa meminta pertolongan dari jiran sebelah rumahnya, Abang Jali untuk menendang pintu bilik Ainna. Dia hampir mati kutu memikirkan cara untuk membuka pintu bilik Ainna.
Ketika pintu terbuka, kelihatan Ainna terbaring lesu di atas sejadah dengan keadaan bertelekung. Hani segera mendapatkan Ainna dan memangku gadis itu di ribanya. Ainna hanya membuka sedikit matanya dan bibirnya seperti berusaha untuk mengeluarkan kata-kata. Namun, disebabkan tubuhnya yang terlalu lemah, suaranya juga tidak terdengar dengan jelas. Hani segera meminta Abang Jali untuk mengangkat Ainna ke keretanya. Dia berniat untuk membawa Ainna ke hospital.
Ketika menunggu Ainna di ruangan kecemasan di hospital, Hani menghantar pesanan kepada Wildan untuk mengkhabarkan lelaki itu tentang keadaan adiknya. Nasib baik Wildan pernah meminta dia untuk menyimpan nombor telefon lelaki itu kerana risau sekiranya terjadi apa-apa pada Ainna. Beberapa minit kemudian, telefonnya berdering,
"Hani! Kenapa dengan Ainna? Macamana boleh pengsan?" tanya Wildan bertalu-talu. Jelas menunjukkan yang dia risau dengan keadaan adik bongsunya itu.
"Hani pon tak tahu, ngah. Semalam waktu dia balik rumah, dia okay je. Hani tengok takde sakit pon. Tapi lepas dia masuk bilik semalam, sampai pagi dia tak keluar bilik. Selalunya dia akan keluar untuk breakfast dengan kitorang," ujar Hani yang masih tertanya-tanya kenapa Ainna boleh pengsan seperti itu. Semalam Ainna balik dalam keadaan baik-baik saja. Malah gadis itu asyik bercerita tentang aktiviti hariannya dengan Raiq dan Fikry yang jelas menunjukkan yang Ainna sedang bahagia. Ainna juga tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia tidak sihat.
"Semalam pon dia takde cakap apa-apa masa otp dengan angah. Takpe lah ni angah dah otw. Nanti apa-apa update tau!" ujar Wildan yang sedang fokus pada pemanduannya. Meeting yang akan berlangsung setengah jam lagi, terpaksa ditangguhkan. Baginya, keadaan Ainna sekarang lebih penting.
"Okay angah. Drive safe!" ujar Hani seraya mematikan panggilan telefonnya. Dia berjalan ke arah katil Ainna setelah mendengar jururawat memanggil pewaris kepada sahabatnya itu.
"Macamana dengan Ainna, nurse?" tanya Hani seraya meletakkan beg tangannya di atas meja kecil di tepi katil.
"Kawan awak masih dalam keadaan lemah. Tapi, saya dah masukkan air dan bagi vitamin pada dia. Mungkin kejap lagi dia sedar la tu. Awak jangan risau, nothing serious. Maybe dia penat dengan kerja or kurang makan," ujar jururawat itu dan meminta diri untuk beredar dari situ.
Hani menghela nafas lega. Syukurlah gadis itu tidak ada penyakit yang serius. Sungguh dia risau melihat keadaan Ainna yang terbaring lemah tadi. Sejak kenal dengan Ainna, dia tidak pernah melihat Ainna selemah itu. Malah, ketika gadis itu berpisah dengan Adi pon, Ainna masih boleh menjalani rutin hariannya seperti biasa walaupun dia tahu ianya tidak mudah untuk Ainna.
Hani mengambil telekung yang dipakai oleh Ainna dan menyarungkan tudung untuk menutupi rambut gadis itu. Disebabkan risau melihat keadaan Ainna tadi, dia tidak sempat untuk membuka telekung terlebih dahulu. Itu pun nasib baik dia ada meletakkan tudung di dalam keretanya. Hani duduk di atas sofa berdekatan sambil mengeluarkan telefon untuk memaklumkan keadaan Ainna kepada Wildan. Setidaknya kuranglah sikit rasa risau Wildan terhadap Ainna.
FAHMI merebahkan tubuhnya yang sedikit lenguh. Dia mengeluh perlahan mengingatkan permintaan mamanya untuk menjodohkan dia dengan anak sahabat mamanya.
"Ma. Fahmi taknak la. Fahmi tak kenal pon dia, macamana nak kawin?" ujar Fahmi sambil meraup wajahnya.
"Ainna tu baik Mi. Mama dah banyak kali jumpa dia. Orangnya pon cantik, manis. Tenang je mama tengok dia."
"Tak nak la ma! Please ma. Fahmi nak fokus kerja dulu. Taknak kawin lagi," ujar Fahmi dengan nada memujuk.
"Ala jangan macamtu. Mama mintak tolong dengan Fahmi. Please sayang. Fahmi pun bukannya ada calon lagi kan," Ujar Puan Faridah dengan nada yang lembut. Dia menaruh harapan yang tinggi untuk berbesan dengan sahabatnya itu dan dia juga berkenan Ainna jadi menantunya.
Fahmi hanya diam mendengarkan pertanyaan dari mamanya. Dia menghela nafas seraya berkata,
"Bagi Fahmi masa boleh?"
"Okay boleh. Tapi jangan lama sangat tau! Plannya bulan depan nak tunang," ujar Puan Faridah dengan nada gembira.
"Hah?! Bulan depan? Ma! Ni nak kawin ke nak gi shopping mall? Fahmi tak decide lagi nak ke tak kan!" ujar Fahmi dengan nada yang sedikit tinggi.
"Alaaaa please sayang. Mama harapkan kamu je. Tolongla mama. Mama tak pernah mintak apa pon dari kamu. Kali ni boleh la Fahmi dengar cakap mama. Ya sayang?" ujar Puan Faridah dengan nada yang lembut.
Fahmi sekali lagi mengeluh perlahan. Tidak mungkin dia mengecewakan mamanya tapi dia tidak mungkin menikah. Untuk umur yang baru menginjak 24 tahun, dia masih belum terfikir untuk menamatkan zaman bujang. Dia masih belum puas menikmati zaman bujangnya. Fahmi menggelengkan kepala dan cuba memikirkan cara untuk menolak permintaan mamanya.
AINNA memegang kepalanya yang sakit. Dia melihat Hani yang terlelap di sofa sebelah katilnya.
"Hani.." panggil Ainna perlahan.
Hani tersedar mendengar panggilan Ainna lalu segera bangun menghampiri gadis itu.
"Kau okay? Ada sakit mana-mana tak?" tanya Hani sambil memegang lengan gadis itu.
"Aku okay. Sakit sikit je. Kau buat apa sini?" tanya Ainna yang merasa bersalah kerana telah menyusahkan sahabatnya itu.
"Aku jaga kau lah! Kau tak nak tanya ke kau kat mana?" tanya Hani sekadar ingin bergurau.
"Kat hospital la. Kau ingat aku hilang ingatan ke?" tanya Ainna sambil membetulkan tudungnya.
"Takde lah. Biasanya kan kalau orang baru bangun dari pengsan mesti dia tanya 'aku kat mana, kenapa aku ada sini' ujar Hani sambil mengukir senyuman nipis. Sengaja ingin menghiburkan gadis itu. Dia masih tidak berani untuk bertanya tentang sebab Ainna jadi begitu kerana risau ianya terlalu peribadi atau mungkin itu masalah yang berkaitan dengan keluarga. Kalau masalah keluarga, Ainna memang menutupinya dari Hani.
"Banyaklah kau! Ni aku kena warded ke? Doctor kata apa?" tanya Ainna yang mula rimas dengan keadaan hospital.
"Tak warded pon. Tunggu air ni habis, kau boleh balik la. Doctor kata kau penat sikit je lepastu badan kau dehydrated. Ni aku dah call angah kau tau! Dia dah otw sini," ujar Hani seraya mengambil telefon bimbitnya di dalam beg. Risau sekiranya ada mesej dari Wildan.
"Kenapa kau bagitahu angah?" tanya Ainna sedikit terkejut. Dia risau kerja abangnya akan terganggu disebabkan masalahnya. Ainna seorang yang berdikari. Dia sebolehnya tidak ingin menyusahkan keluarga untuk apa-apa masalah sekalipun. Sebab itu dia tidak pernah menceritakan masalahnya kepada keluarga, tambahan pula ibu dan babanya juga tidak bertanya tentang perihal itu. Namun, berbeza dengan Wildan. Dia sedikit terbuka dengan lelaki itu, mungkin disebabkan abangnya itu selalu bertanya tentang keadaannya dan juga dekat dengannya.