"Jadi, itu saja?" Mardiah memanggung kepala memandang Tengku Nazmi. Kelihatan lelaki itu sedang merenungnya, bersama senyuman.
"Tengku?"
"Oh, ya. Itu je," Tengku Nazmi tersengih seketika.
Mardiah pula dah mula mengemas beberapa helai kertas dan masukkannya ke dalam satu fail. Kertas lakaran untuk halaman rumahnya nanti.
"Kalau macam tu, saya pergi dulu. Apa-apa, boleh call saya,"
"Kalau saya call awak, untuk ajak keluar makan, boleh?"
Mendengar itu, Mardiah sempat tergelak kecil dan menggelengkan kepalanya. Tengku Nazmi ni gila betul.
"Maaf, tapi saya sibuk," tolak Mardiah sopan. Tengku Nazmi memuncung seketika.
"Awak akan datang lagi esok?"
Mardiah mula berdiri dan mengemaskan beg tangannya.
"Lusa, Tengku. Esok saya ada kerja lain. Tapi takpa, saya akan cuba selesaikan perbincangan kita secepatnya sebelum proceed untuk final design," Mardiah masih senyum. Apapun, dia mesti tunjuk yang dia itu profesional.
"Alright, I will wait for you, angel," Tengku Nazmi senyum lagi.
Memang tak dapat dinafikan bahawa, Tengku Nazmi seorang yang kacak. Kulitnya cerah dan matanya berwarna coklat. Dipadankan pula dengan rambut messy style berwarna keperangan begitu, lagilah menyerlahkan kekacakannya.
Fikir apa, Mar? Suami kau dekat rumah lagi kacak.
"Saya pergi dulu, terima kasih," Mardiah mula mengatur langkah untuk keluar dari rumah.
Klien mengurat tu memang perkara biasa. Sabar ajelah. Yang penting, kerja siap dia bayar. Kalau tak, aku rombak balik halaman rumah dia jadi taman anak anjing.
Tengku Nazmi bersandar di muka pintu, memandang gerak-geri tubuh Mardiah yang menuju ke arah keretanya itu. Rambut perang Mardiah seolah-olah berterbangan apabila dititup angin.
"Cantik..." Bisik Tengku Nazmi sendiri. Senyuman masih tak lekang dari bibirnya.
155 sentimeter.
Rambut perang dan menawan."We'll see, my angel..."
Mardiah pula sedang menghidupkan enjin kereta, dan kemudian memandu untuk pulang ke pejabat. Dia perlu bereskan secepat mungkin sebahagian lakaran yang diminta Tengku Nazmi.
Huh, nama pun Tengku. Rumah banglo dua tingkat yang baru dibeli itu, bukan kaleng-kaleng halaman depannya. Bapak luas. Untung betul kalau lahir-lahir dah kaya ni ya.
"Angel..."
Mardiah tergelak sendiri.
"Dia panggil aku bidadari? Gila ke apa?"
Mardiah menggelengkan kepalanya. Cuba untuk fokus ke arah pemanduan. Seketika, telefonnya berdering meminta diangkat. Lagu Thank You, Next by Ariana Grande mula memenuhi ruang kereta.
Sempat Mardiah jeling ke arah skrin telefon. Di situ, terpampang nama Luna, jirannya.
"Nak apa pula dia ni?"
Mardiah membiarkan dahulu deringan itu berakhir. Menunggu sehingga keretanya berhenti di lampu isyarat yang ada beberapa belas meter di hadapan sana.
Nada dering itu terhenti. Kemudian diganti pula dengan satu bunyi pixie dust. Menandakan satu mesej masuk.
Apabila keretanya berhenti di lampu isyarat itu, terus Mardiah mencapai telefonnya dan peti mesej dibuka.
Aku ganggu kau kerja ke? Maaflah. Tapi nak ajak lunch nanti. Tapi kalau kau lunch dengan suami kau, tak apa.
Luna.
Mata Mardiah menjeling warna pada lampu isyarat itu. Masih merah. Laju jarinya menekan-nekan papan kekunci, ingin membalas pesanan tersebut.
Haah boleh je. Adam tak balik tengahhari nanti. Sibuk katanya.
Mar.
Bukan apa, dia memang tak selesa kalau nak main telefon sambil memandu. Jujur, dia bukanlah pemandu yang baik sangat. Kena beri sembilan puluh lima peratus fokus untuk pemanduan.
Okay bagus! Apa-apa, call aku nanti!
Luna.
Mardiah meletakkan telefon itu di sisi, menukar gear dan mula menekan pedal minyak. Lampu isyarat sudah bertukar hijau, lalu kereta Mardiah pun membelah jalan.
***
Inspektor Adam Syah merenung gambar mangsa kedua, Nurul Farhana. Sama seperti mangsa sebelum ini, dadanya dirobek kejam dan jantungnya hilang.
"Kalau pasal model ni, aku tak tahu dah nak tanya siapa. Dia sebatang kara," Detektif Zikri mengeluh sebentar sebelum secawan kopi diambil lalu dicicipnya.
"Teman lelaki dia pula tak ada dekat sini waktu kejadian. Dia pun tak mampu bagi banyak maklumat sangat," balas Inspektor Adam Syah.
"Hmm, dulu aku syak teman lelaki dia tu. Tapi dia ada alibi. Agensi model dah sahkan. Dia tak cerita apa-apa ke tentang Farhana? Perubahan apa-apa? Kau ada soal siasat dia tadi kan?"
Inspektor Adam Syah mengangkat kedua belah bahunya. Memang dia soal siasat teman lelaki Nurul Farhana tadi. Tapi, hanya melalui telefon. Model itu masih bekerja di luar negara.
"Dia kata hubungan mereka berdua baik. Sehinggalah sehari sebelum kejadian pembunuhan, Farhana minta putus tiba-tiba,"
Detektif Zikri mengerutkan dahi. Bercantum keningnya, hairan.
"Kenapa?"
Lagi, Inspektor Adam Syah mengangkat kedua belah bahunya.
"Dia sendiri pun tak tahu. Ingatkan Farhana tu merajuk ke apa, dia pun sibuk waktu tu jadi dia abaikan dulu. Tak sangka pula esoknya jadi lain..." Ujar Inspektor Adam Syah.
Gambar Nurul Farhana itu masih ditenung dalam. Ada sesuatu yang tak kena, tapi dia masih tak pasti apa.
"Tempat pembunuhan pun kita dah pergi tadi. Nak pergi sekali lagi ke?"
Inspektor Adam Syah menggeleng perlahan.
"Tak perlu, bukan ada apa-apa pun. Pelaku ni licik betul ya. Satu cap jari pun takda ditinggalkan,"
"Haah, senjata pembunuhan pun dia tak tinggalkan. Maknanya dia masih simpan,"
"Atau buang. Kalau simpan sekalipun, kita masih tak ada idea siapa dia. Saksi pun tak ramai,"
Lagi, masing-masing mengeluh berat. Mereka perlu cari siapa pelakunya, dan siapa mangsa seterusnya. Walaupun masa masih panjang, tapi bagi mereka masih tidak cukup.
Tidak cukup.
Berkemungkinan juga suspek akan bertindak awal. Segala kemungkinan perlu dititikberatkan.
Gambar Nurul Farhana diletakkan di atas meja, dan Inspektor Adam Syah mengurut keningnya. Pening.
Ada sesuatu yang aneh pada gambar itu. Keadaan mangsa itu. Tapi otak dia tak mampu mencerna!
Mungkin dia terlalu penat.
"Apa lagi kau cari? Jelas dah kan persamaan semua mangsa. Kau cari apa lagi?" Detektif Zikri menggeleng perlahan.
"Aku... Entahlah. Kau tak rasa pelik ke?"
"Pelik apanya?" Detektif Zikri menyoal bosan.
"Ketiga-tiga gambar ni, mangsa kedua je aneh sikit. Mangsa pertama dan mangsa ketiga sama, tapi tengok je gambar mangsa kedua, ada benda yang... Lain,"
Detektif Zikri buat muka pasrah. Dia kemudian menggosok rambutnya dengan kuat, sehingga serabai jadinya.
"Huaaa kita dahlah kena handle kes yang semua orang taknak ambil! Kau pulak buat aku sakit kepala!" Detektif Zikri dah buat muka nak menangis.
"Mula dah..."
"Elok kau tolak je kes ni, haa sekarang tengok, siapa yang susah? Kita jugak. Tapi haa yang paling susah? Akulah. Kau tahu mengarah je. Yang kena kumpul maklumat? Aku. Siapa? Aku!" Detektif Zikri menumbuk-numbuk dadanya sendiri.
"Overacting. Dah-dahlah dengan drama kau. Kita ke tempat pembunuhan mangsa ketiga pulak..." Inspektor Adam Syah mula berdiri, malas nak layan rakan sekerjanya itu.
"Haa mengarah! Itu je tahu!" Detektif Zikri merungut sendiri. Dia kemudiannya mencapai barangan yang ada, dan membuntuti langkah Inspektor Adam Syah.
Namun seketika, dia berpatah kembali. Cawan milik Inspektor Adam Syah diambil dan diteguk rakus isi minuman kopi yang tinggal.
"Membazir," gumamnya sendiri. Sempat dia tersengih dan mula berlari, meninggalkan ruang itu.
***
Di tempat pembunuhan yang ketiga, Inspektor Adam Syah dan Detektif Zikri hanya berdiri di luar pagar rumah banglo itu.
Detektif Zikri masih cuba untuk menghubungi Dato' Wahid, ahli perniagaan itu.
Sejak kematian isteri mudanya, Atikah, rumah ini langsung tidak berpenghuni. Dato' Wahid itu sudah jarang pulang ke sini. Hanya terus menetap di luar negara.
Katanya sudah pulang baru-baru ini. Tapi masih tak nampak bayangannya.
"Pagar ni berkunci pula. Kalau tak, aku main serbu je ni," Detektif Zikri merungut lagi.
"Kau tahu kan tak boleh..." Inspektor Adam Syah mula mengelilingi kawasan rumah itu. Pada tembok, terdapat kesan lumpur yang kering. Seolah-olah, ada orang memanjat di situ.
Mungkin pelakunya yang cuba pecah masuk tempoh hari.
Inspektor Adam Syah lantas menunduk ke bawah, mencari-cari barang yang tertinggal. Manalah tahu, pelaku tak sengaja meninggalkan bukti.
Malangnya, tiada. Tanah itu hanya kosong bersama rumput-rumput yang baru ingin tumbuh.
"Orang tua ni sibuk sangat ke hah?" Detektif Zikri dah bercekak pinggang. Muka tak payah cakap, berkerut-kerut.
"Nantilah kita datang semula..." Ujar Inspektor Adam Syah. Dia masih kekal tenang disitu.
"Lepastu kita nak buat apa? Balik?"
Inspektor Adam Syah memandang kawasan perumahan disitu. Kebanyakannya jarak rumah jauh-jauh, dan hanya orang kaya sahaja yang tinggal disini.
Ah, hanya rumah sebenarnya. Penghuni kejap ke luar negara, kejap melancong ke sana, kejap singgah ke sini.
Berduit, katakan.
"Waktu kejadian, kamera pengawasan seperti sengaja dirosakkan, kan?" Inspektor Adam Syah menoleh ke arah Detektif Zikri, meminta kepastian.
Rakannya itu hanya mengangguk sebagai jawapan, masih cuba untuk menghubungi ahli perniagaan dan pembantu peribadinya itu.
"Hmm..." Inspektor Adam Syah menggaru keningnya. Rosakkan kamera pengawasan itu satu kepakaran penjenayah yang teliti.
"Argh! Orang tua ni menyusahkan aku betul. Jomlah balik, baik kita fikir siapa akan jadi mangsa seterusnya, kumpul semua lepastu kurung dalam satu bilik. Biar pembunuh tu tak boleh nak buat hal lagi,"
Detektif Zikri menghentakkan kakinya dan meluru ke arah kereta. Inspektor Adam Syah buat tak tahu.
Begitulah. Kalau Detektif Zikri jenisnya kejap periang kejap membebel, Inspektor Adam Syah pula jenisnya diam dan kerap memerhati.
Seperti sekarang, masih memerhati kawasan rumah banglo itu. Tinggi dan gah, tapi sayang, terkuburnya memori berdarah Atikah Mawaddah.
***
Unedited Version.
Updated: 23/2/2022