FESYEN DALAM MASYARAKAT
Kami sekampung terkejut mendengar berita Mak Ngah Siah dipukul Budin anak lelakinya. Alasan? Tidak mahu memberikan wang untuk membeli tali pinggang retro bergancu tembaga.
Sebagai kanak kanak melihat kegigihan Makcik Midah berkeliling kampung menjual kain kain ela dengan gelaran kain Effa Rizan dan kasa Uji Rashid.
"Ambillah bayar empat kali, kalau taknak ni ada carpet ringan buatan hampas tebu 20 ringgit 4 kali bayar juga... rumah rumah depan semua ambik tau...," emak yang beranak ramai, tidak berpendapatan kelihatan serba salah, hatinya kental sedar diri.
"Ukur baju biarlah di badan sendiri," antara ungkapan tentang kemampuan lantas menyentak kita kembali ke dunia nyata. Termalu jadinya. 2 kisah awal tahun 70an di atas rupanya kisah fesyen, persoalannya sering ikut sekali ketika berbicara tentang dunia fesyen. Begitu mengusik perasaan, malu alah bila tidak mampu, takut akan kata orang dan kerakusan manusia menjamu nafsu ketika mampu berbelanja.
Kamahuan atau Keperluan? Masih perlu ditanya pada diri.
Fesyen merupakan seni ekspresi diri dan autonomi terhadap sesebuah masa, tempat dan berkonteks tertentu, busana, kasut, cara hidup, perhiasan, solekan, gaya rambut dan postur tubuh badan. Terma pastilah ditentu terap oleh Industri Fesyen, mana satu yang sedang berarah aliran (trending) dengan dukungan media berbayar tentunya.
Bayangkan paparan kopi mahal digenggaman pemeran watak dalam filem, tas berjenama dikelek, busana berlogo ataupun paling tidak sorotan kamera pada kaki untuk tontonan khalayak. Pempengaruh di alaf ini juga tidak ketinggalan ghairah bekerjasama. Kita terliur terlupa bahawa mereka ditaja dan berada dalam dunia komersil.
Kita semua pasti pernah diaruh keajaiban dunia fesyen, sehinggalah fenomena difahami atau mahu terus bermata kuyu berimpian mahu memiliki. Apa tidaknya, soksek-soksek kekaguman pernah didengari: Berkelas sekali si polan memakai itu dan ini diungkap dengan rahang ternganga lambang kekaguman, terlupa asas kasut untuk berjalan, busana fungsinya menutup kemaluan serta menangani iklim, tas untuk membawa barangan perlu. Naluri kagum dan hina tiba tiba bergulat tanpa sedar bahawa fesyen di hujung perhitungan, tergantung pada ketebalan dompet, pilihan dan citarasa.
"Aiyo! dia dok ulang baju tu saja, kau tak perasankah?" ketawa berderai kejam seolah ia lucu.
Pada diri perlu dipesan bahawa pujian terhadap barangan di badan atau milikan terjadi hanya beberapa saat sewaktu pertemuan, setelah itu manusia akan meneruskan agenda hidup yang lain yang jauh lebih penting. Lainlah jika kamu mampu duduk berilusi sebagai editor fesyen bersidang bicara tentang buatan, jenama, harga dan sejarah barangan. Ingat, majalah fesyen fizikal pun sudah tidak trending, malah terkial kial untuk eksis di alaf ini
"Kasihan dia, pakai apapun nampak tak sajak. Ada la benda tak kena tu...," petanda kemampuan sahaja tidak cukup dalam dunia fesyen.
Siapakah 4 golongan dalam dunia fesyen? Mengikut permerhatian sang bijaksana (Bukan si anti fesyen) mereka adalah:
Sang Patrician – Golongan kaya raya, pewaris duit lama yang hanya menikmati 'Kemewahan Senyap – Quiet Luxury menjurus pada kualiti pembuatan, tahan lama dan tidak bersifat menayang logo gedabak. Pujian jika ada tidak apa, didiamkan juga tidak jadi soal. Pemakai damai dengan pilihan mahal atau murah tersebut, asalkan objek membawa estetika kualiti holistik dari pengeluar/pereka yang memang hanya menumpu pada barangan kemewahan senyap bukan untuk pasaran massal.
Sang Pravenus – Orang Kaya Baharu yang ternanti nanti untuk menikmati kemampuan berbelanja. Tengok aku! Aku mampu! Ini edisi terhad, hanya ada 3 unit di pasaran dunia! Jangan dipandang sebelah mata. Bermunculanlah mereka di ruang medsos membuat pamiran secara sengaja atau tidak, mata peminat memandang, liur ditelan.
Sang Poser – Tetap kemaruk berfesyen meskipun budget di tahap hap hap nyawa ikan. Pernah digelar sebagai pemangkin industri barangan tiruan. Perut diikat, gaya dijaga. Tidak peduli tuduhan. Logo mewah perlu jelas, aliran terkini serta tidak mahu kalah bernafsu mewah! Bicara tentang jemama, aliran serta tataan dipastikan professional.
Sang Proletariat – Bernaluri yang boleh digelar apa sahaja, bijaksana? Berkira? Kedekut? Berhemat? Boleh jadi tergabung antara Patrician dan ciri ciri lain, kerana tidak peduli. Memakai barangan sehingga ia lusuh barulah diganti. Citarasa dan gaya masih tidak kalah meskipun tahu tataan busana dijebih mulut kerana dipakai berulang ulang. Lebih baik bila ditaja.
Kamu jatuh di kategori mana? Tanya soalan-soalan di bawah...
Apakah kamu termimpi mimpi terliur akan sebarang jenama? Tunggu dahulu bila cukup dana? Kemampuan memilik dianggap pencapaian? Bergegas mencari tawaran terbaik? Menghitung CPW (Cost Per-Wear – nilai tiap memakai – Busana $100 ringgit dipakai 10 kali jatuhnya 10 ringgit tiap disarungkan)? Selesa seadanya? Berkualiti? Menang memakai? Merangka alasan padu berfesyen? Atau kamu jenis yang tidak tahu apa apa?
Ditanya lagi soalan keramat, 'Apa sebenarnya fesyen?" – Pastilah ia tentang bagaimana manusia mempersembahkan diri mereka. Masih dalam kadar ekspresi diri terbaik melalui busana dan dandanan sehingga mampu mewakili bahagian terbaik untuk mempesona orang sekeliling. Dari perspektif yang jauh lebih luas fesyen memperlihatkan jenis dan taraf keberadaan masyarakat.
"Dia tampil polos, namun ada sesuatu yang memikat – kemas menarik!"
Fesyen terus menyelinap di segenap pelusuk kehidupan, dari busana sehingga gaya hidup, tergodalah manusia dari hal terkecil hingga terbesar, dilihat sebagai penjana ekonomi dunia, pembuktian dan kenikmatan menuai pujian berkala. Mutakhir, fesyen kini tidak lagi dianggap sebagai pembuktian kekayaan dan posisi dalam masyarakat namun melebihi pada ekspresi diri, kamu dibaca dalam sesaat hanya dengan penampilan menyeluruh. Ia cerminan pada trend terkini dan bergerak begitu pantas, mucul mencanak dan hilang dengan keghairahan baharu hingga dianggap sebagai ketinggalan zaman.
Jangan dibutakan bijaksana manusia yang penuh manipulasi mampu menunggang apa sahaja termasuk agama, dibawa masuk sekaligus segala nilaian di persada fesyen. (Selipar nabi, kurma barokah, labuh panjang hijab, keberkatan mendukung jenama, Quran bersinar elektronik dan macam macam lagi). Fesyen adalah niaga, melibatkan berbillion wang, taktik konglomerat memastikan apakah jalur fesyen terkini, dengan jutaan manusia terlibat dalam industri tersebut perniagaan fesyen perlu diteruskan.
"Anak Kak Mah, kalau masuk bab-bab fesyen memang hebat! Tiada tandingan! Apakah dia dibayar oleh logo besar di dada atau bertuah ditaja?" Kita semua jadi terdiam, mungkin cemburu kekurangan dana.
Nota: Regina Ibrahim merupakan pengamal freeganism, tetap menyintai fesyen sepanjang hayat sebagai pemerhati yang tidak pahit. Kenimatan maksimal diperoleh bila mengolah temuan murah tampak mahal. Mata fesyen tajam tidak pernah menipu bila hadir di kedai jimat, kedai barangan terpakai dan menilai gelaran pre-loved. Tahu benar akan terma terma High End, Street Wear, Haunt Couture, Fast Fashion (yang berbunyi aneh bila diterjemah) Sebarang jenama TIDAK disebut dalam artikel ini kerana beliau percaya pada imbuhan menang-menang.
YOU ARE READING
NONEN
Non-FictionChallenges of a Transwoman. Self introduction. This is not a workshop to sell values and lifestyle. Just to nurture some understandings about ts living and working in Malaysia. Not to represent any NGO or to glamorize transsexuals life style...