Jam pada skrin telefon ditatap dengan mata yang kabur. Gosok-gosok mata sikit. Biar jelas pandangan. Pukul 5 pagi. Perut dia rasa lapar gila. Masa macam ni lah perut nak berbunyi. Elok-elok dah tidur, boleh terjaga sebab lapar.
Itulah tadi jual mahal sangat. Orang ajak turun makan tapi cakap tak ada selera. Inilah padahnya, kebulur tengah pagi buta. Zill pula tengah sedap tidur dekat sebelah. Nyenyak sangat.
Dia cuit bahu Zill pelan. Mana tahu kalau suami dia boleh terjaga. Tapi malangnya tidak. Langsung tiada tanda-tanda yang Zill akan bangun. Tidur mati agaknya.
"Zill..." Digoncang pula tubuh suami dia. Nak turun sendiri ke dapur, jangan harap. Dia penakut.
"Zill, bangunlah." Dia goncang lagi. Kali ini kuat, macam goncang pokok. Teruk Zill kena.
Nampaklah Zill mula bergerak tidak selesa. Dia gosok mata, dengan bibirnya cebik. Tidur dia benar-benar rasa terganggu. Dah kenapa pula isteri dia ni, kejut dia tengah tidur.
"Kenapa ni?" soal Zill dengan suara dia yang serak basah. Seksinya! Lampu tidur dibuka.
"Aku lapar, tak boleh nak tidur. Jom teman aku pergi dapur kejap, aku nak makan."
Ayesha dah bangun duduk bersila atas katil. Tunggu Zill saja yang masih terguling.
"Kau ni... Tadi tak nak makan, sekarang mulalah lapar." Pelan-pelan dia bangkit duduk bersila. Termenung.
Tangan Zill ditarik-tarik. Memaksa.
"Cepatlah Zill, cepatlah. Aku lapar ni."
Nak buat macam mana, terpaksalah dia layan karenah isteri dia. Macam ni rupanya rasa ada isteri. Nak tidur pun susah. Belum lagi ada anak, agaknya nanti lagi susah daripada ini.
"Iyalah, iyalah. Jom." Zill bangun dulu, dia jalan turun ke dapur, tersuluh-suluh dengan flash handphone. Dia tinggal Ayesha di belakang. Biasalah kaki pendek, lambat sikit kena tinggal.
Tiba-tiba lengan dia dipaut Ayesha. Dia terkejut lalu pandang pelik. Dia suluh lampu biar nampak muka mereka berdua.
"Kau kenapa pegang aku?" Dahi Zill berkerut. Nampak garang. Tadi kata orang tak boleh sentuh dia, tapi dia sentuh orang tak apa pula. Tak adil. Mengada perempuan ni.
"Takut."
"Cis, penakut. Nampak macam bekeng sangat. Tapi hampeh!" perli Zill.
Sampai mereka ke dapur, lampu dapur dibuka. Zill duduk di meja dapur. Termenung. Masih mengantuk, tidur dia tergantung gara-gara perempuan sewel itu.
Ayesha pula sibuk mengorek dan selongkar kabinet dapur, cari apa pun tak tahu. Semua pintu kabinet dia buka.
"Kau cari apa tu? Nak masak apa." Puas dia termenung, perhatikan Ayesha dari tadi. Kini dia bersuara. Tapi Ayesha diam. Buat tak endah.
"Yes! Jumpa pun." Akhirnya dia jumpa, mi segera. Itu yang dia cari dari tadi, sampai selongkar macam pencuri.
Zill bangun dan mendekati isterinya.
"Pergilah duduk. Biar aku masak untuk kau."
"Tak payah."
Pelawaannya ditolak. Jual mahal. Ikut dia lah. Zill kembali duduk.
"Alang-alang kau rajin tu, masak untuk aku sekali. Aku pun lapar ni." Geram. Nampak nak buat rajin sangat.
Ayesha kalih lipat ke arah Zill yang duduk dekat meja. Dia jeling. Suka hati kau nak suruh aku masak. Ingat aku ni orang gaji kau ke?
"Masaklah sendiri. Aku bukan orang gaji kau." Selamba dia suruh Zill masak sendiri. Kurang asam.
"Kalau macam tu, aku naik dululah. Kau duduk dekat dapur sorang-sorang. Aku mengantuk, nak sambung tidur." Tak banyak cakap, dia terus angkat punggung nak tinggal Ayesha.
"Okey, okey. Aku masakkan untuk kau. Janganlah tinggal aku sorang-sorang dekat sini."
Cepat-cepat dia berubah fikiran. Mana mahu dia kena tinggal dekat dapur sendirian. Nanti ada yang tidur dekat dapur sampai matahari terpacak dekat atas kepala. Dah kalau nak naik ke bilik, gelap. Takut. Solusinya tidur dekat dapur sajalah.
Zill kembali duduk. Muka serius tiada beriak. Cepat betul mood berubah. Kalau dah mengantuk jangan dibuat main. Nanti ada yang kena makan.
Sekali-sekala dia letak kepala atas meja, sementara tunggu Ayesha siap masak. Bolehlah dia lena sekejap. Tidur-tidur ayam.
"Nah untuk kau." Hentakkan mangkuk yang boleh tahan bising, buatkan Zill terkejut. Terus dia angkat kepala. Dia tenung Ayesha dengan tajam.
"Tak ikhlas ke? Kalau tak ikhlas ambillah kau makan. Aku tak nak." Mangkuk kaca itu ditolak sopan. Malaslah kalau orang tak ikhlas.
Ayesha balas renungan Zill. Dia mengeluh.
"Aku dah masak ni, makanlah. Tadi kau minta sangat, kata lapar kan?" Disua kembali mangkuk berisi mi segara tadi. Banyak songeh pula mamat ni.
"Ikhlas ke tak? Cakap dulu." Sebelah tangan dah pegang mangkuk. Sedia untuk makan.
"Ikhlas. Sebab kau sanggup bangun tidur semata-mata nak teman aku makan."
Okey. Nasib baik cakap ikhlas. Kalau tak memang tak makan dah. Malaslah kalau orang buat kita macam terdesak sangat. Tak seronok.
Terus dia sambar, makan. Tak cakap banyak dah. Makan punya makan, habislah. Licin mereka makan, yang kebulurnya Ayesha tapi nampak gayanya Zill pun dah macam orang kebulur.
"Duduklah. Biar aku basuh semua ni kejap."
Ayesha hanya balas dengan anggukan. Biarlah kalau Zill dah rajin sangat nak buat, biarkan. Lagipun dia memang malas. Tahu nak makan saja.
Selesai Zill cuci mangkuk, mereka terus naik ke bilik. Masuk saja bilik, Zill terus lompat atas katil. Tak bagi chance dah, nak sambung tidur terus. Takut Ayesha ajak dia borak lagi.
Tak sampai sepuluh minit dia berselubung dalam selimut, dia bangun balik. Tengok Ayesha dah tidur lena, siap berdengkur. Jam pada telefon bimbit dikerling. Dah nak masuk waktu subuh. Dia bangkit nak bersiap untuk solat subuh.
Lepas azan subuh berkumandang, dia segera tunaikan solat lalu dia sambung tidur balik. Ganti tidur yang terganggu semalam. Ayesha masih lagi tidur lena. Seronoklah tu, perut dah kenyang. Masing-masing lena.
***
"Bukan main ya kau semalam? Pegang-pegang aku. Betul-betul takut ke, atau kau sengaja nak pegang lengan aku yang sado ni? Kalau nak sentuh cakap, aku boleh bagi kau sentuh."
Lengan dia yang berurat itu diusap-usap, ditayangkan pula wajah yang riak. Berlagak betul.
"Eh! Sorry sikit. Tak ada masa aku nak sentuh kau, dah memang benda aku tengah takut pun. Gelap kut, agak-agaklah." Ayesha memberikan pandangan dingin. Tak hamak pun nak sentuh suami dia.
Rambut diikat kemas dan rapi. Tudung shawl dicapai lalu dia pakai. Tak rapikan sangat pun tak apa, nanti cabut juga bila dah keluar dari rumah.
Bab menjawab pula serah dekat dia. Paling jaguh. Pakej pula dengan nada tinggi, muka masam dan jelingan maut. Memang jenis dia.
"Tanya aje, mana tahu kalau nak. Kau bersiap-siap ni nak pergi mana? Tak nak turun makan ke?" Ayesha yang sudah selesai bersiap itu dia tenung seketika.
Orang sibuk tolong masak dekat dapur, dia duduk dalam bilik. Bila waktu orang nak turun makan, dia bersiap nak keluar pula. Tak reti-reti nak pergi tolong.