BAB 11
"Along tak nak balik ke?" soal Fadilah.
"Along banyak kerja la mama. Lagipun buat kenduri kecil-kecilan saja kan," Naqib sedaya upaya cuba mengawal suaranya. Ibunya tidak boleh tahu dia sedang menahan rasa. Hatinya sedang kecewa. Jiwanya kian sengsara. Segala-galanya sudah berakhir.
"Memang la majlis ni kecil-kecilan saja. Hanya keluarga terdekat saja yang hadir. Tapi Along kan anak mama, anak buah Mak Long. Selama ni kan Along rapat dengan mereka. Banyak sangat ke kerja tu. Balik sekejap pun tak boleh? Memang la perkahwinan ni tak dirancang. Tapi Along kena faham. Kita kan keluarga. Sara dan Anaspun kawan baik Along,"
Kawan baik? Entahlah. Naqib mengeluh perlahan. Menyentuh dahi lantas menyandarkan badannya ke kerusi. Melepaskan rasa penat yang dia sendiri tidak pasti apa puncanya. Yang pasti dia benar-benar tidak bermaya. Asap yang berkepul-kepul dari cawan kopi dipandang tanpa perasaan.
"Tengoklah macam mana mama. Kalau tak dapat balik hari esok, nanti-nantilah Along balik. Mereka akan faham kut. Along memang tak boleh cuti buat masa sekarang ni. Along kena uruskan projek penting," kali ini Naqib berharap sangat alasannya akan diterima. Tidak sanggup rasanya dia pulang semata-mata mahu menambahkan lagi luka di hati. Dia cuba untuk terima, dia mahu redha dengan ketentuan Ilahi, namun dia tidak sekuat yang disangka. Untuk menyebut nama Qaisarapun , lidahnya sudah terasa keras, inikan pula untuk melihat gadis yang sentiasa bertakhta di hati selama ini bakal menjadi hak mutlak lelaki lain. Ya Allah, dia benar-benar perlukan kekuatan untuk menghadapi semua ini.
"Errmm..ye la. Kalau nak balik beritahu mama,"
"Ya mama. Insya-Allah. Kirim salam pada Mak Long dan Pak Long. Ucapkan tahniah pada pengantin sekali," walaupun berat untuk dia menuturkan kata-kata itu, namun dia gagahi juga. Tidak mahu menimbulkan sebarang syak wasangka. Biarlah dia simpan 'rahsia' ini sendiri.
"Selamat pengantin baru Sara. Aku akan sentiasa mendoakan kebahagiaan kau," tanpa sedar bibir Naqib menuturkan kata-kata itu. Wajah cantik Sara berpakaian pengantin seakan-akan terbayang di ruang matanya.
Zap! Naqib tersentak sendiri. Teringat kembali perbualannya dengan ibunya semalam. Maknanya hari inilah perkahwinan Qaisara dengan Anas. Akhirnya kini dia benar-benar telah kehilangan Qaisara. Gadis yang bertakhta di hatinya sejak kecil. Cinta pertamanya. Benarlah kata orang, sakit kecewa disebabkan cinta pertama amat-amat memeritkan. Dia mengeluh kuat. Keluhan yang entah ke berapa ratus kali semenjak seminggu yang lalu. Peristiwa pahit itu benar-benar membelenggu dirinya. Walaupun dia tahu dia tidak akan mampu untuk mengundurkan masa namun pernah jua terdetik di hatinya mengharapkan semua itu hanyalah mimpi semata-mata. Mimpi ngeri akibat menaruh perasaan dalam diam terhadap sepupu sendiri.
Naqib beristigfar perlahan. Rasa berdosa pula apabila dia seakan-akan mahu menafikan semua itu. Segala-galanya adalah ketentuan-Nya. Dia seharusnya redha. Mungkin ini adalah yang terbaik yang Tuhan sudah aturkan untuknya. Menerima dan memulakan semula kehidupannya yang baru adalah langkah yang paling bijak. Namun, mampukah dia?
"Jauh Along termenung," tiba-tiba Nazim muncul. Membuka peti sejuk lalu mengeluarkan minuman sebelum menarik kerusi dan duduk berhadapan dengannya. Sejak dia berkerja di Kuala Lumpur, rumahnya telah menjadi tempat persinggahan adiknya sekiranya ada masa terluang.
"Hobi," jawapan Naqib yang bersahaja begitu membuatkan Nazim merenung abangnya dengan pandangan yang pelik. Pelik bagi seorang lelaki yang bernama Naqib memberikan jawapan yang agak kurang 'cerdik'. Biasanya hanya Qaisara yang mampu menukarkan perwatakan abangnya setiap kali mereka duduk bersama.
"Hobi ke frust?" Nazim mengangkat kening. Cuba menduga walaupun dia seakan-akan yakin apa yang bermain di dalam kepala abangnya saat itu.
"Frust? Frust untuk apa?" Naqib berpura-pura tidak mengerti. Terlebih bijak pula adiknya kali ini. Nampak sangat ke dia sedang kecewa? Dia menguntum senyum tipis. Cuba menyembunyikan kebenaran.
YOU ARE READING
SIGNAL HATI [ COMPLETED ]
General Fiction"Alamak! Signal hati dah nak kena servis gamaknya!" Pantang berjumpa pasti Qaisara dan Naqib akan mencetuskan perang mulut yang tiada kesudahan. "Kau ingat nikah kahwin ni macam gula-gula ke? Boleh rasa-rasa. Eh, kejap! Yang kau tiba-tiba tanya aku...