**Koloni Miu, Hari Ketiga, Jam 0719**Syiho dan Irvn kelihatan sedang sibuk mengagih-agihkan sarapan kepada sekurang-kurangnya seribu pelarian yang berada di Kapal Charon 10 yang sedang terapung di atas permukaan Lautan Tethys.
"Cukupkah?" Syiho bertanya kepada Irvn setelah mereka tiba ke kumpulan pelarian terakhir yang berada di kapal itu.
"Cukup. Ada lebih sedikit lagi," Jawab Irvn sambil memperlihatkan beberapa bekas polisterin yang masih berbaki di troli yang disorongnya.
"Kita ambil dua bekas untuk sarapan. Bakinya beri kepada kakitangan koloni. Err...cukupkah dua? Kalau tak cukup, saya boleh masakkan mi segera untuk Irvn," Syiho meminta kepastian.
"Haha cukup cukup. Syiho jangan risau pasal saya," Irvn tersengih-sengih.
"Bukan risau. Saya kasihan tengok Irvn. Dalam keadaan Irvn begini pun masih mahu bekerja." Syiho memaut lengan kanan Irvn untuk menolong pemuda itu berjalan.
Kaki kiri yang patah memaksa si pemuda untuk menggunakan tongkat. Terhinjut-hinjut dia berjalan ke luar kapal dengan pertolongan Syiho. Di luar, sebuah Land Cruiser anti-graviti sedang terapung-apung beberapa meter di atas permukaan laut.
"Saya okey saja, jangan risau. Malah, saya sangat gembira dan bersyukur kerana dapat balik ke sini dengan bernyawa. Setakat kaki patah ini apalah sangat. Kalau saya menggunakan alasan kecederaan sekecil ini untuk berehat-rehat, malulah saya kepada Encik Nicke di sana itu. Dia itu bukan calang-calang orang, tetapi sedikit pun dia tidak berkira untuk melakukan kerja yang tidak sepatutnya dia lakukan," Irvn berkata sambil menunjuk kepada Nicke dan Encik Nelson yang berada di luar sebuah kapal angkasa lain tidak jauh dari situ.
Nicke sedang memasukkan troli-troli makanan ke belakang sebuah van anti-graviti. Seketika kemudian, pemuda itu masuk ke tempat duduk pemandu. Diikuti dengan Encik Nelson yang mengambil tempat di sebelahnya. Enjin van dihidupkan lalu ia terbang ke arah Syiho dan Irvn yang baru hendak menaiki Land Cruiser.
"Adik, makanan kat sini dah habis. Cukup-cukup untuk kesemua pelarian di kapal kat sana itu. Adik ada lebih tidak?" Nicke bertanya sambil menjenguk dari tingkap van.
"Ada dalam empat, lima bekas," Syiho menjawab.
"Bagus. Adik bawanya ke pejabat Pak Ryan. Kita sarapan sama-sama kat sana ye dik," Ujar Nicke.
Van itu kemudian terbang ke atas, menuju ke koloni. Syiho dan Irvn menyusul dengan menaiki Land Cruiser.
**Pejabat Pak Ryan, Koloni Miu**
Nicke, Syiho, Irvn, dan Encik Nelson sedang berkumpul di ruang tamu di bilik Pak Ryan untuk menikmati sarapan pagi. Menu sarapan mereka pada hari itu adalah burger daging dan kopi 3-dalam-1. Sambil bersarapan, mereka berbincang mengenai peristiwa yang berlaku baru-baru ini.
"Abang, apa akan jadi pada planet ni setelah kita balik ke bumi nanti?" Syiho bertanya.
"Maksud adik...?" Nicke menyoal semula sambil menghirup kopi.
"Adakah Nugoeihuvi akan kembali ke sini untuk membangunkan semula planet ini?" Syiho memperjelaskan.
"Tidak, dik. Untuk mendirikan semula kota-kota di planet ini, mereka perlu menghapuskan mutan-mutan yang kini sedang 'menjajah' kota-kota tersebut. Itu tidak mungkin kerana undang-undang penerokaan angkasa lepas melarang kita dari menghapuskan penduduk asli satu-satu planet itu tanpa sebab yang munasabah," Nicke menjelaskan.
Syiho mengangguk-angguk tanda mengerti. Baginya itu adalah keputusan yang adil dan terbaik. Manusia berhijrah ke planet ini tanpa mengetahui ia berpenghuni, dan kini penghuninya muncul tanpa memberi ruang sedikit pun kepada perundingan. Kemungkinan mutan-mutan ini hanya haiwan buas yang mempunyai naluri untuk makan semata-mata. Tetapi itu bukan alasan untuk kita sewenang-wenangnya menafikan hak mereka untuk hidup. Kita ini manusia. Atas dasar perikemanusiaan, kita memilih untuk mengalah dan berundur. Itu adalah yang terbaik.
YOU ARE READING
MR-90
Science FictionMalaysia Tahun 2115 Masihi. Watak utama, Syiho dan abangkatnya, Nicke, menyertai ekspedisi sains ke Planet MR-90 yang terletak 80 tahun cahaya dari bumi. Di sana, mereka mengalami pengalaman penerokaan yang tidak pernah mereka rasai sebelum ini.