BOT yang meluncur laju, kian perlahan. Akhirnya berhenti di tepi jeti. Rambut yang agak serabai ditiup angin dirapikan dengan kemas. Zip beg dibuka, mengeluarkan durag berwarna merah lalu diikat dikepala. Menghalang angin daripada merosakkan rambut cantiknya lagi. Kemudian sebelah mata ditutup dengan eye patch berwarna hitam. Tidak perlu tahu mengapa ia ditutup. Cukuplah dia sendiri tahu apa sebabnya.
Sekali pandang, gayanya memang tak ubah seperti seorang...
"Abang Lanun!" gelaran itu diseru dengan kuat bersama nada teruja. Kehadirannya seolah-olah seorang putera raja turun padang berjumpa rakyatnya. Begitulah dia disambut saat turun daripada bot. Orang-orang kampung yang jumlahnya tidak begitu ramai terus berlari ke si dia.
Si Lanun. Ya. Itulah nama panggilan yang sesuai buatnya. Hampir setiap hari mengelilingi pulau semata-mata untuk memastikan kawasan mereka selamat diduduki dan tidak diceroboh oleh penunggu laut disebelah pulau sana.
"Hey, si comel..." Dia terus melutut di hadapan seorang budak perempuan yang berpakaian lusuh. Bau laut sudah sebati dihidungnya. Sesekali pipi yang comot disebabkan asap kayu arang itu digosok-gosok perlahan. Membersihkan wajah itu agar dia bisa melihat kecomelan yang sebenar.
Senyuman tak pernah hilang dari bibirnya. Melihat orang-orang kampung disini tampak sihat belaka, buatkan jiwanya turut terasa senang.
"Ko endak rindu sama sa ka?" Soal lelaki itu. Tepat anak mata hazelnya merenung mata hitam si kecil itu.
Budak kecil itu mengangguk kepala.
"Rindu." Jawabnya sepatah bersama senyuman. Membuatkan bibir lelaki itu makin melebar.
"Nakakan ko no?" (Dah makan?)
Dia menggeleng.
"Nokuro?" (Kenapa) Keningnya berkerut. Riak wajah bertukar kerisauan. Bimbang jika budak kecil ini tidak makan berhari-hari semasa ketiadaan dia disini. Bagaimana kalau nanti terkena penyakit yang serius? Bukankah akan buat dia lebih risau?
"Tunggu Tabang (abang) balik." Katanya.
Membuatkan lelaki itu tergelak kecil. Sanggup kelaparan semata-mata menunggu dia datang ke sini semula?
"Bagaimana kalo sa tak balik? Ko mau berlapar ka? Jangan buat begitu lagi, bah. Nasib baik sa ada bawa balik taakanon (makanan) untuk ko. Nah, kasi sama adik sekali. Dan jangan lupa kongsi sama tambalut (kawan) yang lain." Ujarnya siap memberi nasihat. Beg plastik yang penuh berisi makanan ringan diserahkan kepada budak kecil itu. Jelas diriak wajahnya penuh kegembiraan.
Dia pasti, Lanun akan membawa pulang sesuatu yang berharga buat mereka semua. Terus tubuh lelaki itu dipeluk. Lanun juga membalas pelukannya. Dia juga rindu untuk peluk mereka semua walaupun cuma tiga hari membawa diri.
"Pounsikou." Bisik budak kecil itu tanda terima kasih. Kemudian, pelukan dileraikan. Tidak sabar ingin berkongsi makanan dengan rakan-rakan yang lain, lantas dia terus berlari ke pondok kayu yang dibina sendiri. Bersama-sama menikmati makanan ringan disitu. Seronok Lanun melihat mereka yang pandai berkongsi rezeki. Langsung tidak berebut.
"Lanun mau sa buat air ka? Kau pasti laparkan?" Pelawa seorang mak cik. Dia pasti, orang jauh itu pasti dahaga semasa perjalanan ke sini. Namun Lanun menggeleng. Dia langsung berdiri. Memandang setiap wajah orang kampung yang jelas kepenatan. Pasti banyak kerja yang mereka lakukan.
"Endak apa, bah. Sa dah kenyang. Kamu semua boleh pergi balik ke rumah masing-masing. Rahat." Ujarnya. Mereka menurut arahan. Lantas orang-orang kampung itu pun bersurai balik ke rumah. Ada yang pergi menyambut semula kerja mereka mengait jala ikan yang sudah terkoyak.
Cuma tinggal tiga orang sahaja yang masih kekal berdiri di hadapannya. Tiga beradik kembar. Dua lelaki dan seorang perempuan. Arjuna, Rajuna dan Ratna. Sedang tersengih menampakkan gigi mereka yang bersinar.
"Tercegat buat apa lagi? Tolong abang angkat beg baju ni." Dingin sahaja suara Lanun memberi arahan. Mana tidaknya, dia seorang sahaja yang bersusah-payah angkat beg bagasi yang berat seorang diri.
Senyuman mereka terus mati. Bibir mencebir. Heh, dah kenal sangat dengan perangai si Lanun tu! Dengan orang kampung bukan main lembut lagi suaranya. Sampai ke kami bertiga, terus bertukar jadi ikan jerung.
Tanpa banyak bicara, Arjuna dan Rajuna langsung mara ke arah bot. Membawa keluar beg bagasi yang berada di sana.
"Nanti abang balik ke darat semula ke?" Soal Ratna.
Lanun angguk kepala. "Haah. Ada banyak kerja lagi yang perlu diselesaikan."
"Kalau tak payah pergi tak boleh ke?"
"Kenapa pula?"
Ratna mengeluh. Dia melangkah menghampiri Lanun.
"Sejak abang pergi ke darat, macam-macam benda jadi tahu tak? Kami tak pandai nak jaga kampung ni. Ada orang kampung yang keluar senyap-senyap waktu malam. Sampai sekarang tak balik. Kami pun tak tahu mereka dekat mana?" Keluh Ratna. Bunyinya macam serabut benar untuk menjaga keselamatan kampung kecil ini. Biarpun bilangan orang disini tidak sampai 50 orang, tetapi ia tetap memeningkan kepala. Jaga harimau pun tak susah macam ini tau!
"Betul tu, bang. Entah-entah... diaorang dah kena tangkap dengan penunggu laut?" Sampuk Rajuna.
Arjuna mengangguk tanda sokong. "Kan? Tak pun... dah meninggal."
"Hei, jaga sikit mulut tu!" Tegur Lanun, garang. Terus Arjuna tunduk kepala. Masin sangat mulut, tak pasal-pasal kena marah.
"Doakan yang baik-baik sudahlah. Jangan nak fikir buruk sangat. Mereka yang degil keluar daripada kampung ini, apa yang jadi selepas itu mereka yang akan tanggung nasib sendiri. Bukannya abang tak pernah cerita apa yang akan jadi kalau mereka keluar sesuka hati." Dingin Lanun berkata. Beg terakhir yang berada di dalam beg digalas disebelah bahunya.
"Sudah! Abang penat, nak rehat." Katanya sekali lalu melangkah meninggalkan mereka bertiga.
"Buah tangan untuk kami tak ada ke?" Soal Rajuna. Ingatkan dah tolong angkat beg dapat hadiah istimewa.
"Dalam beg ada mi segera." Balas Lanun acuh tak acuh tanpa menoleh ke belakang.
Mendengarnya terus mata mereka membulat. Bibir automatik menyengih. Serentak pandangan mereka beralih ke arah satu-satunya beg yang dipegang Arjuna. Dah lama tak makan mi segera, perut pun memang dah lapar. Apa tunggu lagi?
Seranglah!
"Eh, apa ni! Sabarlah. Abang beli banyakkan?" Cepat-cepat Arjuna mengangkat beg itu setingi-tingginya daripada dirampas oleh Rajuna dan Ratna. Mereka berdua ni bukan boleh, nanti semuanya nak dihabiskan. Bukan senang nak bawa makanan segera ke sini!
MALAM menjelma kembali. Perlahan-lahan kereta itu memasuki halaman rumah agam milik Dato Idris. Setelah diparkir, Husna melangkah keluar daripada perut kereta. Lama juga dia keluar dari rumah. Tidak ke mana pun, cuma pusing-pusing di bandar ini. Biarkan diri terperangkap di dalan kesesakan jalan raya dan termenung kosonh. Sekurang-kurangnya dapatlah redakan sedikit kemarahan di dada.
"Anak dara apa balik malam-malam macam ni?"
Baru sahaja dia masuk ke rumah, suara Dato Idris sudah menegur dengan dingin. Husna mengeluh berat. Sebelah tangan naik memicit kepala. Apalagi sekarang ni?