Bab 9

108 7 0
                                    


Dalam membantah dan tidak mahu ikut, akhirnya di sini juga Embun. Di dalam satu kereta bersama Faid. Suasana luar tingkap kereta dipandang. Dia jarang menaiki pacuan empat roda ini. Selalunya bas ataupun jalan kaki sahaja.

"Kau tak nak tanya kita nak pergi mana?" soal Faid memecahkan kesunyian antara mereka. Tidak betah duduk dalam keadaan begini.

"Tak nak asalkan kau bayar gaji aku," ujarnya senada. Tumpuan masih difokuskan ke luar.

Bibir Faid tersengih. "Nanti mesej aku nombor akaun kau."

Embun diam tidak membalas. Namun tangan bergerak menggeledah beg mencari telefon. Jumpa sahaja, laju jarinya menaip sesuatu.

Ting!

Bunyi notifikasi dari telefon menyentakkan pemanduan Faid.

"Aku dah bagi nombor akaun aku. Jangan buat-buat lupa pula." Lantas disimpan kembali telefonnya. Tumpuan kembali terarah ke luar.

Kening Faid terjongket. Amboi. Stereng kereta diputar ke kiri. Pemanduan diperlahankan. Matanya tercari-cari ruang parking kosong.

Embun sedikit tergamam melihat masjid di depannya. Dia menoleh sekilas ke sebelah. "Kita buat apa kat sini?"

Faid membuka seatbelt tanpa matikan enjin kereta. Pertanyaan itu diabaikan sebentar. Tangannya mencapai telefon. Pintu kereta dibuka. Setelah tubuh tinggi lampainya keluar, dia condongkan sedikit badan. Matanya membalas pandangan Embun yang dari tadi mentap ke arahnya.

"Aku nak solat sekejap, dah masuk waktu zuhur. Kau tunggu sini."

Teragak-agak Embun ingin mengangguk.

Bibir Faid tersenyum sedikit. Tubuh ditegakkan semula. Pintu kereta ditutup perlahan sebelum kakinya melangkah santai.

Embun tidak lepas memerhati kelakuan Faid sehingga tubuh tinggi lampai itu berjalan ke arah masjid. Sempat lelaki itu bersalaman dengan beberapa orang lelaki separuh baya. Kemudian, matanya beralih melihat beberapa orang perempuan berjalan masuk ke dalam
masjid.

Solat? Rasanya dia sudah lupa tentang ibadah yang satu itu. Kali terakhir Embun solat waktu tingkatan dua, waktu di mana murid sesi petang diwajibkan untuk solat zuhur serta asar berjemaah di surau sekolah.

Embun menunggu selama dua puluh minit, apabila merasa bosan, telefon dicapai. Mesej terbaru dari Faid dilihat pelik. Bilakah mesej ini sampai? Dia tidak tahu kerana telefonnya telah ditetapkan dengan mode silent.

Jarinya lincah membuka isi mesej itu. Faid memberi satu pdf. Laju Embun buka. Bagai nak terjojol biji matanya tatkala angka yang diberi melebihi gajinya sebulan.

Tiga ribu ringgit.

Bukti aku dah bagi gaji kau...

Mesej itu dipandang kosong. Kadang dia pelik dengan Faid. Bila dilihat cara pakaian lelaki itu pasti harganya mahal. Faid juga memakai iPhone keluaran terbaru. Walaupun dia sedikit bodoh tentang barangan berjenama, namun Embun tahu juga serba sedikit.

Faid datang mengambilnya hari ini dengan menaiki kereta Honda Civic type r yang terbaru. Selalunya lelaki itu hanya memakai superbike sahaja.

Lantas satu tubuh yang baru keluar masjid direnung dalam. Rambut lelaki itu juga basah. Faid sedang rancak berbual dengan seorang lelaki berpakaian jubah putih.

Seberapa kaya lelaki ini?







LELAKI bertubuh tegap yang berada disebelah suaminya menggusarkan sekeping hati Melly. Dia melarikan pandangan tatkala mata mereka bertembung.

"Darling kenalkan, Donzello Lanzo Santos. Rakan sekerja saya dari Itali. He is the businessman I always talk about but you must know him. He is a famous businessman in Italy." Firash memperkenalkan lelaki itu kepada isterinya tanpa rasa sangsi.

Donzello menghulurkan tangannya kepada Melly yang berada di depan mereka berdua.

"You can call me Donz."

Melly makin gelisah. Namun lirikan mata suaminya memaksa dia untuk menyambut huluran salam lelaki itu.

"Melly..." ujarnya separuh berbisik.

Donzello menggengam erat tangan mulus wanita itu. Bibirnya terjungkit senyuman cukup untuk mereka berdua sahaja yang tahu.

Laju Melly menarik tangannya. Dia memandang Firash. "Saya nak balik dulu lah, penat baru habis shooting. Awak berbual lah berdua." Melly terburu-buru bangun dari kerusi. Bunyi seretan kerusi bergema.

"You don't want join us to eat?" suara serak basah Donzello mematikan langkahnya. Bibir terketap kuat. Tali beg digenggam erat.

"Jom Melly kita makan sama-sama. Awak pun mesti belum makan," ujar Firash bersetuju. Bersahaja mimik wajahnya.

Ayat suaminya yang bercampur arahan membuatkan Melly kembali duduk dengan penuh keterpaksaan. Kedua tangannya yang menggigil digenggam kuat.

"So Donz, kau duduk Malaysia lama ke?" Firash memulakan bicara.

"Mungkin sampai hotel baru aku dekat sini siap. Baru aku fly balik ke Itali." Meskipun ada sedikit pelatnya, namun cukup jelas bahasa Melayu yang ditutur Donzello.

"Wow, aku kagum dengan kau sebab dah banyak hotel yang kau bina." Firash cukup menjadikan Donzello idolanya dalam bisnes.

"Tapi aku masih sedang mencari beberapa pelukis untuk mengajak mereka kolaborasi dengan hotel aku. Boleh kau cadangkan beberapa orang?"

Melly dari tadi menjadi pendengar setia.
Baginya bahasa Melayu Donzello makin membaik walaupun sedikit kedengaran baku.

"Kalau dalam hal ni aku cuma tinggalkan untuk PA aku urus. Kenapa susah payah kau nak cari sendiri?" Firash menyoal hairan.

"Aku nak kerja yang sempurna dan pantas," jawabnya ringkas.

Firash terangguk-angguk memahami. Selain tegas, Donzello juga terkenal dengan sifat yang ingin kerja sentiasa sempurna. Tidak mahu cacat cela.

"Aku tak berapa tahu tentang pelukis di sini sebab aku jarang balik Malaysia...Melly, awak kenalkan beberapa pelukis kat sini? Tolong suggest untuk Donz. Pelukis yang teliti dan berpengalaman."

Tatapan Donzello menghunus kearah Melly. Tubuh Melly sedikit mengeras apabila namanya dipetik. Dia seakan terpinga-pinga. Namun tatapan dari lelaki-lelaki di depannya membuatkan Melly terus membuka mulut laju.

"Saya kenal sorang tu tapi sekarang dia dekat luar negara. Selebihnya saya kenal yang masih muda lagi," tuturnya senafas.

"Itu aje awak kenal? Takde yang lain? Kalau boleh tak nak yang muda. Yang berusia sikit sebab mereka lebih banyak pengalaman. Orang kata dah terlebih makan garam."

Melly geleng sahaja kepala. Sebenarnya
otaknya sedang blank. Ramai sahaja pelukis di tanah air ini dia kenal, namun tatapan tajam Donzello acap kali membuatnya salah tingkah.

"Tak apa, tolong kenalkan aku dengan orang tu. Bagi aku jumpa dia dulu untuk tengok hasil lukisan dia," arah Donzello.

"Melly nanti awak tolong uruskan hal ni."

Mata Melly membulat. Dia ingin membantah tetapi Firash memberi amaran dari pandangan matanya. Dengan penuh keterpaksaan, Melly angguk bersetuju.

Penawar Untuk EmbunWhere stories live. Discover now