BAB 17

0 0 0
                                    

"BERSEMANGAT nampak, hari ni? Sampai sanggup tutup salun. Hari Ahad pulak tu!" Nurin menegur ketika mereka dalam perjalanan menuju ke Subang Jaya.

Luna tersenyum penuh makna. "Aku sanggup buat apa saja yang aku rasa berbaloi untuk aku. Untuk masa depan aku. Kau takkan faham. Kau hanya akan faham bila kau duduk di tempat aku."

"Tak perlu duduk tempat kau pun aku dah faham. Kita ni sepupu. Aku boleh rasa apa yang kau rasa. Cuma aku nasihatkan kau, jangan terlalu mengharap."

Luna mencemik mendengar teguran Nurin itu. 'Eleh... apa yang dia tahu? Bercinta pun tak pernah, ada hati nak nasihatkan aku.'

Tiba-tiba telefon bimbitnya di dalam beg tangan berbunyi. Dibiarkan sahaja kerana itu hanyalah tanda SMS diterima.

Sebaik sahaja ternampak blok bangunan kedai yang ingin dituju, melingas matanya mencari parkir. Agak jauh juga parkir kosong yang ada. Apa pun, itu sudah memadai asalkan dia dapat ke situ.

Sebelum mematikan enjin kereta, dia sempat membaca SMS yang diterimanya tadi. Tersenyum senang dia dibuatnya. "Kawan-kawan aku dah sampai. Jomlah,"ujarnya.

Nurin mengangguk. Telatah Luna perlu dituruti. Kalau tidak, boleh bergaduh jadinya. Dia terus mengekori langkah Luna yang tangkas dan lincah. Sehingga ada ketikanya dia terpaksa lari-lari anak supaya dapat menyaingi Luna. Sepupunya itu memang gelojoh, tetapi tidak mahu mengaku. Hatinya sempat mengkritik.

Setibanya mereka di pintu masuk sebuah butik yang diberi nama First Collection, Luna memperkemaskan diri serba ringkas. Dia berdeham beberapa kali dan menarik nafas panjang. Setelah berasa yakin, barulah dia melangkah masuk.

Menggeleng Nurin memerhatikan gelagat Luna itu. Dia turut melangkah masuk ke butik itu dengan penuh rasa kagum. Butik itu nampak mewah. Menyerlahkan ciri-ciri keunggulannya sebagai butik yang amat mementingkan kualiti. Matanya meliar memerhatikan kain-kain yang digantung kemas. Semuanya cantik-cantik belaka. Matanya mula rambang, ingin sahaja dicapai segala yang berkenan di hati.

"Hah... itu pun Luna dah sampai." Nafisah yang sedang melayani tujuh orang kawan-kawan Luna, menyapa. "Kawan-kawan Luna ni pun baru saja sampai," tuturnya dengan senyuman manis.

Mereka saling teruja dapat bertemu, berbalas-balas melaga pipi dalam pertemuan itu.

"Hai... dah ada yang memilih, nampak? Tak tunggu aku dah!" Luna berlawak apabila melihat salah seorang rakannya sudah memegang sepasang kain ela.

"Tunggu kau lambat sangatlah, Luna. Tangan aku ni dah rasa gatal," sambut si teman,mengundang ketawa yang lain.

"Eh, Nurin pun ada sekali? Tak jaga salun ke?" Nafisah sedikit terkejut melihat Nurin sedang membelek koleksi kainnya di satu sudut yang lain.

Nurin menghampiri Nafisah sebelum tunduk hormat bersalam dengan mereka yang berada di situ.

"Luna tutup salun hari ni, auntie. Kebetulan kami pun dah lama tak tutup salun tu. Bagilah staf berehat sikit. Kerja hari-hari ni boleh tertekan juga, auntie," sahut Luna. Nurin mengiakan sahaja.

"Auntie... inilah Rosie, fashion designer. Dia sekarang dah ada butik pengantin, baru saja ambil alih daripada kakak dia. Sekarang ni, dia tengah gila nak design baju pengantin. Nak tambah koleksi kat butik, katanya," tutur Luna.

"Eh... baguslah tu! Nak maju, kenalah usaha lebih sikit. Walaupun butik tu diuruskan oleh kakaknya sebelum ni, kita kena cari jalan supaya makin ramai orang yang tahu kewujudan butik tu. Bila dah ramai tahu, mesti ramai yang nak cuba. Kena banyakkan rekaan baju-baju pengantin yang terkini. Fesyen lama-lama ni tak payahlah pakai lagi." Nafisah seperti biasa, memberi nasihat dalam kata-katanya.

"Memanglah, auntie... sebab tu saya tak sabar-sabar nak design baju pengantin. Saya nak cari fabrik yang terkini. Banyak majalah saya beli untuk buat rujukan. Kat butik saya tu, banyak fesyen kekampungan sikit. Kakak saya dah tak larat nak uruskan, sebab tu dia serah pada saya untuk diuruskan," jelas Rosie bersemangat.

"Baguslah... kalau macam ni, auntie nak ambil pakej pengantin kat butik kamulah, Rosie."

"Dah tentu boleh, auntie...  saya akan bagi pakej yang terbaik untuk auntie. Tip top!" Rosie memetik jari tanda pasti.

Nafisah melebarkan senyuman. Untung juga dia dapat berkenalan dengan kawan-kawan Luna. "Majlis tu tak sampai sebulan aje lagi, Rosie. Lagi tiga minggu aje. Sempat ke kalau auntie buat tempahan sekarang?"

"Untuk auntie, saya akan pastikan siap pada masanya. Kalau betul auntie nak, esok auntie datanglah ke butik saya. Boleh kita bincang panjang lebar. Ni kad saya," ujar Rosie, seraya menghulurkan kad bisnesnya kepada Nafisah.

Berkerut-kerut dahi Luna cuba menangkap maksud kata-kata Nafisah. Siapa yang mahu kahwin? Dia tidak faham. "Untuk majlis siapa ni, auntie? Anak saudara auntie ke?"

"Hisy! Anak saudara apanya? Anak sendirilah! Mus tu, dah nak kahwin pun bulan depan. Baru minggu lepas dia bertunang. Tak naklah biar dia bertunang lama-lama," balas Nafisah ceria.

Bagai hendak gugur jantung Luna mendengarnya. Lututnya terasa longlai. Muszahri akan berkahwin? Bulan depan? Oh, tidak!!!

"AKU tak percaya! Tak percaya!" Luna meraung-raung di dalam bilik setelah pulang dari butik Nafisah. Dari dalam kereta lagi sudah ditahan-tahan dirinya agar tidak menangis, biarpun setitis dua air matanya tetap gugur.

"Aku sendiri dengar dengan telinga aku Auntie Nafisah sebut nama Muszahri. Takkan aku salah dengar? Memang Mus yang nak kahwin. Walau macam mana pun, kau kena percaya jugak." Nurin cuba memujuk.

Bantal di atas katilnya ditumbuk bertalu-talu, melepaskan geram. Nurin sekadar berdiri di sudut bilik sepupunya itu, membiarkan. Mungkin dengan cara itu, Luna akan berasa lega.

"Susah payah aku buat macam-macam. Macam mana Nafisah tu tak nampak? Buta ke? Dia nak aku buat macam mana lagi baru dia nampak semua kebaikan aku? Entah dengan siapa si Mus tu nak kahwin," cemuh Luna dengan amarah yang membakar.

Nurin mencebik. Huh, kebaikan konon! "Sudahlah tu. Mungkin tu pilihan Mus sendiri. Kau kena positif, Luna. Jangan ikutkan sangat perasaan tu."

"Ah, aku tak percaya! Nafisah tak pernah pun beritahu aku yang Mus tu ada kekasih. Aku tak percaya! Aku dapat rasakan, ni semua Nafisah punya rancangan." Luna menyambung tangisannya. Perasaan marah dan sakit hati bersatu menjadi 'penyakit' dalam jiwanya.

Nurin sudah tidak tahu bagaimana mahu menasihati Luna lagi. Keras kepala Luna semakin menjadi-jadi. Kalau itu yang dia mahu, itu juga yang dia hendak. Tidak boleh tidak.

"Aku akan pastikan dia tak jadi kahwin. Aku akan pastikan! Mus tu hanya untuk aku sorang! Hanya aku yang boleh kahwin dengan dia. Tiga minggu lagi... sempat lagi nak putuskan hubungan Mus dengan tunang dia tu. Aku akan hancurkan!" rasuk Luna kian menggila. Dia mencapai apa saja yang berada di hadapannya. Semua itu menjadi bahan hentamannya ke lantai.

"Hei, Hei..." jerkah Nurin. "Kau reti sabar ke tak, hah? Cuba bertindak guna akal sikit. Jangan bagi malu orang perempuan dengan tindakan bodoh kau ni! Kalau Auntie Nafisah tahu perangai kau macam ni, hidup kau akan lebih rasa hina lagi." Dia cuba menyedarkan Luna tentang hakikat itu. Luna kalau sudah diamuk perasaanx bodohnya jadi bertimpa-timpa.

"Ingat... guna akal, bukan lutut buruk kau tu! Nak merampas, kena ada caranya. Nampak macam tak ada apa-apa, tapi senyap-senyap kau dapat apa yang kau nak. Faham?" bebel Nurin lagi. Dijeling sepupunya itu sebelum keluar dari situ.

Baru kali ini Luna terfikir-fikir akan kata-kata sepupunya itu. Memang benar... tapi bagaimana caranya? Sedangkan dia tidak sanggup Muszahri dirampas daripadanya. Dia mahu memastikan lelaki itu akan berkahwin dengannya sahaja. Akalnya ligat bekerja, lebih keras daripada biasa.

Cinta Aku SeadanyaWhere stories live. Discover now