Oleh : Syeraho
Pandangan mata Hafiz melekap pada skrin laptop, sesekali sepintas cuma pandangannya jatuh pada jari-jemarinya yang sedang rancak menekan-nekan butang pada papan kekunci laptopnya. Seketika kemudian tangannya mencapai tetikus lalu mengklik punat pada jari telunjuknya, kemudian tersandar lalu tersenyum. Puas.
Gelas berisi Oreo Milkshake dicapai lalu disedut perlahan-lahan isinya. Sedap. Milkshake di Secret Recipe memang tidak pernah mengecewakan. Hafiz menjauhkan semula gelas itu, dan mencapai kembali tetikus miliknya. Roda kecil di bahagian tengah tetikus itu diputar-putar, menggerakkan paparan newsfeed facebook miliknya terus ke bawah.
Ah, ada notification muncul.
Baharu beberapa minit selepas post terbarunya dimuat naik ke dalam page yang dikendalikannya, 'like' dan komentar manusia laju mendesup mula membanjiri. Hafiz merasa puas dengan perkembangan itu. Komentar baik atau buruk, dia peduli apa. Yang penting, populariti page miliknya semakin meluas.
"Eh kau ada tengok tak post viral kat page Oh Dunia baru-baru ni?" satu suara wanita sayup-sayup memecah keheningan di telinga Hafiz. Ah, itu page aku, gerutu Hafiz dalam hati. Selang satu meja di hadapannya, kelihatan dua orang wanita bertudung duduk di hadapannya sambil membelek menu. Seketika mereka memesan sesuatu daripada pelayan yang berdiri di tepi mereka.
"Oh yang pasal seorang perempuan ni kantoi ada skandal dengan ustaz selebriti tu ke?" wanita di hadapan wanita pertama tadi pula mengujar, setelah pelayan tersebut beredar.
"Haa yang tu lah. Yang sekali dengan gambar diorang berdua pergi makan kat restoran mewah tu. Kecoh sampai masuk TV. Ustaz tu pun dah kahwin kot," wanita pertama itu mengiyakan.
"Tapi macam susah nak percaya. Bukan gamba edit photoshop kan?"
Hafiz tersengih sinis mendengarnya. Hello, kalau setakat gambar edit guna photoshop tak lakulah hendak dijadikan cerita sensasi. Itu gambar yang dihantar terus oleh kawan dia yang nampak hal itu dan cepat-cepat menangkapnya. Tidak pula bertanyakan terus pada ustaz tersebut. Ah, buat apa tanya? Siapa hendak mengaku salah sendiri kan? Elok dijadikan paparan agar semua dapat ambil iktibar. Begitu fikir Hafiz.
"Media sosial ni kadang cerita macam-macam. Budak perempuan tu, sapa nama dia... aa...," wanita pertama itu cuba mengingat.
"...Ha, Laila, ke Laili? Lebih kurang la. Dia ada letak status terbuka yang menafikan benda tu semua. Tapi macam orang tak ambil perhatian sangat penjelasan dia. Aku tengok semua orang duk bash dia lagi adalah," sambung wanita pertama itu.
Hafiz menyedut lagi Oreo Milkshake miliknya. Sudah kantoi bersalah baru hendak buat cerita nak cover malu, siapa hendak percaya? Hafiz menyampuk sinis dalam hati, seolah-olah dia berada di ruang perbincangan dua wanita itu.
"Sekarang semua benda cepat viral. Salah sikit pun aib dia semua orang tau, semua orang share,"
"Mungkin, mungkin macam tu lah agaknya kat akhirat nanti. Hari ni kita share aib orang kat orang lain, esok-esok takut Allah buka aib kita kat satu dunia je,"
Makanan mereka pun sampai. Perbualan mereka terhenti seketika.
Oreo Milkshake disedut habis isinya. Hafiz menutup laptopnya. Dia bangun dan ingin terus membayar.
Huh, bajet ustazah pulak. Yang kau orang pergi layan page aku pun apahal? Kat dunia ini nak tegur orang kena bagi viral aib dia, baru dia malu nak buat jahat lagi. Lebih baik malu di dunia dari malu di akhirat, kan? Kau orang apa tahu? Hafiz membebel-bebel daam hati dengan muka yang sedikit mencerut. Tersindir sendiri dengan kata-kata terakhir wanita tadi sebelum makanan yang mereka pesan sampai.
YOU ARE READING
Niatnya, Hendak Beri Pengajaran
Mystery / ThrillerMerupakan sebuah cerpen berunsur sindiran kepada masyarakat kita yang suka memviralkan sesuatu yang memalukan seseorang kepada orang ramai. Dengan alasan, hendak memberi pengajaran kepada orang lain. Jika diberi pilihan, antara nyawa kita dan nyawa...