1.3 Metro

142 11 5
                                    

Sistem keretapi bawah tanah di sini dipanggil 'metro'. Tiket metro untuk ke bandar Paris seakan hanya boleh dibeli menerusi mesin layan diri. Andai kata wujudnya kaunter berhampiran, mata aku gagal mengesan. Sewaktu beratur di mesin, kebetulan ada dua orang lelaki bersamaku. Iras rupa warga tempatan. Seorang di hadapan. Seorang lagi di belakang. Sebaik yang di hadapan selesai urusannya, aku menegur seraya bertanya tatacara membeli tiket. Dia beredar begitu sahaja seakan tidak mendengar.

Aku bertanya pula kepada lelaki di belakang aku. Dia juga tidak melayan. Boleh jadi pekak dan bisu (aku cuba sangka baik). Jadi, aku terpaksa membiarkan lelaki kedua itu membeli tiket dahulu. Aku pula beralih ke belakangnya. Dari belakang, aku curi-curi memerhati sambil menghafal tekanan butang. Setiba giliran aku, akhirnya berjaya. Syukur. Belumpun meninggalkan lapangan terbang, aku sudah benci Paris.

Aku bergegas menaiki tren RER (Reseau Express Regional) aliran B ke stesen Rue Luxembourg di mana Sukhy sepatutnya sedang menunggu untuk menjemputku ke Ecole Normale Superieure (ENS), University of Paris. Keadaan dalam tren agak lengang. Cuma koc yang aku naiki berbau tersangatlah hancing. Hancing bukan sebarang hancing. Hancing cap kencing syaitan. Menerusi cermin tingkap tren yang penuh kesan calar, aku kagum melihat seni graffiti yang menghiasi tembok kiri dan kanan sepanjang landasan di luar. Nampaknya, street art amat dihargai di sini.

Menjelang tiba, aku menerima panggilan telefon daripada Sukhy yang bimbang andainya aku terkandas kerana sudah lebih setengah jam juga dia menunggu di stesen. Aku buka cerita perihal kastam tadi. Sebagai panduan tambahan, Sukhy memaklumkan kepadaku yang dia memakai tweed jacket berwarna hijau gelap dan akan menunggu aku di platform ketibaan. Bangku tempat duduknya pula berlatarbelakangkan papan iklan Agent Provocateur. Info yang cukup berguna buatku kerana kami belum pernah lagi bersemuka.

Nota Pengarang:

Klip video iringan memaparkan pemandangan dari dalam tren RER.

Le OulalaWhere stories live. Discover now