Kepalanya dilangut bagi memandang bangunan tinggi di hadapan. Tingginya bangunan itu sehingga terasa sengal leher apabila melangut lama. Matanya tertarik pada lambang tulisan Hotel Grandstar yang gah. Ini dia, hotel yang dicari-cari. Tak salah lagi.
Beberapa saat kemudian, Elias kembali melihat ke bawah. Dengan langkah lambat-lambat dia ke hadapan. Semakin lama semakin dia menghampiri pintu utama hotel bertaraf lima bintang tersebut. Langkah dihentikan, betul-betul di pintu utama.
Nafas dihela perlahan. Fikirannya masih berkira-kira sekiranya betul tindakannya ini. Kalau ikutkan maruah diri, takkan sesekali dia menjejakkan kaki di hotel ini. Apalagi nak jumpa denga perempuan gila itu. Tapi, apabila mengingatkan keadaan ayahnya yang kritikal, seberat mana pun hati, seberat mana pun langkah, terpaksa juga dia gagahi.
Seusai mendapat kekuatan, Elias meneruskan langkah. Automatik pintu hotel terbuka bagi menyambut kedatangannya. Lambat-lambat langkah beratnya dihalakan ke kaunter penyambut tetamu.
"Selamat datang ke Hotel Grandstar, encik. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Seorang penyambut tetamu bertanda nama Khadijah menyambut kedatangannya dengan senyuman yang manis.
Elias hanya memandang kosong penyambut tetamu tersebut. Lidahnya terasa kelu hendak menyatakan tujuannya datang ke hotel.
Khadijah membalas pandangan lelaki pelik itu dengan riak yang hairan "Encik, boleh saya bantu?"
"Sa... saya nak jumpa dengan Miss Edora." Akhirnya tujuan kedatangannya diluah keluar.
Dahi Khadijah berekerut seribu. Nak jumpa Miss Edora? Sapa laki ni? Apa hubungan dia dengan Miss Edora? Kawan diakah? Takkan kut? Semacam aje aku tengok. Baju selekeh. Rambut berserabut.
"Encik ni siapa? Ada buat appointment tak nak jumpa Miss Edora?"
"Appoinment?" Elias geleng kepala.
"Tak ada. Tapi, saya betul-betul nak jumpa dia. Boleh ya?" pintanya meraih simpati.
"Maaf. Kalau encik tak buat appointment, encik tak boleh berjumpa dengan Miss Edora," terang Khadijah. Memang itu syarat jika hendak berjumpa dengan Miss Edora.
Apoinment pula. Bagai-bagailah. Orang nak cakap hal penting ni, keluh Elias hampa. "Emm, boleh tak kalau cik call dia? Cik cakap yang saya ni orang yang..."
Ehem! Satu dehaman kuat kedengaran sebelum sempat Elias menghabiskan kata-kata. Elias mengalihkan pandangan kepada orang yang berdeham.
"Eh, kau." Wajah Elias bertukar ceria kerana orang yang hendak ditemuinya kini di depan mata.
"Hai," sapa Elias sambil mendekati perempuan itu. Satu senyuman dihadiahkan tetapi Edora hanya memandangnya kosong. Macam mereka tidak pernah kenal langsung sebelum ini.
"You nak apa?" Suara Edora separa berbisik. Bengkek saja dia rasa kerana lelaki itu muncul tiba-tiba.
"Aku nak minta tolong kau. Boleh tak Edora?" Elias terus kepada tujuan utamanya.
Edora mendengus sinis. "Excuse me. I bukan kawan-kawan you, you nak panggil-panggil I Edora. Dan I tak ada masa nak cakap dengan you. Orang yang I tak kenal. You boleh keluar."
Edora masih beriak kering, tak mengakui yang dia kenal dengan lelaki di hadapannya kini.
"Aisy, kau ni. Apa pula tak kenal. Kita kan pernah jumpa dulu. Tak ingat?" Elias cuba buat muka tak malu. Dia tahu Edora kenal dia. Saja perempuan tu tak nak mengaku.
"Sorry? I tak pernah jumpa you. Dan I tak kenal you." Edora masih berdegil. Dia masih nak berpegang dengan perjanjian mereka sebelum ini.
"Kalau kau tak kenal aku, aku kenal kau. Tolonglah. Sekali ni aje. Bagi aku peluang untuk cakap dengan kau," pohon Elias separa merayu.
YOU ARE READING
MISS PERFECT KAHWIN MR MAID
RomanceTAJUK : MISS PERFECT KAHWIN MR. MAID PENULIS : ZANY EZATIE ISBN : 978-967-365-242-6 HARGA : RM28/RM31 Untuk melanggan layari www.penerbitanfajarpakeer.com Mengisahkan tentang seorang Miss Perfect - Syarifah Edora Tan Sri Syed Rahim. Berlagak, cerew...