Bab 23

41.4K 2.5K 139
                                    

Sempat juga dua kali aku rosakkan masakan Ilya, kalau kali pertama aku masukkan garam tapi kali kedua pula aku lebihkan gula di dalam bubur kacang yang dimasaknya. Cukuplah setakat dua kali, kalau aku teruskan begini, pasti dia dapat mengesyaki perbuatanku. Cara kotor ini aku tinggalkan dan digantikan dengan cara halus melalui menukar penampilanku.

Cara hidupku yang sebelum ini agak bebas sudah lama aku tinggalkan semenjak aku bersumpah untuk memiliki Airil kembali. Perangaiku pula sudah ada sedikit perubahan yang menuju ke arah kebaikan, aku sudah tidak melawan lagi kata-kata papa dan aku tidak lagi menunjukkan perangaiku yang satu itu. Sekarang ini aku hanya perlu tukar penampilanku kepada yang lebih sopan.

"Rayqal sekarang..."

Fikiranku yang tadinya sibuk memikirkan tentang perubahan diri terus hilang apabila Tiara tiba-tiba sahaja menyebut nama Rayqal. Apa yang dia bebelkan dari awal perbualan kami melalui telefon aku hanya dengar dan sekadar memberi respon yang acuh tak acuh tapi bila nama itu disebut, aku tumpukan sepenuh perhatian terhadapnya.

"Dah tak macam dulu, I rasa dia banyak berubah. Tapi dia berubah ke arah kebaikan, I'm really happy for him."

Suara Tiara bercampur di antara gembira dan kecewa, dia gembira Rayqal sudah berubah ke arah itu dan dalam masa yang sama, aku tahu yang lelaki dia suka itu mengalami perubahan yang bercanggah dengan dirinya. Aku? Aku pula merasakan itu yang terbaik untuk Rayqal. Walaupun ada perasaan rindu buatnya, tapi aku selalu ingatkan yang kami berdua tidak sesuai untuk saling melengkapi. Aku berharap dia akan bertemu dengan perempuan yang jauh lebih baik dari aku.

"Tia, I ada kerja sikit. Kita cakap lain kali eh?"

Aku memutuskan untuk mematikan talian kerana Tiara sepertinya ingin meneruskan lagi ceritanya mengenai Rayqal. Sudah lama aku kuburkan perasaanku terhadapnya dan kalau Tiara berterusan bercerita mengenai Rayqal, aku takut aku akan terus teringatkan dia. Kisah kami biarlah tinggal sebagai kenangan sahaja.

Berbalik kepada perubahan diri yang aku maksudkan, tujuh puluh peratus sudah terlaksana. Perangai dan cara hidup aku yang tidak semenggah itu sudah lama aku tinggalkan, kini hanya penampilanku sahaja yang perlu di tukar. Aku harus tunjukkan aura yang positif kepada orang yang berada di dalam rumah ini terutama sekali Airil.

Aku memerhatikan Ilya yang sedang membetulkan tudung yang tersarung kemas menutupi mahkotanya. Dia merapikan jarum yang tersemat pada selendang yang dipakainya manakala dress muslimah yang tersarung pada badannya itu membuatkan kecantikannya menyerlah. Aku tidak boleh menafikan kenyataan itu, dia memang cantik.

"Ilya nak pergi mana?" Aku menegurnya yang sedang leka menyempurnakan penampilannya. Selepas makan tengah hari, aku pulang ke rumah. Alasan tidak sihat aku berikan kepada Iskandar padahal aku ingin lihat apa yang seteru utamaku ini lakukan di rumah.

"Nak keluar kejap, nak cari barang." Dia berkata dengan senyuman manis tapi itu adalah racun bagiku. Bahagia dia merupakan sengasara aku. Tidak lama lagi aku pasti yang senyuman itu tiada dan yang tinggal hanya lah air mata.

"Tak ada class ke hari ini?" Aku teruskan bertanya.

"Tak ada, cancel last minute."

Aku hanya mengangguk tanda faham. Sebenarnya bagus juga kalau dia berada di rumah ketika ini, senang sikit rancangan yang aku atur dengan Nadzhan. Langkah pertama adalah, temukan Ilya dan Nadzhan kembali. Pertemuan itu akan menjadi titik bermulanya kisah mereka.

"Teman akak pergi shopping?" Aku menghampirinya.

"Eh? Tadi Kak Sya kata tak sihat."

"Tu tadi, sekarang dah rasa okay. Rasa bosan pulak, lagi pun Ilya nak keluar kan?" Alasan aku cipta supaya dia bersetuju. Ketika aku ternampak Ilya berada di rumah sebentar tadi, aku menghubungi Nadzhan untuk menjalankan rancangan kami ini.

You'll also like

          

"Hurm. Okay la kalau macam tu." Ilya akhirnya bersetuju, aku kemudian meminta diri untuk bersiap.

Rasanya ini merupakan masa yang paling cepat aku bersiap untuk keluar ke mana-mana, tak sampai lima belas minit pun. Kerana terlalu teruja untuk menemukan Ilya dan Nadzhan, aku tidak melengahkan masa. Aku dan Ilya meninggalkan rumah sepuluh minit selepas itu, dia yang memandu kali ini.

"Nak tanya. Selalunya baju-baju yang Ilya pakai ni kan, beli kat mana?" Tanyaku untuk memulakan perbualan antara kami. Aku rasa dia orang yang paling tepat untuk aku gunakan bagi merubah penampilanku.

"Cantik sangat. Kalau boleh akak nak beli," kataku lagi. Dia memandang ke arahku sekilas dengan padangan yang teruja.

"Rasa macam dah tiba masa nak ubah penampilan ke arah yang lebih baik." Aku sempurnakan lagi kata-kataku supaya dia dapat membantu. Andainya Airil menjadi milikku kembali, aku akan kekalkan penampilanku ini.

"Lepas ni Ilya bawak Kak Sya pergi satu butik ni," ujarnya dengan intonasi yang sama yang terpamer pada reaksi wajahnya.

Aku balas senyumannya itu, langkah pertama untuk penampilan diri berjaya. Setelah beberapa minit perjalanan, kereta yang di pandu Ilya berhenti di hadapan sebuah butik muslimah. Sebentar tadi kami singgah di kedai buku, aku malas nak ambil tahu apa yang dibeli oleh Ilya.

Masuk saja ke dalam, Ilya menarikku ke deratan baju. Dia mula menggapai semua yang berada di situ lalu diacukan ke badanku. Sesekali mulutnya berkata memberi pendapat dan aku hanya mendengar. Tapi ketika kami sama-sama sedang memilih baju, dia ajukan satu soalan kepada aku.

"Kak Sya dengan Airil dulu ada apa-apa ke?"

Agak tersentak aku apabila Ilya tanyakan soalan itu. Aku pasti Airil sudah yakinkan Ilya yang kami hanya lah kawan dan segi cara Ilya bertanya, dia sepertinya sedang sangsi. Walaupun suara hati menjerit ingin memberitahu hal yang sebenarnya tapi aku tahankan saja.

"Kami cuma kawan," kataku dengan satu senyuman yang terukir.

"Kalau ada apa-apa antara kami, itu dulu. Masa sekolah, fikiran tak matang lagi dan bila meningkat dewasa, baru sedar yang kami hanya sesuai berkawan." Dengan intonasi yang bersahaja, aku cuba meyakinkannya. Aku tidak selindungkan yang kami pernah ada hubungan ketika dulu tapi aku cuma selindungkan apa yang terjadi sekarang.

"Ilya jangan risau, kami tak ada apa-apa pun. Sekarang ni kami berkawan je, lagi pun kita dah jadi satu family kan?" Aku yakinkan dia dengan status hubungan kami, Ilya memberikan respon yang positif kali ini.

"Kita pergi makan jom?" Aku mengajaknya untuk pergi makan setelah selesai urusan bayaran di kaunter.

Kami sama-sama keluar dari butik itu, aku meletakkan pakaian yang di beli tadi ke dalam bonet kereta. Ilya sudah membuka langkah untuk bergerak ke restoran yang berada di seberang jalan. Ketika ini juga aku terdengar satu jeritan darinya, aku palingkan wajah untuk memandang ke arah Ilya. Sebuah kereta meluncur laju ke arahnya dan pada masa yang sama aku lihat seorang lelaki dalam keadaan tergesa-gesa memaut Ilya ke dalam dakapannya. Impaknya, mereka sama-sama tersungkur ke bahu jalan.

"Ilya!" Suaraku kedengaran panik, aku terus berlari ke arahnya.

"Kenapa boleh jadi macam ni?" Aku membantunya untuk berdiri, wajahnya sudah berlinangan dengan air mata. Aku dakap tubuhnya, dia mula menangis. Pandangan mataku bertembung dengan lelaki yang menyelamatkan Ilya, satu senyuman penuh makna aku kuntumkan buatnya.

"Ilya okay?" Aku memegang kedua-dua belah pipinya, dengan tangisan yang bersisa dia mengangguk lemah.

"Ari?" Nadzhan sudah mula memainkan perananya, aku turut melakukan perkara yang sama.

"Eh? Nadzhan ke?" Aku bertanya seakan terkejut.

"Ingatkan siapa tadi, thank you sebab selamatkan Ilya." Aku teruskan lakonan yang telah kami rancang. Ilya turut sama memandang ke arah Nadzhan.

"It's okay and are you okay. Hurm Ilya?" Kali ini pandangan mata Nadzhan sudah beralih ke arah Ilya.

"Ada sakit kat mana-mana ke? Kita boleh pergi hospital." Nadzhan bertanya seakan risau.

"I'm fine, cuma terkejut. Terima kasih encik..."

"Nadzhan, jangan berencik. Boleh panggil Han."

Rasanya Nadzhan dah boleh menang anugerah pelakon lelaki terbaik. Lakonannya mantap sehinggakan Ilya sudah mula selesa dengannya, siap berbalas senyum lagi. Ini merupakan petanda baik untuk meneruskan lagi rancangan yang seterusnya.

"Ilya nak balik ke nak pergi makan dulu?" Tanyaku dengan prihatin. Bahunya aku peluk untuk hilangkan rasa terkejut dan panik sebentar tadi.

"Kita makan dulu, Ilya nak belanja Nadzhan makan sebab dia dah selamatkan Ilya." Kata-kata Ilya itu membuatkan senyumanku makin lebar.

"Eh tak payah susah-susah."

"Apa yang susahnya, belanja makan je. Tak tertanding apa yang awak buat tadi."

Nadzhan akhirnya mengalah, kami sama-sama masuk ke dalam restoran. Aku sempat balas senyuman Nadzhan yang penuh makna itu. Misi untuk temukan mereka berdua berjaya dan aku sudah tidak sabar lagi untuk meneruskan rancangan yang seterusnya. Di sini akan bermula hilangnya kepercayaan Airil terhadap Ilya dan aku tidak perlu gunakan cara kotor, hanya perlu cara halus.

Bukan Untuk DimilikiWhere stories live. Discover now