Suatu hari di pagi yang suram dengan perasaan hiba dan sayu telah menenggelami ruang-ruang rumah teres dua tingkat di Taman Bukit Sekilau, Kuantan. Kelihatan orang ramai memenuhi ruang dalam rumah, ruang halaman bahkan jalan masuk dan keluar ke taman tersebut mula sesak dengan banyaknya kenderaan yang diparkir di tepi jalan.
Begitulah keadaannya di rumah keluarga mangsa. Sanak saudara datang ingin meratapi wajah terakhir Allahyarhamah, sahabat handal turut bersama. Kawan sekelas dan rombongan pelajar dari Kampus UiTM Shah Alam juga kelihatan. Jiran tetangga datang menziarahi.
Kelibat para wartawan media tempatan turut kelihatan. Mereka ingin merakam saat sedih yang menyelubungi seisi keluarga mangsa. Lagipun kes kematian Allahyarhamah begitu sensasi sekali kerana belum pernah seorang pelajar siswi mati dibunuh di dalam kampus yang dikawal rapi oleh pegawai keselamatan. Bahkan surat khabar hari ini menjadikan kes pembunuhan Allahyarhamah sebagai tajuk utama di muka surat hadapan.
Keranda kayu diusung masuk ke dalam rumah. Jenazah telah pun dimandikan dan dikafan lalu dimasukkan ke dalam keranda kayu. Keranda kayu berisi jenazah Allahyarhamah Sarimah diletak di bahagian hadapan ruang tamu.
Tok Imam Masjid Saidina Ali ingin memulakan solat jenazah. Ruang tamu hanya sekadar mampu memuatkan dua puluh jemaah terdiri daripada ahli keluarga terdekat dan jiran tetangga alim lagi warak. Setelah selesai sembahyang jenazah, keranda kayu diusung dan dimasukkan ke dalam van jenazah yang sudah lama menanti dan seterusnya dibawa ke tanah perkuburan lalu dikebumikan.
Talqim dibaca dengan kuat dan jelas. Yang mendengar pasti akan gentar jiwanya. Ibarat nasihat dan tunjuk ajar sebagai panduan buat penghuni kubur berdepan Malaikat Mungkar Nakir manakala yang hidup pula menerimanya sebagai peringatan agar tidak leka dan terus melakukan ibadah.
Akhirnya Talqim ditamatkan jua oleh Tok Imam berserban merah berjubah putih. Kubur bertanah merah kemudiannya disirami air bunga mawar secara bergilir yang dimulakan oleh si ibu Allahyarhamah. Selesai sudah majlis pengebumian orang ramai mula beransur-ansur pulang.
Pun begitu masih ada setia menemani kubur Allahyarhamah. Kehilangan yang tiada ganti, pemergian yang tidak akan kembali lagi benar-benar telah melukakan hati tujuh sekawan yang sangat mengenali Allahyarhamah.
"Aku masih tidak percaya apa aku lihat sekarang ini," kata Wan sambil memandang kubur bertanah merah basah setelah disirami air bunga mawar berulang kali.
Pada wajahnya jelas kelihatan perasaan hiba tetapi hatinya masih tidak dapat menerima hakikat apa yang telah berlaku.
"Aku pun bingung. Betul atau tidak apa yang aku dengar. Kau percaya apa yang mereka kata?" Ujar Azharuddin atau Din.
Dia berdiri di sebelah Wan. Mereka berdua berdiri jauh sedikit dari kubur. Manakala Ilham, Rohaizan, Zamrud, Azlen dan Ina masing-masing berdiri dalam keadaan seakan-akan mengelilingi kubur. Mereka ingin meratapi Allahyarhamah di saat akhir.
"Entahlah... Kalau betul dia buat, tapi kenapa? Tiada sebab! Tak masuk akal langsung!" Kata Wan bernada geram.
"Entah betul atau tidak apa yang si Nur tu kata. Aku masih tak percaya dia yang buat," sambungnya lagi.
"Tapi polis percaya dia buat," kata Din.
"Bukan dia yang buat!" Celah Ilham bernada tinggi.
Kata-katanya telah mengamankan yang lain.
"Aku tak tahu apa kamu semua fikirkan, tapi aku percaya Syuhairi tidak bunuh Sarimah!" Tegasnya lagi.
YOU ARE READING
JELMAAN
Mystery / ThrillerSEBUAH NOVEL MISTERI PENYIASATAN/SERAM/THRILLER. NOVEL PERTAMA DARIPADA PENULIS THRILLER KHAIRUL NAIM. Kisah dalam Jelmaan berlatar belakangkan dua zaman. Zaman sekarang dan zaman Kesultanan Melayu Kedah. Era perang dengan Kerajaan Siam.