Andi pandang siling. Mindanya kosong. Dia lihat sekeliling. Dia kini berada di dalam sebuah bilik. Segalanya serba serbi putih. Perabot di situ dibalut span dan tiada bucu tajam. Dan, dia kini duduk di atas katil.
"Lagi enam jam, ya..." Andi mengeluh perlahan. Dia lihat badannya. Pakaian restraint yang mengikat bahagian atas badannya terpasang. Bila masa entah dia pakai benda ini. Sedar-sedar sahaja, sudah jadi begini.
"Alahai. Seksanya nak tunggu enam jam," gumam Andi perlahan lalu merebahkan diri di atas katil.
(...)
*19 jam lepas*
Shahril baru sahaja kembali dari wad neonatal, menghantar rekod pesakit di sana. Sesekali dia urut tengkuknya yang terasa lenguh. Sambil berjalan, matanya melilau ke kawasan sekitar.
Tiba-tiba dahinya berkerut. Dari kejauhan, dia ternampak dua kelibat di tangki air hospital. Salah seorangnya duduk di atas palang besi tangki.
Rasa kurang enak terus menerpa hatinya. Lantas langkahnya dilajukan ke arah tangki air itu. Semakin lama, semakin laju.
(...)
"Bagaimana rasanya kematian itu? Hm... Saya mahu rasainya. Adakah ia pedih? Sakit? Atau..."
Di saat pegangannya pada palang besi itu terlepas, seorang lelaki merentap tangannya, menariknya jatuh ke atas lantai besi tangki air itu. Kepala remaja itu terhentak kuat di atas lantai, dan dia terus hilang kesedaran.
"Mujur sempat sampai," keluh lelaki beruniform jururawat hospital itu - Shahril. Peluh di dahi dikesat. Nafasnya termengah-mengah. Dia kemudian pandang wanita yang berdiri tidak jauh dari situ. Kaku.
"Puan buat apa di sini?"
Wanita itu membisu. Tidak tahu mahu kata apa-apa.
(...)
Andi terjaga dari lena. Matanya terkebil-kebil melihat siling.
"Alahai... Subuh gajah lagi nampaknya," katanya perlahan. Dia cuba meregangkan badannya. Entah mengapa dia tidak boleh gerakkan kedua-dua lengannya langsung.
Pada masa itu, barulah dia tersedar keadaan dirinya. Pakaian serupa pesakit mental yang dilihat dalam filem dikenakan, kedua lengannya terkunci dalam pakaian itu. Panik menerpa mindanya.
"Apahal ni? Rasanya aku tidur awal dekat wad malam tadi. Macam mana boleh sampai sini pula?"
Pintu bilik terkuak. Seorang doktor bersama dua orang jururawat - seorang lelaki dan seorang wanita, berjalan menghampiri Andi.
"Selamat pagi, adik," tegur doktor itu dengan ramah.
"Er... Selamat pagi," balas Andi, janggal.
"Adik sihat?"
"Er... Sihat, Alhamdulillah."
"Hm... Sekarang ini, adik rasa... Sedih? Marah?"
Andi pandang doktor itu, riak wajahnya terpamer reaksi bingung. Soalan apa begitu?
"Saya... rasa keliru," jawab Andi dengan nada mendatar.
"Er... Maafkan saya, adik..." Doktor itu melihat rekod perubatan di tangannya sebentar. "Andi Shariman Bin Syarifuddin, kan?" Doktor itu pandang Andi, bagaikan memastikan dia tidak salah sebut nama. Andi angguk sekali.
"Kami terpaksa pakaikan restraint pada badan adik, sebab kami khuatir kalau-kalau adik cederakan diri lagi."
Er... apa? Cederakan diri? Bila masa? Andi terus blur. Melihat reaksi Andi, doktor itu terus melihat semula rekod perubatan di tangannya.
"Adik ingat hal malam tadi? Adik pergi naik tangki air malam tadi. Ada saksi beritahu, adik ada kata yang adik ingin rasai apa itu kematian..."
What. The. Hell?
(...)
"Biar kebenaran?" Remaja lelaki berhoodie biru tua itu kehairanan melihat keadaan Andi. Dia terus duduk di kerusi yang tersedia di situ.
Andi hanya senyum tawar mendengar kata-kata Salleh itu. Manalah tak peliknya, semalam elok sahaja duduk di wad perubatan. Alih-alih, hari ini dia pindah sebentar ke wad isolasi di Jabatan Psikiatri. Dan, apa yang menyedihkan, dia langsung tidak tahu mengapa.
"Berapa lama kamu kena duduk sini?"
"Sampai cukup 24 jam," kata Andi perlahan. "Maknanya, dalam pukul... 10.30 malam ni, lebih kurang."
"Lama tu."
Andi angguk lemah. "Awak tahu, nak pergi tandas pun jururawat teman. Mereka tak benarkan restraint ni dibuka walaupun sekejap. Jadi..."
Salleh senyum nakal. Andi terus mencebik.
"Hei, jururawat lelaki. Jangan fikir bukan-bukan, ya!"
Salleh terus sengih.
(...)
Shahril berdiri di tingkap bilik isolasi, sedang melihat Andi dan Salleh berbual. Lama dia perhatikan gelagat dua remaja itu.
"Woit. Tengok apa tu?" Seorang jururawat wanita menegur Shahril dari belakang. Terperanjat jururawat lelaki itu dibuatnya.
"Hisy, Kak Deeja ni."
Kak Deeja sengih. "Akak tengok kamu ni khusyuk saja perhatikan patient tu."
Shahril garu kepalanya yang tidak gatal.
"Tak adalah, kak. Saya tengok... Normal je budak tu. Macam tak percaya pula yang dia pergi panjat tangki air malam tadi."
Kak Deeja senyum. "Sebenarnya, bila kamu dengar pasal orang berniat nak bunuh diri, apa yang awak fikirkan?"
Shahril diam seketika, bagaikan berfikir.
"Mereka kurang iman, tak ingat Tuhan?"
"Teet! Salah."
"Apahal salah pula? Kata 'apa saya fikirkan'," kata Shahril sambil mencebik tidak puas hati. Kak Deeja hanya sengih.
"Memanglah. Tapi, tak semua hal 'bunuh diri' ni disebabkan kurang iman. Ingat tak masa belajar di kolej kejururawatan dulu? Punca-punca bunuh diri?"
"Tak."
Kak Deeja terus peluk tubuh, matanya merenung tajam ke arah mata Shahril yang kekal tersengih-sengih. Dia kemudia tarik nafas dalam-dalam.
"Kemurungan. Anzieti. Kecelaruan personaliti. Psikosis. Skizofrenia. Penyalahgunaan bahan. Hm... Apa lagi ya..."
"Banyaknya," rungut Shahril.
"Yep. Banyak. Tapi, ada juga kes yang pelakunya tiada penyakit mental. Pernah dengar 'krisis suasana'?"
Shahril petik jarinya. "Hm... Hilang pekerjaan, kematian orang tersayang, putus cinta... Benda-benda macam tu dipanggil 'krisis suasana', kan?"
"Bingo. Ingat pula awak yang itu," kata Kak Deeja.
"Kalau bukan sebab roommate meroyan kena tinggal makwe masa belajar dulu, saya takkan ingat punya benda tu," balas Shahril sambil sengih.
Kak Deeja tepuk dahi. "Kenapalah SPA approve permohonan awak jadi nurse dulu? Ni mesti sebab malas cari kerja, kan?"
Shahril hanya kekalkan sengihnya.
(...)
"Awak tak ingat?" Salleh tanya Andi yang kini baring di atas katil. Mata Andi tidak lepas dari merenung siling bilik isolasi itu.
"Tak. Saya tidur awal, ya."
"Awak... Kuat mengigau kot?"
"Mengigau?"
Salleh angguk. "Macam abang saudara saya. Dia kuat mengigau. Bayangkan, masa tengah-tengah malam buta, dia pergi berjalan keliling rumah arwah Atuk sambil buat gaya macam naik motosikal kuasa besar. Siap bunyi 'vroom-vroom' lagi. Nyaris-nyaris dia jatuh tangga dek mengigau tu. Nak bangunkan, tak berani."
Andi tertawa kecil mendengar cerita Salleh itu.
"Hm... Ngigau, ya? Tapi, boleh ke mengigau tanpa mimpi?"
Salleh terdiam. Ada ke?
(...)
Tinggal 15 minit sebelum masa kuarantin tamat. Andi hanya baring di atas katilnya, melayan rasa mengantuknya. Sesekali dia menguap.
"Agak-agak, bila sampai masa, mereka kejutkan tak?" Andi menggumam perlahan. Kedua-dua kelopak matanya terasa berat. Perlahan-lahan, kedua matanya terpejam. Dibuai lena.
(...)
"Hm... Dah 10.30," kata Shahril, melihat jam tangannya. Dia lihat sebentar rekod perubatan milik Andi di kaunter.
"Kak Deeja, dah boleh buka kan restraint budak tu, kan?"
Kak Deeja tengok jam di dinding. "Yep. Dah boleh buka. Kamu tunggu sini. Akak nak pergi tengokkan budak tu kejap."
"Okey," balas Shahril, menyusun rekod yang bersepah di atas kaunter itu. Seketika kemudian, Kak Deeja kembali ke kaunter. Di wajahnya terpamer reaksi tidak percaya.
"Kenapa?"
"Akak rasa, kamu patut tengok sendiri."
Shahril yang kehairanan berjalan ke arah bilik isolasi yang menempatkan Andi. Sebaik sahaja dia menjenguk je dalam, mulutnya separa ternganga.
Andi duduk di atas katil, di wajahnya terpamer riak ingin tahu, pakaian restraint yang sepatutnya mengikat badan remaja itu elok terletak di atas lantai bilik. Kepala remaja itu terteleng-teleng melihat restraint itu.
"Macam mana..."
Shahril garu kepalanya yang tidak gatal. Keliru. Ini pertama kali ada orang dapat lepaskan diri dari restraint yang ketat itu. Dia sendiri pun tak dapat lepas masa mencubanya sewaktu belajar dahulu.
Andi angkat kepala. Mata Andi dan Shahril bertentang. Senyuman lebar terukir di bibirnya. Entah mengapa suasana sekitar tiba-tiba terasa seram.
"Hai abang," katanya dengan nada ceria dan kebudak-budakan, melambai ke arah Shahril yang masih berdiri di pintu.