- DARAH DARA - PROLOG
Tahun 1963.....
Zulaikha terkocoh-kocoh berlari menuju ke rumahnya. Usai sampai di tangga kayu rumah, sempat dia terduduk di anak tangga melepaskan lelah buat seketika. Peluh di dahi mula merembes keluar. Lalu peluh yang mula turun ke pipi segera disapu di lengan baju kurungnya.
Saat ini dia cuba untuk tidak bersikap panik. Sebelum khabar itu diberi tahu kepada ibunya, lebih baik dia menenangkan dirinya terlebih dahulu. Lalu dengan perlahan dia menarik nafas. Cuba mencari ruang untuknya menenangkan diri. Mencari sedikit nafas lega, walaupun khabar yang ingin diberi tahunya nanti akan mengundang duka di hati ibunya. Dia perlu kuat terlebih dahulu, sebelum memberi kekuatan pada ibunya.
Kemudian daun pintu rumah yang tidak berselak dikuak perlahan. Isi rumah yang bersederhana besar itu tidak terlalu banyak perabutnya. Hanya terdapat tikar mengkuang, meja kopi, gambar-gambar yang tergantung kemas di dinding papan dan juga terdapat radiogram yang masih baru terletak di atas meja kecil khusus untuk radiogram tersebut.
Zulaikha mencari kelibat ibunya di dapur, namun langsung tidak kelihatan. Kemudian dia berlari ke dalam bilik ibunya. Pintu bilik terus dikuak, kelihatan ibunya sedang duduk di atas katil sambil wajahnya memandang ke arah luar tingkap yang terbuka agak luas. Zulaikha memandang sayu ibunya yang sedang ralit membuang pandangan di hamparan sawah padi yang menghijau. Satu pandangan yang kosong. Seperti menanti kepulangan seseorang yang amat dirinduinya. Mengharapkan sesuatu yang belum pasti.
"Ibu..." sapa Zulaikha lembut. Matanya tepat memandang wajah tua ibunya yang kelihatan sedang berduka.
"Zulaikha, sudah dengar khabar berita tentang kakak mu? Ke mana sajalah kakak mu ini pergi? Ibu risau sangat memikirkan tentang dia!" adu ibunya pada Zulaikha dengan wajah melirih sayu.
"Ibu, sebab kakaklah Zulaikha mencari ibu ni. Orang-orang kampung dah temui kakak....." terdengar suara Zulaikha yang sedikit mendatar saat memberitahu akan perihal penemuan kakaknya Zaleha.
Sebaik mendengar kata-kata dari mulut Zulaikha, ibunya bingkas bangun lalu terus menerpa ke arah Zulaikha sambil merangkul tubuh kecilnya. Zulaikha ditatap dengan penuh kasih sayang. Senyuman manis tersuging di tubir bibirnya. Menandakan penantiannya selama seminggu di atas kehilangan anak sulung tersayang bakal terjawab nanti.
Zulaikha segera ingin memberi tahu akan hal tersebut, tetapi telunjuk ibunya segera rapat ke bibirnya. Ibunya menggelengkan kepala. Masih lagi bersisa dengan senyuman, namun hanya sebuah senyuman tawar yang terhasil ditubir bibirnya.
"Ibu....?" Zulaikha kehairanan. Fikiran gadis berusia 12 tahun itu mulai menimbulkan tanda tanya. Kenapa ibu tidak mahu mendengar berita penemuan kakaknya dari mulutnya sendiri? Kenapa ibunya menunjukkan isyarat diam di bibirnya? Apakah ibu sudah tahu, keadaan kakaknya yang sebenar?
"Ibu, kakak sudah tak ada. Orang kampung dah jumpa mayat kakak di tepi parit dekat dengan kebun Lebai Sahak...." terpacul juga jawapan dari mulut Zulaikha tanpa disengajakan. Dia terpaksa. Walaupun ibunya tidak rela mendengar perkataan mati dari mulutnya. Ibunya benar-benar tidak sanggup! Hati ibunya tidak kuat menerima perkhabaran duka itu.
Ibunya terduduk, lalu menundukkan wajahnya yang polos itu. Air matanya mulai mencurah membasahi pipi tanpa dapat ditahan lagi. Dia harus akur. Akur dengan kehendak takdir yang maha Esa. Walaupun kebenaran itu satu kenyataan yang pahit untuk ditelan. Namun, dia merelakan. Cuba meredhakan situasi pahit yang sedang dihadapinya kini.
"Zulaikha, mayat kakak masih lagi berada disitu?" kendur suaranya bertanyakan mayat anak sulungnya itu.
"Masih lagi ada disitu masa Zulaikha ada di sana. Tapi, tok penghulu tak bagi Zulaikha datang dekat. Hanya tok penghulu, lebai Sahak, Orang Kaya Jantan dan polis sahaja yang berada dekat dengan mayat kakak. Lagi satu, orang kaya Jantan beritahu dia akan uruskan semuanya nanti. Dia suruh ibu tunggu di rumah saja." jelas Zulaikha lagi.
YOU ARE READING
DARAH DARA
Mystery / ThrillerDapatkah Ikmal seorang anggota polis berpangkat koperal menyelamatkan nyawa gadis-gadis dari zaman dahulu, iaitu di tahun 1963 setelah dirinya dibawa oleh seorang lelaki misteri merentas masa. Siapakah lelaki misteri itu? Kenapa Ikmal menjadi piliha...