Telefon bimbit yang dimatikan sejak malam semalam dibuka. Terpandangkan berpuluh panggilan tidak berjawab dan beratus mesej dari kotak WhatsApp, muka terus berkerut. Mata dileretkan pada deretan nombor yang tidak berjawab.
Lenny... Nick.
Itu sahaja.
Daniel? Langsung tiada. Peti WhatsApp dibuka pula. Hurmmm... Masih orang yang sama. Lenny dan Nick. Keluhan kecil dilepaskan. Telefon bimbit ditutup semula. Sambil mundar-mandir di dalam bilik, dia mula memikirkan tentang sesuatu. Tentang kejadian malam tadi. Ada kemungkinankah Nick adalah dalang di sebalik apa yang berlaku? Kalau tidak masakan geng Hendry tahu dia di situ?
Kepala digeleng pula. Tak mungkin Nick akan melakukan itu. Bukankah dia sudah berjanji dengan Daniel yang dia akan menjaga aku? bisik hati kecilnya pula.
Manusia boleh berubah, Que. Mungkin Nick dibayar untuk menyerahkan kau kepada Hendry. Siapa tahu? fikirnya pula.
Bingung dengan apa yang ada dalam fikiran dan apa yang hatinya katakan, rambut digosok-gosok. Arghhh! Dalam keadaan begitu memang susah untuk dia mempercayai sesiapa! Sedang adik-beradik pun boleh menikam satu sama lain, inikan pula dia dan Nick yang tiada ikatan, getus hatinya dan telefon bimbit dipandang semula.
"Ermmm... Esoklah aku baca mesej-mesej itu semua," bisiknya dan Simkad di dalam telefon bimbit dikeluarkan untuk mengelakkan panggilan daripada kedua-duanya. Buat sementara waktu itu dia masih belum bersedia lagi untuk berbicara dengan sesiapa pun termasuklah Lenny.
"Mak Cik Jah, bagi saya pisang goreng tiga ringgit, keropok lekor 3 ringgit dan cempedak goreng tu pun tiga ringgit." Sekeping duit dua puluh ringgit dikeluarkan dari kocek baju overall yang dipakainya.
"Amboi! Banyak membeli, Kim. Siapa yang nak makan banyak-banyak ni?" Mak Cik Jah menegur bersama kerutkan di dahi. Selalunya paling banyak pun Hakim membeli tiga ringgit sahaja. Alasannya, hanya dia seorang sahaja yang makan.
"Ada budak dekat rumah tu... errrr..." Kata-kata Hakim terus terhenti. Kepalanya digaru. Allah, apa hal mulut kau ni lancang sangat, Kim? Nak semua orang tahu ada perempuan dekat rumah kau? Nak semua mak cik bawang yang selama ini tak henti-henti mengutuk kau menambahkan saham neraka? Haih! "Ehemmm..." Perlahan dia berdeham. "Errr... Nanti ada member nak datang rumah sebab tu beli banyak-banyak ni," tipunya.
"Ohhh!" Panjang Mak Cik Jah membalas. Pesanan Hakim yang telah dimasukkan ke dalam plastik, dihulurkan.
Huluran Mak Cik Jah disambut dan duit dua puluh ringgit di tangan dihulurkan pula. "Ini duitnya, Mak Cik Jah."
"Shopping ke Kim? Banyak beli barang tu," tanya Mak Cik Jah apabila terpandangkan beg kertas Parkson di tangan lelaki itu. Dengan Hakim dia memang selalu bergurau sebab itulah dia tidak segan silu bertanya.
Hakim garu kepala sambil tersengih. Fuh! Nasib baik dalam beg kertas, kalau dalam beg plastik tentu seluar dalam perempuan pun boleh nampak, desisnya.
"Sesekali shopping baju baru, Mak Cik Jah. Banyak baju dah tak muat sekarang. Maklumlah, saya dah makin gemuk ni," balasnya dengan senyuman sambil jari menunjuk ke arah tubuh sendiri. Hurmmm... Pandai-pandailah kau menjawab, Hakim.
"Ya Allah, tang mana gemuknya tu? Mak Cik Jah tengok dari dulu sampai sekarang sama aje."
"Mak Cik Jah selalu tengok saya sebab itulah tak perasan."
"Hurmmm... Yalah kamu tu." Mak Cik Jah tergelak pula. "Kamu ni Kim, sampai bilalah nak membujang. Carilah isteri Kim, jadi tak adalah hari-hari makan nasi bungkus macam tu," nasihatnya dengan mulut memuncung ke arah bungkusan di tangan Hakim. Kadang-kadang simpati dia dengan nasib Hakim. Dari dulu sehinggalah sekarang, tak henti-henti mereka yang bencikan arwah ibunya menghina dan memandang rendah kepada anak muda itu. Bagi dia, Hakim seorang budak yang baik. Rajin ke surau untuk bersolat berjemaah. Suka membantu orang yang dalam kesusahan walau kadang-kadang yang dibantunya adalah orang yang selalu juga menghinanya.
Hakim tersengih. "Nak kahwin Mak Cik Jah tapi calonnya tak ada lagi. Lagipun siapalah yang hendakkan lelaki yang tak tahu asal usul macam saya," balasnya sambil menyimpan sebak.
"Ramai aje yang nak, Kim. Kamu aje yang memilih. Si Yaya tu, Mak Cik Jah rasa bukan main lagi sukakan kamu."
"Haish! Mak Cik Jah ni. Orang lawa macam tu takkanlah boleh sukakan saya." Hakim malu-malu. Hendak menjawab dia memang sudah membuat perancangan untuk merisik Hidayah, segan pula dia.
"Ermmm... Itulah. Kalau dah hari-hari tengok besi, hati pun dah serupa besi tak ada rasa," bebelnya.
Tawa Hakim meletus. Boleh pula disamakan dia dengan besi. Apa-apa ajelah Mak Cik Jah. Yang pentingnya bila dah berjaya melamar Hidayah, Mak Cik Jah lah yang akan saya maklumkan dahulu. Maklumlah, Mak Cik Jah dah saya anggap macam mak saya. Selain Mak Cik Hasmah, Mak Cik Jahlah yang banyak menasihati saya, bisiknya dalam hati.
"Okeylah, Mak Cik Jah. Saya naik dululah. Solat pun belum ni."
"Ha, yalah. Esok nak nasi lemak lagi tak?"
"Nak. Bungkuskan saya tiga bungkus, ya."
Mak Cik Jah mengangguk sahaja dan Hakim terus beredar. Masuk sahaja ke dalam rumah, daun pintu cepat-cepat ditutup. Balqis yang sedang leka menghadap telefon bimbitnya sambil berbaring di atas sofa dihampiri.
"Que!" panggilnya.
"Hurmmm..," jawab Balqis tetapi langsung tidak mengalihkan pandangan dari skrin telefon bimbitnya.
"Nah!" Beg kertas di tangannya dihulurkan.
Jari-jemari yang sedang leka menekan-nekan skrin telefon terhenti dan telefon bimbit yang sedang menghalang pandangannya diletakkan di sebelah. Hakim dipandang dengan kening terjongket.
"Ambil ni." Beg kertas tersebut disuakan lagi.
"Apa tu?" soalnya yang masih dalam keadaan berbaring.
"Kau tengoklah sendiri," jawab Hakim malas-malas. Dia bukan main beria-ia, Balqis cuma buat muka selamba sahaja?
Dengan reaksi yang masih seperti tadi, Balqis bingkas bangun. Beg kertas di tangan Hakim dicapai dan diletakkan ke atas meja. Dengan kerutan di dahi, beg kertas tersebut terus dibuka.
"Apa ni?" Hakim dipandang dengan mata tidak berkelip. Bukan dia tidak nampak apa isinya di dalam beg kertas tersebut tetapi ia untuk apa?
"Kau dah tengok takkan kau tak tahu?"
"Ya, aku tahu. Ada baju, seluar, baju dalam, seluar dalam tapi untuk aku ke?" soalnya selamba.
Hakim berdeham. Budak ni pun kalau nak bercakap, janganlah direct sangat macam tu. Dia pula yang segan jadinya. Peliknya ketika dia membeli tadi tak pula rasa malu. "Untuk kaulah takkan untuk aku."
"Tapi kenapa?"
"Untuk kau pakailah. Habis tu takkan kau tak nak salin baju?" bedilnya.
Serta-merta itu air muka Balqis berubah. Baju T-shirt, seluar jean dan seluar track di dalam beg kertas tersebut dikeluarkan dengan reaksi teruja. "Betul untuk aku semua ni?" Hakim dipandang tak percaya.
"Yalah untuk kau. Kalau untuk orang lain buat apa aku bagi kau?" balasnya sambil simpan senyum. Entah kenapa melihat reaksi teruja Balqis saat itu, geli hati dia dibuatnya.
"Terima kasih. Nanti aku ada duit aku bayar balik." Balqis tabur janji.
"Tak payahlah. Anggap aje itu bayaran untuk kau sebab kemas rumah aku."