Segenggam Tanah Kesuma

78 8 9
                                    



"ADIK DIA SUDAH MATI."

Itulah yang saya dengar daripada bisik-bisik jiran sekeliling selepas lelaki tadi berlalu. Semua orang tahu lelaki berseragam biru tua itu merupakan wakil daripada pihak Kerajaan. Mana mungkin seorang wakil Kerajaan sanggup datang ke kawasan perumahan pangsa yang hanyir ini untuk sekadar melawat. Seperti yang tertera dalam surat yang saya terima tempoh hari, memang tepat jam lapan pagi pintu rumah saya sudah berbunyi dengan ketukan. Dan seperti yang dijangka, seorang lelaki berseragam biru tua berdiri tegak di hadapan pintu.

Untuk beberapa saat, kami berdua tidak bersuara. Saya tidak tahu siapa yang patut memulakan perbualan dahulu. Pandangan saya terus dipakukan ke arah wajah lelaki itu. Tiada sebarang riak yang ditunjukkan membuatkan hati saya sedikit sebal kerana dia seperti tidak ada perasaan melakukan perkara ini. Atau sayakah yang terlebih-lebih emosional sedangkan lelaki itu perlu bertindak profesional menjalankan tugasnya?

Buat masa sekarang, pandangan jiran-jiran saya tolak ke tepi. Saya tahu jiran-jiran sedang memerhati babak penting antara saya dan wakil Kerajaan itu dari jendela dapur. Mereka mahu mendengar perbualan kami. Dinding-dinding rumah pangsa yang berlumut ini walau tidak bernyawa tetaplah punya telinga yang dapat mendengar hatta rahsia dalam kelambu pun. Apa yang kalian harapkan di kawasan perumahan kelas bawahan ini? Privasi adalah sesuatu yang mustahil. Memikirkan tentangnya pun saya rasa lucu. Segalanya akan tersebar tidak lama lagi. Saya cuma terpaksa bertahan untuk beberapa ketika sahaja sebelum cerita lain yang lebih kontroversi muncul di kawasan perumahan ini.

Sebelum kedatangan lelaki berseragam tersebut, surat rasmi daripada Kerajaan awal-awal lagi sudah sampai ke tangan saya dua minggu yang lepas. Maka tahulah saya bahawa Kesuma sudah melunaskan janjinya. Lima tahun lepas, kami dua beradiklah antara sebahagian besar rakyat Kota yang menentang program yang diperkenalkan oleh Kerajaan. Namun apabila semakin ramai rakyat yang menyertai program tersebut, protes-protes di jalanan semakin berkurangan. Dan akhirnya jalan-jalan raya sepi terus daripada laungan dan kemarahan rakyat. Rutin harian kembali berjalan seperti biasa. Saya dan Kesuma sendiri sudah berhenti menyertai para protes selepas seminggu ia berlangsung. Cukuplah sekadar mengikuti berita-berita di akhbar dan media-media sosial.

Ya, kami barangkali hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja, tetapi perlu diingatkan bahawa kami juga perlu teruskan hidup. Malah, hidup semakin menghimpit dari sehari ke sehari selepas suami saya meninggal dunia setahun sebelumnya. Kami seperti orang gila bekerja hanya untuk sesuap nasi dan membayar sewa rumah yang tak tertanggung mahalnya ini. Di kawasan perumahan kami, sama ada kalian perlu melakukan dua kerja atau terpaksa duduk di kaki lima. Beginilah nasib duduk di Kota yang sempit ini.

Maka, kerana itulah setahun yang lepas, Kesuma mula membuka mulut untuk menyertai program tersebut. Tentulah saya menolak sekeras-kerasnya hasrat dia. Sudah lupakah Kesuma bahawa kami pernah sama-sama protes untuk menentang program tersebut atas dasar ia tidak berperikemanusiaan?

Dia tidak pernah lupa pun. Malah, atas sebab itulah dia mengambil keputusan mengejutkan untuk menyertai program tersebut. Dalam keluarga kami bertiga (termasuk anak tunggal saya, Intan), dialah yang paling layak mendaftar untuk program tersebut. Memang program tersebut disasarkan untuk golongan sepertinya. Mereka memang menunggu orang-orang seperti Kesuma untuk mendaftar secara sukarela.

Surat rasmi itu menyatakan yang wakil daripada Kerajaan akan datang dalam masa dua minggu daripada tarikh yang tercetak pada surat tersebut. Pada hari ini seperti yang dijanjikan lelaki berseragam biru tua berdiri di hadapan saya. Dan melihat saja kehadiran lelaki itu, jiran-jiran berbisik mengatakan adik saya sudah mati. Saya tetap berdiam diri, mengetap bibir menahan sabar.

Saya mempelawanya masuk tetapi lelaki itu menolak dengan baik. Nama serta kad pengenalan saya dan Kesuma disemak sebelum dia menyerahkan sebuah kotak kecil yang katanya sebagai kenang-kenangan. Sejumlah wang yang dipersetujui akan dimasukkan ke dalam akaun saya dalam masa seminggu. Saya hanya mengangguk kecil, terus memaku pandangan ke wajah lelaki itu. Saya tidak mahu berkata apa-apa waktu ini. Saya mahu lelaki itu segera meninggalkan kawasan rumah pangsa kami dengan segera.

Kotak kecil itu saya letakkan elok-elok di dalam almari pakaian Kesuma. Saya tidak membuka langsung kotak tersebut. Saya tahu apa isinya namun masih saya belum sanggup untuk melihatnya. Bisikan jiran-jiran tadi masih berdengung-dengung di telinga, meresahkan hati. Adakah keputusan saya salah membenarkan Kesuma menyertai program tersebut? Ia bukanlah satu keputusan yang saya relakan sepenuh hati sebenarnya tetapi kami terpaksa.

Malamnya saya tidak boleh tidur. Intan juga sudah berhenti bertanya ke mana menghilangnya Kesuma. Dia tidak bertanya apa-apa pun kepada saya tetapi saya rasa dia sudah terdengar tentang keadaan ibu saudaranya lewat bisik-bisik jiran. Dengan wang yang bakal kami terima daripada pihak Kerajaan nanti, saya dan Intan akan berpindah... keluar jauh meninggalkan Kota ini. Kesuma mengingatkan saya tentang hal ini berkali-kali. Itu wasiat terakhirnya supaya menggunakan wang tersebut untuk masa depan Intan. Kami berdua tahu kalau tidak bernasib baik, Intan juga berisiko mengikut jejak langkah Kesuma – menyertai program gila itu.

Sehari sebelum saya dan Intan meninggalkan kawasan yang hanyir itu, saya ternampak keluarga Pak Cik Zul, jiran satu blok rumah kami berpelukan erat dengan anak lelaki sulungnya. Nampaknya, program yang menyeru rakyat bujang berumur 35 tahun ke atas untuk dikorbankan menjadi tanah sudah semakin diterima ramai. Mereka terdesak memerlukan wang dan Kerajaan menjadikan tanah kompos rakyat bujang yang tiada harapan untuk berumah tangga sebagai sumber ekonomi Kota. Tanah-tanah bercampur mayat manusia yang terurai sangat berharga kerana sumber nutriennya yang tinggi untuk pertanian. Pihak Kerajaan menjadikannya sumber eksport ke kota-kota lain.

Bagi Kesuma, dia tidak mati. Inilah cara dia berkorban untuk kami. Lagipun, untuk wanita miskin dan tidak cantik sepertinya, dia sedar yang dia tidak pernah menjadi pilihan untuk mana-mana lelaki.

Kotak kecil yang diberikan oleh wakil Kerajaan itu saya simpan kemas-kemas dalam bagasi. Segenggam tanah di dalam kotak kecil itu ada sebahagian diri Kesuma. Kesuma tidak mati. Adik saya tidak mati. Dia tetap bersama-sama kami sehingga ke akhir hayat.  

-TAMAT-

SEGENGGAM TANAH KESUMAWhere stories live. Discover now