PROLOG

25 3 0
                                    

Aku merenung ke siling bilikku. Kipas berputar lebih pantas dari saat yang berdetik. Jam menunjukkan pukul 12 malam. Aku sepatutnya sudah pun melelapkan mata, namun peristiwa itu menyebabkan mataku terbuka dengan luas. Apatah lagi, memori lama yang memainkan semula kata-kata orang terhadapku, setelah 15 tahun aku mengenali kehidupan ini.

"Apa yang kau perlu buat hanyalah bekerja keras sampai kau berjaya."

Entah berapa kali agaknya perkataan ini bermain dalam kotak fikiranku? Kau bayangkanlah, 24 jam perkataan itu terngiang-ngiang di telingaku tanpa henti. Aku benci betul dengan ayat ni.

"Walaupun mereka semua mempunyai bakat, tapi mereka semua bekerja keras."

"Kalau kau berusaha betul-betul, kau akan boleh kalahkan orang yang berbakat."

Diamlah. Apa saja yang kau faham mengenai aku? Dilahirkan sebagai manusia yang tidak mempunyai rupa, kurang pandai, masih naif walaupun ujian banyak melanda diri aku, serta selalu dipandang rendah?

Kau tak tahu, betapa aku terseksanya untuk meneruskan kehidupan di dunia ni. Kau tak tahu, usaha yang aku lakukan sebelum ni. Kau tak akan tahu, bila orang yang berbakat mencuri semua lampu pentas di hadapan kau sendiri, setelah kau menangis dan kerahkan semua tenaga kau untuk kejayaan itu.

Kau tak akan tahu, kerana kau ada bakat.

Kata-kata itu tidak lebih dari sekadar penyedap hati. Ianya merupakan kata-kata untuk melepaskan diri dari realiti. Kata-kata peransang dan motivasi.

Tapi hakikatnya sekadar sampah semata.

Ha, aku akui yang aku sangat bencikan orang yang berbakat. Tak kiralah apa yang kau katakan, bakat tetap bakat. Anugerah tetap anugerah. Manusia pilihan Tuhan. Aku bukan manusia terpilih. Aku manusia biasa.

Terlampau biasa, tiada apa yang istimewa.

Kalau ditolak tambah dan didarab bahagi, usaha seorang manusia yang tidak mempunyai sebarang bakat selama lima tahun sama dengan satu tahun ditambah dengan pengalaman seorang manusia yang sangat berbakat.

Jauh beza, bukan?

Tapi, tak kiralah aku cakap macam mana pun, kau tetap akan membantah, memperlekeh dan menghina aku. Kau mungkin akan menganggap yang aku ni pemalas. Adat bagi kau, kerana kau tak faham pengorbanan aku.

Namun, inilah hakikat yang aku kena terima. Hakikat bahawa dunia ini kejam dan tidak adil. Aku berusaha bersungguh-sungguh, sedangkan orang lain boleh goyang kaki dan berjaya. Ditambahkan lagi dengan kesengsaraan yang paling menyakitkan, iaitu bila kau usaha sehabis baik pun kau masih tidak berjaya. Bukan setakat tidak berjaya, tetapi juga digelar sebagai sampah.

Kalau usaha aku berbayar pun, belum tentu aku akan dapat "bayaran penuh". Masih cacat dan cela. Cela di mata engkau. Cela di mata orang lain. Cela di mata aku sendiri.

Akhir sekali, apa yang kau akan hamburkan kepada aku?

"Kau kena bersyukur dengan apa yang ada."

Ya, kau pandai berbicara. Bersyukur. Memang bersyukurlah kau bila kau ada apa yang aku mahukan. Cuba kau jadi macam aku, apa kau ingat kau boleh bersyukur? Yang paling memberi impak penghinaan bagi aku adalah celah mana kau fikir aku ni tak bersyukur?

Kau tak payah berhujah dengan menggunakan ayat ni kepada aku. Kalau bab berusaha ni aku lebih tahu semuanya. Sangat tahu. Sebab aku yang sengsara.

Tapi, usaha aku tetap usaha aku. Kau kutuklah, makilah, dan hinalah aku sebanyak mana yang kau mahukan, tetapi aku tetap mahukan apa yang aku mahukan.

0%Onde histórias criam vida. Descubra agora