Artikel dan gambar oleh: Dr. Rusyainie Ramli
Kalau saya dah ambil pen warna warni dan kertas tu, maknanya pesakit tu kena tadahlah telinga dia untuk dengar bebelan saya.
Mana taknya, anak dah berderet pun, tapi kitaran haid pun tak faham. Siap penuh dengan mitos.
"Kalau haid tak keluar, nanti sakit kepala."
"Haid kena turun, nanti berkerak kat dalam rahim."
"Tak datang haid tiap-tiap bulan, nanti jadi angin dalam badan."Sebab tak faham kitaran haid, apatah lagi apa yang jadi kalau mereka menggunakan kaedah merancang keluarga seperti Implanon atau Depo Provera, maka mereka melantun dan melompat bila haid tak datang macam biasa.
Ada yang siap berhenti terus menggunakan kontraseptif sebab makcik bawang kata, haid kalau tak ada nanti kena kanser sebab dok tersumbat kat rahim. Kalau depan saya ayat macam tu keluar, memang mendapatlah leteran saya.
Soalan saya pada wanita yang macam ni..kalau anak Puan tanya, apa tu haid, dari mana datang, apa yang Puan nak cakap kat dia? Sedangkan Puan pun tak tahu? Bagaimana kita nak ajar anak perempuan kita yang nak akil baligh ni dengan ilmu yang betul kalau diri sendiri penuh dengan mitos?
Maka tak hairanlah, wanita umur 20-an yang saya temui, ramai sangat yang sama saja dengan makcik dan nenek yang usianya lebih tua. Eloklah tu, sampai bergenerasi pun masih dok berpegang pada mitos yang sama! Kat sekolah dah ajar pun, saya tak tahu apa yang masuk kat kepala anak-anak kita. Sibuk nak jadi instafamous kot, dok berselfie bagai.
Selepas anak remaja mendapat haid yang pertama, kitaran haidnya memang tak regular untuk tempoh lebih kurang 2 tahun. Untuk anak gadis yang dah ada pun payu dara, tapi masih belum mendapat haid dalam tempoh 3 tahun, atau masih belum haid ketika umur 15 - 16 tahun, yang tu kena bawa jumpa doktor.
Dan untuk wanita yang usia hampir menopause, 2 tahun sebelum putus haid betul-betul, kitaran haid juga terganggu. Purata umur menopause untuk wanita di negara kita ialah 52 tahun. Kalau lepas menopause, tiba-tiba wanita tu datang haid, wajib pergi ke doktor, sebab tu mungkin tanda kanser rahim, bukannya seronok jadi muda kembali la kononnya.
Selepas bersalin, ada wanita yang haidnya tak menentu atau tak datang langsung untuk lebih kurang tempoh 6 ke 18 bulan.
Tu semuanya dikira normal, tak perlu risau. TAPI, silakan berjumpa doktor kalau..
1. Haid datang kurang dari jarak 21 hari atau lebih dari 35 hari.
2. Haid tak datang paling kurang 3 kali berturut seperti sepatutnya, sedangkan dia tak hamil, atau berada dalam lingkungan akil baligh atau menopause.
3. Darah haid yang turun tu sikit atau lebih sangat berbanding biasa.
4. Haid yang datang tu berpanjangan, lebih dari 7 hari.
5. Haid yang datang tu diiringi senggugut yang terlalu sakit, berbeza dari selalunya dan berpanjangan.
6. Darah seakan haid yang datang di antara 2 kitaran haid atau selepas membuat hubungan kelamin.Purata kitaran haid ialah 28 hari. Tapi ia boleh berada di antara 21 - 35 hari. Perbezaan beberapa hari di antara kitaran haid tu perkara biasa. Bila pesakit kata haid dia tak tetap, saya mesti minta dia senaraikan tarikh pada hari pertama dia datang haid untuk paling kurang 3 bulan ke belakang sebab kadang kala pemahaman dia tentang kitaran haid tak berapa nak betul.
Tahukah kalian kalau wanita tu mengalami perubahan hidup yang ketara seperti mana yang dilalui oleh Perajurit Muda TLDM di tempat saya bekerja, ramai dari mereka yang kitaran haid terganggu. Ni perkara biasa. Maklumlah dengan latihan fizikal saban hari termasuk berenang, tak dicampur dengan stres sebagai anggota TLDM yang baru.
Sama juga dengan mereka yang hilang atau tambah berat badan yang ketara, sedang dilanda penyakit, menduduki peperiksaan penting, mengalami depresi atau apa saja yang memberikan impak dalam kehidupan wanita tu, kitaran haidnya boleh berubah dari biasa.
Ada banyak sebab mengapa kitaran haid tak tetap yang tak normal dan wanita tu mesti mendapat diagnosis yang betul dari doktor dan seterusnya baru lah rawatan yang tepat boleh diberikan. Contohnya..
1. Fibroid - ketumbuhan yang bukan kanser di dalam dinding rahim yang boleh menyebabkan darah haid lebih banyak dari biasa dan kadang kala tak selesa di bahagian bawah abdomen bila ia besar dan menekan pundi kencing atau rektum.
2. Endometriosis - bila tisu dinding dalam sekali pada rahim, yang luruh setiap kali haid, mula ada di bahagian lain di luar rahim termasuk tiub Fallopio dan ovari serta organ berhampiran. Endometriosis boleh menyebabkan senggugut yang teruk, haid yang tak normal dan sakit ketika hubungan seksual.
3. Pelvic Inflammatory Disease - jangkitan bakteria pada organ pembiakan wanita yang terjadi melalui hubungan intimasi, keguguran atau semasa proses kelahiran, yang masuk melalui vagina ke sistem pembiakan. Bila berlakunya jangkitan ni, wanita selalu mengalami simptom seperti discaj dari vagina yang busuk dan banyak, demam, sakit di bahagian bawah abdomen, haid yang tak menentu.
4. Polycystic ovary syndrome (PCOS) di mana ovary menghasilkan hormon androgen yang lebih tinggi dari normal. Androgen ni hormon yang ada pada lelaki. Kalau dilihat melalui ultrasound, ada 'string of pearls' pada ovari. Tapi ia tak semestinya ada untuk diagnosis PCOS. Apa sebab utama PCOS terjadi, memang tak diketahui tapi ia jelas berkaitan dengan hormon berkaitan yang tak seimbang yang mengganggu pengeluaran ovum secara konsisten dan wanita tu mengalami haid yang tak tetap atau langsung tak ada. PCOS berkaitrapat dengan obesiti, ½ dari pesakit PCOS mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Kerana ovulasi tak berlaku, ia juga mempengaruhi kesuburan jadi infertiliti adalah masalah yang besar buat pesakit PCOS yang cuba untuk hamil. Pesakit PCOS boleh menghadapi masalah hirsuitism, iaitu bulu roma yang lebat dan kasar di bahagian tertentu, mimik seperti lelaki, dan jerawat yang serius.
5. Kanser rahim, seperti yang saya nyatakan, atau kanser pangkal rahim. Kanser pangkal rahim adalah satu-satunya kanser yang boleh dicegah dan ia mudah, hanya melalui vaksin HPV. Dan ia boleh dikesan pada tahap sebelum ia menjadi kanser pun melalui PAP smear.
6. Ubat-ubatan tertentu seperti steroid. Sebab tulah pentingnya memdapat nasihat doktor dan farmasis untuk pengambilan ubat. Mesti ditimbang kepentingan ubat tu dengan kesan sampingan yang datang dengan rawatan tu.
7. Kerana aktiviti ovari dalam menghasilkan hormon oestrogen dan progesterone, dikawal di hypothalamus dan kelenjar pituitari di otak, maka kalau ada masalah di kedua tempat tu, kitaran haid pastinya mendapat padahnya.
8. Hormon thyroid yang terlalu rendah atau sangat tinggi pun boleh membuatkan haid jadi tak tetap.
9. Premature ovarian insufficiency di mana ovari berhenti menghasilkan hormon oestrogen dan progesterone padahal umur wanita tu belum mencecah 40 tahun pun. Keadaan ni macam wanita tu dah menopause padahal dia masih muda.
Kesimpulannya? Janganlah main pergi ke farmasi untuk membeli ubat untuk turunkan haid. Kita kena cari punca kenapa haid tu jadi tak tetap. Mana tempat nak pergi untuk masalah kesihatan?
MESTILAH KENA JUMPA DOKTOR DEPAN-DEPAN! Bukan tanya dalam FB/Instagram/Twitter!
YOU ARE READING
[C] KOPI DAN PASTA
RandomKopi & Pasta; merupakan satu bahan bacaan berilmiah berkaitan kesihatan dan gaya hidup masa kini. Segala info, artikel dan maklumat diperolehi dari laman sosial seperti facebook/instagram/twitter dan semestinya akan dikreditkan pada penulis asal. ...