Azan Subuh dari sebuah masjid lama berdekatan Pekan Sungai Besar sayup-sayup kedengaran, memecah hening pagi yang masih berbalut gelap dinihari. Ayam jantan peliharaan penghuni rumah pusaka yang terletak di hujung kampung galak berkokok, saling berbalas sahutan. Awal-awal lagi beranda rumah batu separuh papan sudah terang-benderang disirami cahaya lampu, tanda ada penghuni rumah yang sudah bangkit sebelum Subuh tadi.
Alya menguap lebar. Dia terjaga dari lena dek bunyi senduk dan kuali berlaga di dapur. Aroma harum bawang tumis dengan cili padi bertebaran hingga ke bilik, membangkitkan deria yang mulai berfungsi kembali. Pasti emak sedang sibuk menyediakan sarapan. Dia tersenyum dengan sepasang mata yang tertutup, masih mengantuk.
"Astaghfirullah al azim!"
Dia terkejut melihat sekujur tubuh terlentang di tengah-tengah bilik. Sepantas kilat dia berlari mendapat pintu.
"Usu buat apa dalam bilik ni? Keluar!"
Usu Dol menggeliat malas. Matanya nampak kemerahan kerana baru lelap sekejap.
"Kau nak apa pagi-pagi ni? Memekak je," marahnya. Hidung yang berair dikesat. Dia kesejukan tidur di lantai. Lambat-lambat dia bangkit, menguap lebar.
"Tak malu ke masuk bilik perempuan?"
Alya mengetap gigi, geram sekali! Sudahlah tidak beradab, selamba sahaja pak ciknya berbaring dalam keadaan tidak berbaju. Ish!
"Ini rumah aku, ikut suka hati akulah nak tidur kat mana pun," bidas Usu Dol, berlagak.
"Mak!"
Alya menggeleng kesal dengan sikap pak cik yang semakin lama semakin melampau. Sudah besar panjang tapi perangai mengalahkan budak umur tiga tahun. Suka-suka hati masuk bilik orang!
"Mak!" jeritnya lagi.
Alya buntu, tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk membuat usu keluar dari bilik tidur yang dikongsi bersama dengan emak. Mujur dia mengenakan seluar dan baju longgar sebelum tidur semalam. Rambut paras bahu diikat dengan getah.
"Iya? Kenapa? Mak ada kat dapur ni,"
Berkerut-kerut dahi Rosmiah membalas jeritan anaknya. Pagi-pagi lagi sudah terjerit-jerit? Mangkuk nasi diletakkan sebelah kuali, tidak jadi digaul dengan perencah yang sudah ditumis sehingga pecah minyak. Api dapur gas dimatikan. Kerja-kerja menyediakan sarapan ditinggalkan seketika. Dia bergegas ke ruang tamu.
"Ada apa ni? Pagi-pagi lagi dah terjerit-jerit ni? Nenek tengah solat tu, Alya jangan...,"
Tatkala terpandang Usu Dol terpacak dalam bilik tidur mereka, jantung Rosmiah berdegup kencang.
"Kenapa ni Alya?" soalnya, menghampiri anak yang terpacak di tepi pintu. Wajah anak yang masam mencuka direnung silih berganti dengan adik ipar yang beriak dingin. Rosmiah mengurut dada, bimbang jika Usu Dol mengapa-apakan anaknya.
"Usu ni, mak. Dia masuk bilik kita lagi,"
"Eh, kau jangan nak buat-buat cerita!" Usu Dol mencerlung mata.
"Buat cerita apanya? Dah terang lagi nak bersuluh. Takkan orang lain angkat usu masuk bilik ni kalau bukan usu yang masuk sendiri?" tempelak Alya. Memang usu sengaja cari pasal. Kalau sehari tak buat darah aku menyirap, memang tak sah!
"Anak kau ni, pagi-pagi lagi dah memekak! Sakit telinga aku," dalih Usu Dol. Dia buat riak tidak bersalah. Sesekali dia menguap lagi.
"Usu buat apa dalam bilik ni? Bilik usu, kan kat dapur? Buat apa masuk bilik ni?" tanya Rosmiah. Nada suaranya lembut, cuba dikawal agar tidak kedengaran kasar. Dia tidak mahu membuat usu naik angin.
YOU ARE READING
Sesungguhnya itu kamu (Published By Fajar Pakeer)
General FictionUmpatan orang-orang kampung dan kemiskinan membuat Alya Syifa' sedar dirinya tidak setaraf dengan orang lain. Semakin menginjak dewasa, Alya kian berubah. Sikapnya yang kasar dan pantang dicabar sering membuat emaknya susah hati. "Jangan salah guna...