30 | Memori

4.1K 396 18
                                    

Pintu bilik dikatup rapat. Katil Iskandar yang kosong menjadi tatapannya. Sudah seminggu katil itu tidak disentuh sesiapa. Itu pun dia yang melarang kawan-kawan lain daripada berbaring di situ. Dia tahu, Iskandar tidak suka orang menyentuh barangnya sesuka hati.

"Cepatlah balik, Nain." Omel Fahim sendirian.

Perlahan saja tapak kakinya menuju ke tingkap bilik. Tuala yang tersidai di ampaian luar diambil.

"Malasnya nak mandi. " Remaja lelaki itu menggeliat kecil sambil memandang suasana di ampaian luar. Tanah lapang itulah yang menjadi kawasan dia dan Iskandar berlatih bagi pertandingan olahraga. Tentu-tentu bukan Iskandar yang masuk, hanya dia sahaja yang ingin mencuba nasib dalam gelanggang setelah lama tidak beradu.

Peha kakinya yang patah semakin pulih setelah dua tahun berlalu.

Lalu sahaja ditepi katil, terus Fahim terduduk dan meletakkan tuala di sisi. Tali leher ditanggalnya disusuli dengan kemeja putih.

Dia mendaratkan tubuh perlahan-lahan ke katil. Memang terasa sepi tanpa Iskandar di dalam bilik itu. Kalau ada Iskandar, bolehlah disakat sampai sahabatnya itu mengamuk. Itu pun kalau Iskandar layan, kalau tak tergantung sepilah lawak Fahim.

Sedih juga tidur sendiri. Selalunya Iskandarlah yang menggerakkan dia pada waktu subuh. Lengan direhatkan pada dahinya.

Walaupun bilik itu mempunyai dua katil, kadang-kadang mereka berdua tertidur di atas lantai kerana keletihan belajar. Belajar atas lantai, terlelap pun atas lantai. Itu tak termasuk lagi berkongsi katil kerana Fahim sibuk menyempit ingin menyiapkan kerja sekolah. Akhirnya dia sendiri terlelap di katil Iskandar.

Segala memori itu membuatkan Fahim tersenyum. Katil Iskandar yang kosong masih
menjadi menungannya sehingga dia terlelap pada waktu asar.

***

“Kumpulan satu beratur dekat tepi dewan.”

Kumpulan satu? Fahim lah tu. Kumpulan telah dibahagikan dengan kiraan satu sehingga sepuluh sebentar tadi.

Fahim  segera bergerak ke tepi dewan bersama-sama pelajar tingkatan empat yang lain. Kebanyakan peserta kem kepimpinan
kali ini ialah rakan yang baru dikenali memandangkan dia baru sahaja pindah ke sekolah tahun itu. Ada beberapa orang yang menyambut kehadirannya sebagai pelajar baharu sementara yang lain hanya buat tidak endah. Genaplah enam bulan dia bersekolah di sekolah berasrama penuh itu.

Anak matanya sibuk meliar bagi melihat ahli kumpulan sendiri.

Remaja lelaki yang paling hadapan bernama Syauqi. Itulah yang ramah sekali menegurnya sejak hari pertama persekolahan. Syauqi ialah seorang pengawas sekolah yang pandai main badminton.

Orang di belakang Syauqi juga dikenali Fahim. Dia cuba mengingati wajah itu dengan sekali imbas. Inilah wajah yang paling dibencinya! Iskandar, konon nampak baik.

Bayangkan, minggu lepas lelaki bernama Iskandar itu tiba-tiba sahaja memarahi Fahim. Mana tak panas hati itu. Hubungan percintaan jarak jauhnya dengan Zulaikha terputus di tengah jalan akibat campur tangan Iskandar yang mengaku sebagai abang Zulaikha.

Fahim berdecit melihat wajah Iskandar yang kelihatan tenang pada luaran.

Remaja lelaki itu berjalan ke arah Syauqi perlahan-lahan. Tiba sahaja, Fahim berpaling menghadap pelajar yang sedang berdiri di belakang Syauqi.

“Tepi sikit boleh tak?” Ujarnya sebelum menyusupkan badan ke dalam barisan.
Maka, terpaksalah Iskandar memberi ruang untuk Fahim mencelah di dalam barisan.

"Yes! Dapat duduk dengan Syauqi. Takdelah aku rasa kesunyian sangat dengan kawan-kawan baru ni." Fahim sudah gelak jahat dalam hati. Wajah toyanya dibuat-buat.

Aᴋᴜ, Isᴋᴀɴᴅᴀʀ Dᴢᴜʟᴋᴀʀɴᴀɪɴ✓[TERBIT] | كاونWhere stories live. Discover now