Angau di sekolah rendah

3.4K 14 2
                                    


Zaman sekolah rendah adalah zaman obsesi abang pada seorang insan. Namanya Hanif . Setiap kali abang mengenangkannya, abang tersenyum seorang diri. Abang boleh katakan yang ianya cinta angau budak sekolah rendah. Jahil tidak mengerti apa itu cinta namun pengalaman manis dan indah sepanjang zaman sekolah rendah kekal menjadi memori.

Darjah Satu.

Abang berasa gentar di dalam kereta. Bapa abang yang sedang memandu di depan berkata "Kamu perlu belajar bersungguh-sungguh di sekolah ini. Bukan senang untuk mendaftar kamu ke sekolah terbaik di Kota Bharu. Nasib baik ada kekosongan di saat akhir, kalau tidak memang tiada harapan untuk kamu bersekolah di sekolah rendah paling berprestij di negeri ini".

Abang tidak menghiraukan apa yang bapa abang bebelkan. Yang abang tahu, abang akan ke sekolah baru. Baru seminggu abang merasa bersekolah darjah satu di Sekolah Rendah Wakaf Bharu yang tidak jauh dari rumah abang. Abang masih bingung. Maklumlah, sekolah rendah sangat besar dan mempunyai ramai pelajar jika dibandingkan dengan tadika yang hanya ada satu kelas. Rakan-rakan tadika yang abang bergaul sebelum ini terpisah ke  kelas-kelas  yang berasingan. Abang terasa sangat asing di sekolah baru itu.

Kini abang dipindahkan pula ke sekolah baru yang terletak di bandar Kota Bharu. Mengikut kata bapa, sekolah ini adalah sekolah tersohor di Kelantan. Ramai anak orang-orang kenamaan negeri di hantar bersekolah di sini termasuklah putera Sultan. Bagi abang, itu semua tidak penting. Abang masih lagi bersedih kerana abang bukan lagi berada di tadika bersama rakan-rakan dan guru-guru yang abang kenali. Mulai hari ini abang akan dihantar ke sekolah  oleh bapa abang. Tiada lagi berjalan ke tadika bersama rakan-rakan setiap pagi.

Sesampainya di sekolah baru itu, bapa abang menguruskan semua urusan pendaftaran. Setelah semuanya selesai, bapa abang berkata, "Abah perlu ke tempat kerja sekarang. Kamu belajar betul-betul di sini supaya usaha kami memasukkan kamu di sini berbaloi. Habis sekolah nanti jangan ke mana-mana. Tunggu di sini sehingga abah datang ambil kamu."

Kerani sekolah menemani abang ke kelas Satu Kuning. Abang terasa gentar. Sesampainya di sana, kedengaran seorang guru kelas wanita sedang mengajar dan semua murid-murid di dalam kelas itu mendengar dengan tekun.Kehadiran abang menyebabkan cikgu tersebut berhenti mengajar. Kerani yang menemani abang menyerahkan abang kepada cikgu tersebut. Abang merasakan yang semua mata di dalam kelas itu tertumpu kepada abang.

Menyedari yang abang berasa tidak selesa. Guru tersebut menyuruh abang duduk di satu meja kosong di belakang kelas, dan menyambung mengajar.

Cikgu tersebut memanggil seorang murid ke hadapan untuk membaca buku teks kepada kelas. Dia ke hadapan kelas tanpa segan atau teragak-agak.  Lalu dia terus membaca teks  buku yang dipegangnya dengan jelas tanpa gagap. Abang terpaku dan kagum. Jika di tadika abang merupakan antara pelajar paling pintar mampu membaca ABC, di dalam kelas ini abang merasa bodoh, kerana tidak boleh membaca.

Abang memerhatikan rakan baru sekelas abang itu membaca dengan pantas dan lancar. Abang terasa kagum sambil memerhatikan dirinya. Mukanya bujur dan matanya sedikit sepet. Mungkin ada keturunan Cina di dalam darahnya. Kulitnya juga cerah berbanding kulit abang yang sawo matang. Ingin sekali abang berkawan dengan budak pintar ini.

Setelah kelas Bahasa Melayu itu selesai, budak yang membaca tadi memberi arahan kepada kelas untuk bangun mengucapkan terima kasih kepada cikgu. Oh, dia bukan sahaja pandai membaca tetapi juga ketua kelas abang.

Sejak hari itu abang sering memerhatikan Hanif. Abang tertarik dengan kebolehannya. Dia sangat popular di dalam kelas kami. Bukan sahaja dia ketua kelas, tetapi dia juga disukai oleh rakan sekelas dan juga murid kelas lain. Ketika masa rehat, dia selalui dikelilingi oleh mereka. Tidak pernah abang melihat Hanif keseorangan.

Kamu telah mencapai bab terakhir yang dipublikasikan.

⏰ Terakhir diperbarui: Oct 06, 2020 ⏰

Tambahkan cerita ini ke Perpustakaan untuk mendapatkan notifikasi saat ada bab baru!

Kisah Abang LiTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang